Now Reading
Ini 14 Recap Tentang Peristiwa Yang Telah Berlaku Sepanjang 2023

Ini 14 Recap Tentang Peristiwa Yang Telah Berlaku Sepanjang 2023

Antara peristiwa yang menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia pada tahun 2023 adalah aksi kumpulan The 1975 dan kes pesawat terhempas di Elmina.

recap 2023

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tidak lama lagi, kita akan meninggalkan 2023 dan memasuki tahun 2024.

Dalam tempoh satu tahun ini, pelbagai perkara telah berlaku tanpa kita sedar melibatkan politik negara, hiburan dan peristiwa yang berlaku di peringkat antarabangsa. 

Setiap perkara yang terjadi itu telah memberikan memberikan kejutan dan mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai selepas mengetahui tentang perkara berkenaan.


14 Peristiwa Yang Berlaku Pada Tahun 2023

Bermula dari Januari sehingga Disember 2023, satu persatu peristiwa yang berlaku. Antaranya:

#1. Matty Healy Cium Ahli Kumpulan The 1975 Di Good Vibes Festival
Sumber: Farahin Fadzil/TRP

Pada 21 Julai lalu, penyanyi utama kumpulan The 1975 telah memberikan ucapan berunsur penentangan terhadap kerajaan Malaysia berkaitan undang-undang LGBT dan mencium ahli kumpulannya yang sesama jantina ketika melakukan persembahan di pentas Good Vibes Festival.

Susulan kejadian itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah mengeluarkan arahan untuk membatalkan festival tiga hari tersebut secara serta-merta.

ARTIKEL PENUH: Konsert The 1975 Di GVF2023 Dihentikan Selepas Matty Healy Cium Pemain Bass & Hina Undang-undang LGBT Di Malaysia

#2. Filem Barbie Dapat Sambutan Hangat Di Malaysia
Sumber: IMDb

Bulan Julai lalu dipenuhi dengan warna merah jambu apabila filem Barbie lakonan Margot Robbie dan Ryan Gosling mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 20 Julai lalu.

Penangan filem tersebut, hampir semua premis perniagaan di sekitar Malaysia menjual barangan bertemakan Barbie dan orang ramai yang mahu menonton filem itu di panggung wayang juga memakai baju berwarna merah jambu.

ARTIKEL PENUH: ‘Barbie Land’ Mendarat Di KL & PJ Sepanjang Julai Ini

#3. Pilihan Raya Negeri Melibatkan 6 Buah Negeri Di Malaysia
Sumber: Astro Awani

Pilihan Raya Negeri (PRN2023) melibatkan enam buah negeri di Malaysia iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan telah diadakan pada 12 Ogos lalu.

Keputusan dari PRN2023 itu menunjukkan bahawa tiga buah negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dimenangi oleh Parti Perikatan Nasional manakala tiga lain negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang ‘dipegang’ oleh gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional.

ARTIKEL PENUH: PRN: 12 Ogos Hari Mengundi & 29 Julai Penamaan Calon

#4. Peristiwa Pesawat Terhempas Di Elmina Hingga Ragut 10 Nyawa Termasuk Orang Awam
Sumber: Astro Awani

Satu kejadian pesawat terhempas telah berlaku di kawasan perumahan Elmina West, Seksyen U16, Denai Alam sekitar jam 3:00 petang pada 17 Ogos sehingga mengakibatkan kebakaran dan kesan hitam pada jalan raya.

Antara mangsa nahas tersebut adalah Exco Kerajaan Pahang, Ketua UMNO Bentong dan Adun Pelangai iaitu Datuk Sri Johari Harun.

ARTIKEL PENUH: Kes Pesawat Terhempas Di Elmina: Exco Pahang Antara Mangsa Nahas

#5. Individu Mengaku Bawa Sekumpulan Pelajar Tahfiz Ke Konsert KEPCI Music Festival 2023
Sumber: QSR Brands

Pada 26 Ogos lalu, tindakan seorang indvidu dikenali sebagai Andrie Ung Han Xiang yang menjemput ke Konsert KEPCI Music Festival 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor telah mengundang kecaman ramai kerana mempunyai persembahan gadis menari di pentas.

Andrie menjelaskan bahawa dia dan rakannya mengumpul sumbangan untuk membawa sekitar 700 orang anak yatim dari 22 rumah kebajikan bagi memeriahkan festival muzik tersebut.

ARTIKEL PENUH: Individu Mengaku Bawa Pelajar Tahfiz Pergi Konsert KEPCI Music Festival 2023

#6. MYAirline Gantung Operasi Secara Tiba-tiba Tanpa Maklum Pada Penumpang
Sumber: MalayMail

12 Oktober lalu merupakan tarikh di mana syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) mengumumkan penggantungan operasi secara serta-merta tanpa memberikan sebarang makluman atau notis awal kepada penumpang mereka yang telah menempah penerbangan.

Menerusi kenyataan media, MYAirline telah mengambil keputusan sedemikian ekoran masalah kewangan sehingga menyebabkan operasi perlu digantung selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.

ARTIKEL PENUH: “Jangan Aniaya Orang” – Penggantungan Operasi MYAirline Tanpa Notis Awal Buat Pelanggan Berang

#7. Perdana Menteri Wajibkan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Urusan Surat Rasmi Kerajaan
Sumber: Marina Putrajaya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mewajibkan semua surat rasmi yang dihantar kepada kerajaan ditulis dalam Bahasa Kebangsaan dan pihak yang enggan berbuat demikian akan menyebabkan dokumen mereka dipulangkan semula.

Peringatan itu ditujukan oleh beliau khusus buat syarikat tempatan atau institusi pengajian tinggi yang sering atau akan berurusan dengan pihak kerajaan.

ARTIKEL PENUH: PM Wajibkan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Surat Rasmi Kerajaan

#8. Sultan Johor Dilantik Secara Rasmi Sebagai Yang Di-Pertuan Agong
Sumber: Jurnal Malaysia

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 buat kali pertama selepas 34 tahun pemerintahan ayahandanya.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pelantikan selama lima tahun itu akan berkuat kuasa pada 31 Januari 2024 bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan pemerintahan berkuat kuasa 30 Januari 2024.

ARTIKEL PENUH: [Terkini] Sultan Johor Dilantik Sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17

#9. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Hanya Untuk Individu Lahir Tahun 2007 Ke Atas
Sumber: Sebenarnya.my

Oleh kerana tular dakwaan bahawa peserta PLKN 3.0 boleh dipilih dalam kalangan individu dewasa sehingga berusia 35 tahun, Kementerian Pertahanan Malaysia tampil menjelaskan bahawa peserta PLKN 3.0 akan dipilih dalam kalangan individu yang lahir pada tahun 2007 ke atas sahaja.

Had umur 35 tahun seperti yang tular itu pula sebenarnya dikaitkan dengan tempoh jika seseorang peserta itu terpaksa menangguhkan latihan sekiranya mempunyai urusan penting.

ARTIKEL PENUH: Peserta PLKN 3.0 Hanya Dipilih Dari Individu Lahir Tahun 2007 Ke Atas Sahaja – Kementerian Pertahanan

#10. Syed Saddiq Jadi Ahli Politik Pertama Kena Hukuman Sebatan
Sumber: MalayMail

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didapati bersalah atas empat pertuduhan melibatkan salah guna harta, bersubahat melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram menggunakan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun, denda RM10 juta dan menjadi ahli politik pertama yang dikenakan hukuman sebatan iaitu sebanyak dua kali.

ARTIKEL PENUH: Syed Saddiq Dihukum 7 Tahun Penjara, 2 Sebatan & Denda RM10 Juta Selepas Bersalah 4 Pertuduhan

#11. Bekas Penyanyi Kumpulan Nasyid In-Team, Suhami Saad Meninggal Dunia
Sumber: Malaysia Bangkit

Pada 15 November lalu, Penyanyi dan bekas anggota kumpulan In-Team, Allahyarham Suhaimi Saad, 43, disahkan meninggal dunia selepas ditidurkan sejurus selesai menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Arwah difahamkan mengalami jangkitan hingga berlaku kegagalan organ dalaman akibat batuk kronik dan juga cirit-birit secara berterusan selama tiga bulan sehingga berat badannya turun mendadak.

ARTIKEL PENUH: Suhaimi Saad, Bekas Penyanyi Kumpulan Nasyid In-Team Meninggal Dunia

#12. Konsert Coldplay Diadakan Pertama Kali Di Malaysia Di Stadium Nasional Bukit Jalil
Sumber: X (Twitter @ddalgi_kv)

Selepas 27 tahun penubuhan Coldplay, akhirnya kumpulan rock British ini buat pertama kalinya melangsungkan persembahAn konsert di Malaysia pada 23 November lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketika konsert berkenaan, Chris tampil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana telah memberi kebenaran kepada mereka untuk melakukan persembahan di negara ini.

ARTIKEL PENUH: [Video] Coldplay ‘Mandi’ Sepanjang Konsert, Sempat Cipta Lagu Khas Tentang Hujan Di Malaysia

#13. Rombakan Kabinet Buat Pertama Kali Selepas Setahun Pemerintahan Kerajaan MADANI
Sumber: MalaysiaKini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Disember lalu telah mengumumkan senarai rombakan Kabinet selepas setahun Kerajaan Madani memerintah negara.

Antara jemaah menteri baharu bagi pemerintahan kerajaan MADANI adalah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

ARTIKEL PENUH: Rombakan Kabinet: Ini Senarai Menteri & Jawatan Baharu Kerajaan MADANI

#14. Serangan Balas Israel Terhadap Palestin Ragut Puluhan Ribu Nyawa Rakyat Palestin
Sumber: Al Jazeera

Sejak serangan balas tentera Israel terhadap Palestin pada 7 Oktober lalu, rejim Zionis telah mengebom banyak premis yang menjadi tempat perlindungan rakyat Gaza termasuklah kediaman, sekolah dan hospital.

Sehingga kini, lebih 19,088 kematian dan 55,000 rakyat Palestin dilaporkan cedera termasuklah kanak-kanak, wanita dan warga emas.

ARTIKEL PENUH: Israel Bom Hospital Di Gaza, Lebih 500 Nyawa Orang Tak Bersalah Terkorban


Meskipun setiap tahun kita mempunyai perancangan tersendiri untuk menguruskan pelbagai perkara, namun sebagai umat Islam kita perlu sentiasa ingat bahawa kita hanya mampu merancang tetapi Allah SWT yang menentukan.

Semoga tahun 2024 dipenuhi dengan perkara positif dalam kehidupan kita semua.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd