Now Reading
Angkat Sumpah Agong Ke-17, Ini Latar Belakang Mengenai Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Angkat Sumpah Agong Ke-17, Ini Latar Belakang Mengenai Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah dimahsyurkan sebagai Tunku Mahkota pada 3 Julai 1981 sebelum menaiki takhta sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebentar tadi (31 Januari) telah berlangsungnya majlis istiadat melafaz sumpah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang Ke-17.

Jawatan itu akan disandang oleh Seri Paduka Baginda bagi tempoh lima tahun selepas mengantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat bersejarah itu dilaporkan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara.

Ini serba sedikit latar belakang Agong Ke-17

Oleh itu, pasti ramai yang mula tertanya-tanya dan ingin mengetahui serba sedikit mengenai Agong ke-17 ini. Bagi menjawab segala persoalan anda, jom kami kongsikan latar belakang Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk rujukan anda.

Sultan Ibrahim atau nama penuhnya Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar Al-Haj telah diputerakan di Hospital Sultanah Aminah Johor pada 22 November 1958.

Baginda merupakan anak ketiga serta putera sulung daripada 4 adik beradik kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah.

Baginda juga merupakan kekanda kepada Raja Pemaisuri Pahang iaitu Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.


Lanjutkan pelajaran di Australia pada tahun 1968

Sultan Ibrahim telah memulakan pendidikan awalnya di Taman Didikan Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam dan mendapat pendidikan rendah di Sekolah Temenggong Abdul Rahman 1 serta Trinity Grammar School di Australia pada tahun 1968.

Baginda kemudian menyambung pelajaran di peringkat menengah di Maktab Sultan Abu Bakar sebaik pulang dari Australia. Baginda turut melanjutkan pelajaran di Sekolah Agama Bukit Zaharah serta Sekolah Agama Air Molek di negeri kelahirannya untuk mempelajari ilmu agama Islam.

Jalani latihan asas ketenteraan sehingga ke Amerika Syarikat

Seterusnya baginda menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (PULADA) di Kota Tinggi untuk latihan asas tentera sebelum ke Fort Benning, Amerika Syarikat bagi mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara serta di Fort Bragg, Amerika Syarikat.

Baginda juga mengikuti kursus khusus dalam Pasukan Khas Amerika dan Pathfinder dan berjaya membuat sebanyak 19 lompatan payung terjun. Sultan Ibrahim seterusnya ditauliahkan sayap serta mendapat pengiktifaran sebagai anggota pasukan SEAL dan tauliah Ahli Kehormat Komando Pasukan Khusu (KOPASSUS) di Indonesia.

Tidak lama selepas itu baginda telah menjalani latihan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak.

Sebaik menamatkan kursus juruterbang, Sultan Ibrahim dikurniakan sayapnya pada 26 April 1982.

Bukan sekadar ilmu ketenteraan baginda turut menuntut pelajaran di Sekolah Undang-Undang dan Diplomasi di Fletcher, Boston dan menamatkan dua kursus.

Baginda juga telah berkhidmat dengan kerajaan negeri di pelbagai jabatan antaranya:

  • Setiusaha Kerajaan Negeri
  • Perbendaharaan
  • Pejabat Tanah
  • Jabatan Perancang Bandar dan Desa
  • Jabatan Perhutanan
  • Jabatan Pertanian

Baginda telah mempelajari selok-belok pentadbiran dalam membentuk peranannya sebagai pemerintah.


Menjadi Tunku Mahkota pada tahun 1981 sebelum dilantik menjadi Pemangku Raja Johor 1984

Pada 3 Julai 1981, Sultan Ibrahim telah dimahsyurkan sebagai Tunku Mahkota selepas ayahandanya, Sultan Iskandar Ibni Sultan Ismail menaiki takhta sebagai Sultan Johor.

Baginda kemudiannya telah dilantik sebagai Pemangku Raja Johor pada 25 April 1984 sehingga 25 April 1989 semasa Sultan Iskandar menjadi Agong yang ke-8. Sepanjang menjadi pemangku raja, baginda telah mengasah kemahirannya dan mengamalkan disiplin, pengetahuan serta kebolehan dalam mentadbir serta memerintah Johor.

Seri Paduka Baginda menjadi Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan ayahandanya.


Berkahwin pada 1982, baginda dikurniakan enam cahaya mata

Pada tahun 1982, Agong telah berkahwin dengan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang merupakan puteri kepada Sultan Perak, Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu:

  • Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia,Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar
  • Yang Amat Mulia, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah
  • Yang Amat Mulia, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman
  • Yang Amat Mulia, Tunku Laksamana Johor, Almarhum Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail
  • Yang Amat Mulia, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri
  • Yang Amat Mulia, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim

Baginda meminati bidang sukan khususnya polo

Meskipun mempunyai jadual yang padat dalam mentadbir negeri Johor, namun Sultan Ibrahim sangat meminati bidang sukan. Malah baginda bermain pelbagai sukan seperti tenis, menembak, payung terjun dan yang paling menjadi kegemarannya adalah polo serta mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Lebih menarik lagi baginda juga mencipta nama di dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi Sultan pertama yang mempunyai lesen memandu Kereta Api Kelas 26 secara rasmi.

Lesen itu diperolehi selepas baginda melengkapkan pusing lokomotif 86 tan menggunakan alatan meja pusing dan lesen tersebut diterima daripada Yang Dipertua Kereta Api Tanah Melayu Bhd (KTMB), Dr Aminuddin Adnan pada 29 Jun 2010.

Kepimpinan, keperibadian dan kredibiliti Sultan Ibrahim telah membuatkan baginda disenangi dan dihormati rakyat Johor.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd