Now Reading
Terapis Kongsi Cara Untuk Dapatkan Rawatan Kesihatan Mental Dengan 5 Langkah Ini

Terapis Kongsi Cara Untuk Dapatkan Rawatan Kesihatan Mental Dengan 5 Langkah Ini

Kebiasaannya rawatan kesihatan mental ini mengambil masa 60 sehingga 90 minit dan harganya bergantung kepada servis serta kategori terapis yang diambil.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Kesihatan mental merupakan salah satu penjagaan diri yang perlu diambil perhatian kerana ia juga mempengaruhi tubuh badan kita termasuklah aktiviti seharian.

Apabila minda berada dalam keadaan tidak sihat, secara automatik badan anda tidak mempunyai tenaga untuk bersikap produktif melakukan apa-apa kerja.

Lebih membimbangkan lagi, masalah kesihatan ini boleh menyebabkan seseorang itu bertindak di luar kawalan seperti mencederakan diri mereka.

Kemerosotan kesihatan mental di Malaysia menunjukkkan bahawa kadar kes bunuh diri telah meningkat hampir 150% dalam tempoh separuh pertama tahun 2021 berbanding 2020.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengambil langkah untuk membendung kejadian bunuh diri dengan mewujudkan talian bantuan sokongan psikososial seperti Talian Kasih (KPWKM) di 15999 dan KSK Centre (JAKIM) di 03-8870 7515.


Terapis Kongsi Cara Untuk Mendapatkan Rawatan Jika Anda Mengalami Masalah Kesihatan Mental 

Seorang terapis sebelum ini membuka pertanyaan di laman Instagram dan mengatakan dia menerima banyak persoalan dari netizen tentang cara-cara untuk mendapatkan rawatan terapi bagi masalah kesihatan mental.

Bagi membantu masyarakat di luar sana yang tidak tahu cara untuk mendapatkan rawatan berkaitan masalah kesihatan, terapis ini berkongsi panduan menerusi ciapan yang dimuat naik di laman Twitter miliknya (@mimierhmn).

NOTA KAKI: Panduan yang dikongsikan ini berdasarkan pengalaman sebagai terapis inisiatif kesihatan mental di badan bukan kerajaan (NGO) serta pusat swasta dan juga pernah menjalani terapi.

Antara panduan yang boleh diikuti adalah seperti berikut:

1. Panduan Untuk Mendapatkan Rawatan Berkaitan Masalah Kesihatan Mental: Kategori Terapis Yang Patut Dipilih 

Sumber: KlikDokter

Kebiasaannya servis kesihatan mental ini mengambil masa 60 sehingga 90 minit dan melibatkan beberapa kategori terapis kesihatan mental seperti:

  • Kaunselor
  • Psikologi klinikal
  • Psikiataris

Jika anda memilih untuk pergi ke pusat rawatan swasta yang mempunyai kaunselor dan psikologi klinikal, anda akan didedahkan dengan beberapa istilah seperti:

  • Pelatih (Belum graduasi dan masih menjalani latihan praktikal)
  • Provisional atau Associate (Sudah graduasi dan sedang menunggu lesen)
  • Mempunyai lesen dan berdaftar

Sebagai kaunselor, mereka wajib berdaftar kerana mempunyai akta bertulis dan badan sah yang mengendalikan pekerjaan ini.

Namun buat masa ini, psikologi klinikal tidak perlu mendaftar lagi kerana masih tiada akta atau badan yang sah. Tetapi mereka digalakkan untuk mendaftar bagi mematuhi etika.

Sebenarnya, anda boleh memilih mana-mana kategori terapis bergantung kepada kos dan juga keperluan.

Ada banyak sebenarnya servis kesihatan mental. Antaranya:

  • Terapi individu
  • Terapi berkumpulan 
  • Terapi keluarga 
  • Terapi pasangan
  • Penilaian psikologi
  • Penilaian kerjaya
  • Penilaian kesihatan mental 

2. Panduan Untuk Mendapatkan Rawatan Berkaitan Masalah Kesihatan Mental: Kos Rawatan

Sumber: Online Diary Viral

Kos bayaran untuk rawatan terapi ini bergantung kepada servis yang diambil. Berikut adalah panduan harga untuk sesi terapi individu yang ditetapkan oleh Lembaga Kaunselor:

  • RM81 sehingga RM160 bagi kaunselor yang mempunyai ijazah muda.
  • RM101 sehingga RM200 bagi kaunselor yang mempunyai Master.
  • RM126 sehingga RM250 kaunselor yang mempunyai Master dan bidang khusus.
  • RM151 sehingga RM375 bagi kaunselor yang mempunyai PhD.

Walau bagaimanapun, harga mungkin berubah mengikut pusat rawatan atau kaunselor kerana perlu mengambil kira kos dalaman seperti sewa, pengalaman dan sebagainya.

Mungkin ada yang terfikir, lagi mahal harganya lagi bagus ke? Tidak semestinya juga. Yang penting anda kena serasi dengan terapis.

3. Panduan Untuk Mendapatkan Rawatan Berkaitan Masalah Kesihatan Mental: Buat Kaji Selidik Dulu Sebelum Pilih Tempat Rawatan

Sumber: MyHealth

Perkara seterusnya yang anda perlu buat adalah mencari pusat rawatan yang bersesuaian dan mematuhi etika kerahsiaan. Kalau boleh, selidik dahulu profil terapis dan jenis servis yang ditawarkan oleh mereka.

Selepas anda selidik dua atau tiga tempat dan terapis, bolehlah buat temu janji dengan pihak mereka bergantung kepada prosedur yang ditetapkan.

Sesetengah pusat rawatan memerlukan anda untuk membuat tempahan dengan cara mengisi borang, menghantar mesej di WhatsApp atau menggunakan sistem tempahan secara atas talian. 

4. Panduan Untuk Mendapatkan Rawatan Berkaitan Masalah Kesihatan Mental: Perkara Yang Perlu Diberitahu Kepada Terapis

Sumber: Drazen Zigic

Kepada anda yang pertama kali menjalani rawatan, mungkin agak kekok untuk memulakan sesi ini.

Jangan risau, anda boleh menggunakan ‘formula’ di bawah untuk membantu anda menjelaskan perasaan dengan lebih mudah.

Melibatkan Isu Umum Seperti Keluarga Dan Kerjaya

  • Menjelaskan perkara yang berlaku.
  • Kesan perkara itu kepada diri anda dari segi perasaan, perbuatan, fikiran, pergaulan dan sebagainya. 
  • Perbezaan diri anda jika dibandingkan dengan sekarang dan sebelum ini.

Melibatkan Fikiran Atau Perasaan Yang Boleh Mencederakan Diri Atau Orang Lain

  • Sejak bila berlaku.
  • Punca berlaku.
  • Berapa kerap anda lakukan perkara tersebut.
  • Menjelaskan sama ada anda boleh mengawal tindakan itu atau tidak.

Melibatkan Perasaan Yang Susah Untuk Diluahkan

  • Punca timbulnya perasaan itu.
  • Sejak bila berlaku.
  • Petanda itu disedari oleh orang lain atau tidak.
  • Apa yang anda selalu buat bila duduk berseorangan.
  • Sikap anda apabila dikelilingi oleh orang

Melibatkan Proses Diagnosi Penyakit Mental

  • Sejak bila berlaku.
  • Potensi untuk mencederakan diri sekiranya ada
  • Impak terhadap kehidupan seharian.
  • Sejarah melibatkan keluarga, penyakit mental yang lain dan jenis ubatan yang diambil.

Ini hanyalah cadangan untuk anda. Kalau nak memulakan perbualan dengan cara anda sendiri pun boleh juga.

Terapis juga akan bertanya beberapa soalan lain kerana mereka turut dilatih untuk bertanya soalan.

5. Panduan Untuk Mendapatkan Rawatan Berkaitan Masalah Kesihatan Mental: Jenis Rawatan Yang Perlu Diambil

Sumber: Liputan6

Sebenarnya, rawatan yang mana perlu diambil itu bergantung kepada diri anda. Mungkin ada juga yang keliru sama ada perlu buat penilaian atau terapi atau kedua-duanya sekali?

Mengikut pandangan daripada seorang terapis, wanita ini mencadangkan supaya anda melakukan terapi individu terlebih dahulu. Kemudian baru buat penilaian.

Terapi individu lebih kepada membantu dari segi perbuatan, perasaan, fikiran, sosial dan kawalan yang bertindak sebagai sesi konsultasi.

Selepas selesai sesi konsultasi, terapis akan mempertimbangkan sama ada anda perlu membuat penilaian atau tidak.

Tapi boleh juga kalau anda mahu melakukan penilain terlebih dahulu sebelum sesi terapi bagi mengetahui perkara yang berlaku dalam diri.

Berbicara tentang ubat-ubatan pula, keperluan bahan ini diambil adalah bergantung kepada diri anda.

Ini kerana ubat-ubatan berfungsi untuk mengawal atau menyeimbangkan aktiviti otak anda manakala sesi terapi pula berfungsi untuk membantu anda mengatur fikiran, rutin, perbuatan dan tugas harian.

Ada orang mungkin dia memerlukan terapi sahaja, atau ubat sahaja atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pendapat peribadi daripada seorang terapis, mungkin anda boleh melakukan penilaian terlebih dahulu sebelum menjalani sesi terapi. Dari segi kos pula, cara ini lebih efektif.

NOTA KAKI: Pendapat ini hanya boleh digunakan untuk rawatan di pusat swasta sahaja kerana servis di hospital atau klinik kerajaan sedikit berbeza.


Semoga perkongsian ini dapat membantu anda yang tertanya-tanya tentang cara untuk mendapatkan rawatan berkaitan masalah kesihatan mental di Malaysia.

BACA JUGA: Netizen Mula Kongsi Tips Untuk Pastikan ‘Mental Health’ Kekal Stabil

BACA JUGA: Fadzilah Kamsah Dedah 7 Tanda Seseorang Hidap Anxiety Tanpa Sedar

BACA JUGA: Menari, Dengar Lagu & 3 Lagi Jenis Aktiviti Untuk Kuatkan Kesihatan Mental

BACA JUGA: Skybi Tawar Perkhidmatan Kesihatan Mental Dalam Talian Secara Percuma


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd