[Video] Ini Cara Nak Bagi Rumah Kekal Wangi, Guna Bahan-Bahan Di Dapur Sahaja!
Antara bahan-bahan yang digunakan adalah lemon dan rempah tiga sekawan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bagi mereka yang memelihara haiwan seperti kucing, kadangkala memang akan ada bau yang kurang menyenangkan di rumah. Ini terjadi akibat kurang pengudaraan yang membuatkan bau haiwan terperangkap di dalam rumah.
Orang ramai biasanya akan menggunakan semburan pewangi atau memasang lilin wangian untuk menyingkirkan bau busuk itu. Namun begitu, kebanyakan wangian dihasilkan menggunakan pelbagai bahan kimia yang mungkin berbahaya buat kesihatan.
Penyanyi Kongsi Kaedah Hasilkan Wangian Dengan Bahan Dapur
Sebenarnya, ada cara untuk hasilkan bau wangi-wangian dengan menggunakan bahan-bahan yang selalunya ada di dapur. Perkara ini dikongsikan oleh penyanyi, Elliza Razak di akaun TikTok miliknya.
Dia berkata rumahnya mempunyai bau kurang menyenangkan kerana salah seekor kucingnya berbulu panjang. Perkara ini menyebabkan najis mudah melekat pada bulunya. Jadi, bagi mengatasi masalah ini, Elliza menggunakan campuran rebusan wangian menggunakan bahan masakan yang terdapat di dapur rumahnya.
Menerusi kaedah dikongsi oleh Elliza, selain mengelakkan penggunaan bahan kimia, ia juga dapat menjimatkan. Bahan pewangi bukan murah ya!
Cara Membuat Rebusan Wangian
Di sini kami terangkan perkara yang perlu dilakukan bagi menghasilkan air rebusan tersebut.
Bahan-bahan yang diperlukan adalah:
- Dua biji lemon
- Rempah tiga sekawan (cengkih, kayu manis, bunga lawang)
- Esen vanila
- Air
Cara-caranya pula mudah sahaja!
Mula-mula, hiriskan lemon. Kemudian letakkan hirisan lemon ke dalam periuk berisi air.
Masukkan pula rempah tiga sekawan dan satu sudu esen vanila. Campuran itu direbus sampai air menggelegak. Biarkan sahaja rebusan di atas dapur sehingga seluruh rumah berbau harum.
Boleh juga tambahkan daun pandan dan lain-lain herba ke dalam campuran rebusan tadi.
Bau Seperti Di Kedai Jenama Penjagaan Diri Terkenal
Elliza berkata, rebusan tersebut menghasilkan bau vanila yang seakan-akan di kedai satu jenama penjagaan diri terkenal, Bath & Body Works.
Menurutnya lagi, jika air telah mula kering, boleh tambahkan sahaja air ke dalam periuk. Campuran itu boleh digunakan semula berkali-kali.
Netizen Dakwa Air Rebusan Juga Boleh Diminum
Selain berfungsi sebagai wangian, seorang individu mendakwa air rebusan tersebut juga boleh diminum, namun tanpa menggunakan esen vanila. Ia merupakan petua yang diamalkan untuk kekal kurus dan sihat.
Hanya minum sahaja air rebusan tersebut ketika suam. Boleh juga tambahkan madu jika anda inginkan rasa manis.
Ada juga yang berkata air rebusan itu boleh dimasukkan ke dalam botol untuk disemburkan ke seluruh rumah.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.