2 Beranak Dari Malaysia Tabur Bakti, Berkhidmat Sebagai Petugas Di Masjid Nabawi
Salah satu tugasannya yang dilakukan adalah berkhidmat sebagai penterjemah bagi jemaah dari Indonesia, Malaysia, Brunei dan Thailand.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Berkunjung ke Mekah bagi menunaikan ibadah umrah atau haji merupakan impian rata-rata umat Islam. Walaupun hanya sekali seumur hidup, perkara itu sudah cukup membahagiakan kerana berjaya menjalankan ibadah itu.
Bagi mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke tanah suci Madinah pula, di sana terdapat petugas yang berkhidmat untuk menjaga Raudah dan Masjid Nabawi serta memerhati tingkah laku para jemaah.
Dalam kalangan petugas yang majoritinya merupakan penduduk asal Arab Saudi, mengejutkan apabila terdapat sepasang anak beranak berasal dari Malaysia yang turut bertugas di masjid itu.
Petugas Rasa Berada Dekat Dengan Rasulullah SAW
Wanita berkenaan yang bernama Zuraini Mukri dan berasal dari Selayang, Selangor telah bertugas di Raudah dan Masjid Nabawi sejak tahun lepas.
Dia yang bertugas lebih tujuh jam sehari berkata perkara itu dilihat sebagai peluang untuknya berasa dekat dengan Nabi Muhammad SAW.
Sambil itu, dia juga dapat menyaksikan pelbagai tingkah laku manusia yang datang dari pelbagai negara dan latar belakang.
Khidmat Sebagai Penterjemah Bagi Jemaah Dari Malaysia
Setiap hari, kerja saya akan melibatkan beberapa tugasan, sama ada di kaunter penerangan, di dalam kawasan Raudah atau kawasan lain sekitar Masjid Nabawi.
Petugas di Masjid Nabawi, Zuraini Mukri.
Antara tanggungjawabnya sebagai petugas adalah melakukan terjemahan bagi jemaah dari Indonesia, Malaysia, Brunei dan Thailand, lapor Bernama.
Dia juga akan memastikan supaya maklumat lengkap disampaikan kepada pengunjung dan agar mereka patuh kepada arahan yang ditetapkan sewaktu berada di Raudah dan Masjid Nabawi.

Kini tinggal di Madinah bersama suami, Dr Noordin Othman, Zuraini berkata dia perlu sentiasa sabar dan adil sewaktu bertugas memandangkan terdapat pelbagai gelagat jemaah di masjid itu.
Saya selalu ingatkan diri saya, ada pelbagai karakter jemaah yang datang ke sini. Jadi saya perlu melayan mereka seperti biasa dan sama adil.
Petugas di Masjid Nabawi, Zuraini Mukri.
Ada Jemaah Yang Menggunakan Media Sosial Dahulu Ketika Di Raudah
Menurut Zuraini, terdapat jemaah yang lebih teruja untuk mengambil video dan ‘selfie’ ketika berada di ‘taman syurga’ Raudah. Namun dia merasakan bahawa jemaah perlu fokus untuk menjalankan ibadah memandangkan mereka diperuntukkan masa yang terhad.
Ada antaranya yang terus merakam video, berswafoto dan memuat naik dalam media sosial terlebih dahulu apabila diberi peluang untuk memasuki Raudah, walhal masa yang diberikan untuk beribadat dalam Raudah sangat suntuk.
Petugas di Masjid Nabawi, Zuraini Mukri.

Baca Artikel Berkaitan: “Selfie Ganggu Tumpuan Jemaah” – Terpesong Niat Semasa Tawaf Boleh Sebabkan Ibadah Itu Terbatal
Dalam pada itu, anaknya Nur Afrina Noordin, turut bersama-sama bertugas dengannya di Raudah dan Masjid Nabawi. Afrina berkata dia banyak mempelajari ilmu kehidupan menerusi perkhidmatannya di sana.
Alhamdulillah, saya diberi peluang melihat dan mempelajari banyak ilmu tentang pelbagai ragam manusia yang datang ke sini.
Petugas di Masjid Nabawi, Nur Afrina Noordin.
Orang ramai yang ingin membaca perkongsian oleh Zuraini boleh melayari akaun Facebook miliknya, Nini UmmuNur.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.