Now Reading
Lebih Satu Pertiga Rakyat Malaysia Jadi Mangsa, Undang-Undang Anti-Menghendap Akhirnya Berkuat Kuasa

Lebih Satu Pertiga Rakyat Malaysia Jadi Mangsa, Undang-Undang Anti-Menghendap Akhirnya Berkuat Kuasa

Undang-undang anti-menghendap dan perintah perlindungan terhadap suspek telah berkuat kuasa pada 31 Mei 2023.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), menghendap adalah perbuatan menyembunyikan diri supaya tidak kelihatan dengan tujuan untuk mengintai seseorang. 

Baru-baru ini, seorang jurugambar wanita (@ShaFoSizzle) telah berkongsi situasi dia dihendap oleh seorang individu selama lapan tahun.

BACA LANJUT: Jurugambar Wanita Diganggu Oleh ‘Stalker’ Sama Sejak 8 Tahun Lalu, Gesa Pihak Polis Segera Ambil Tindakan

Di dalam perkongsiannya, dia malah pernah diekori sehingga ke United Kingdom dan suspek telah diberkas oleh polis di sana. Namun suspek sempat melarikan diri ke Malaysia apabila dibebaskan bagi menunggu tarikh mahkamah.

Dia telah melakukan dua laporan polis sebelum ini iaitu pada tahun 2018 dan 2022. Terkini, dia telah membuat laporan polis kali ketiga pada 16 Julai 2023.

Tindakan itu diambil atas nasihat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri supaya membuat satu lagi laporan untuk kes disiasat di bawah undang-undang anti-menghendap yang baharu.

BACA LANJUT: Acacia Diana Buat Laporan Polis Kali Ketiga, Bengang Diganggu ‘Stalker’ Sejak 8 Tahun Lalu


Lebih Satu Pertiga Rakyat Malaysia Pernah Dihendap Lebih Sekali Oleh Orang Yang Sama

Vase.ai dan Women’s Aid Organisation (WAO) telah menjalankan sebuah tinjauan ke atas 1,008 wanita dan lelaki Malaysia.

Tinjauan yang bertajuk “Understanding Malaysians’ Experiences of Stalking” itu mendapati 88% responden telah dihendap sekurang-kurangnya sekali, manakala 60% mengalami hendap lebih satu kali. Di samping itu, 36% dihendap daripada orang yang sama lebih satu kali.

Keadaan adalah lebih teruk bagi 12% responden kerana diugut akan dicederakan dan 17% responden yang telah benar-benar dicederakan oleh penghendap.

Antara perbuatan yang dikaitkan dengan menghendap adalah menerima panggilan, emel atau mesej yang tidak diingini termasuk di platform seperti Facebook dan Instagram, serta menerima hadiah yang tidak diingini.

Malah, tinjauan mendapati 12% responden telah diintip melalui alat perakam suara, kamera atau GPS lebih dari satu kali.

Selain itu, 32% responden telah diintip atau diekori daripada jauh dan 33% mengalami keadaan ketika mana seseorang yang tidak diingini muncul di kawasan rumah, tempat kerja atau tempat pengajian.


Malaysia Ketinggalan Jauh Dalam Menjenayahkan Perbuatan Hendap Berbanding UK, AS

Kempen untuk menjenayahkan perbuatan menghendap di Malaysia sebenarnya telah bermula seawal tahun 2013, namun ia tidak menjadi kenyataan sehingga tahun ini.

Sebelum undang-undang anti-menghendap diwujudkan, perbuatan mengekori seseorang sehingga ke rumah dan tempat kerja bukanlah satu jenayah.

Perkara itu hanya menjadi kesalahan jika penghendap mencederakan atau mengugut akan mencederakan mangsa. Oleh itu, tiada tindakan yang akan diambil terhadap mereka walaupun laporan polis dilakukan. 

Sebaliknya di United Kingdom, menghendap merupakan satu jenayah sejak tahun 2012 dan merangkumi perbuatan seperti mengintip, mengekori, menghubungi melalui sebarang cara, mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan seseorang serta melepak di mana-mana tempat. Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan penjara tidak lebih 51 minggu atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Amerika Syarikat pula telah menjenayahkan perbuatan menghendap sejak tahun 1996 lagi di bawah Violence Against Women Act (VAWA). Malah, menjadi satu kesalahan persekutuan jika seseorang merentas negeri dengan tujuan untuk menghendap jika ia menyebabkan ketakutan atau kecederaan terhadap mangsa.


Undang-Undang Anti-Menghendap Lindungi Mangsa

Setelah pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) dibentang di Dewan Rakyat buat pertama kali pada 4 Ogos 2022, akhirnya Malaysia kini mempunyai undang-undang anti-menghendap.

Pada 31 Mei tahun ini, Jabatan Peguam Negara mengesahkan bahawa peruntukan anti-menghendap (Seksyen 507A Akta 574) telah berkuat kuasa.

Berdasarkan Seksyen 507A, menghendap adalah kelakuan berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan yang berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau membahayakan mangsa.

Seksyen ini merangkumi perbuatan menghendap yang dilakukan sama ada secara fizikal atau dalam talian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata walaupun perbuatan menghendap secara dalam talian tidak melibatkan sentuhan atau mendatangkan kecederaan fizikal, ia tetap boleh memberi kesan buruk terhadap mental dan emosi mangsa.

Apabila mengalami perbuatan menghendap, sudah tentu mangsa terpaksa mengorbankan banyak perkara seperti pekerjaan dan aktiviti sosial untuk bersembunyi daripada suspek. Oleh itu, Mas Ermieyati merasakan undang-undang anti-menghendap ini penting kerana ia dapat melindungi mangsa secara menyeluruh.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, turut menjadi kesalahan jika seseorang menjejak suspek.

Penjejakan bermaksud menjejaki mangsa menggunakan kaedah bukan fizikal melalui apa-apa peranti seperti kamera tersembunyi atau penjejak GPS.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.

Di bawah Seksyen 507A, individu yang disabitkan melakukan kesalahan menghendap boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Mangsa Boleh Dapatkan Perintah Perlindungan Terhadap Suspek

Selain daripada pindaan ke atas Kanun Keseksaan, Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) turut dipinda untuk membenarkan mahkamah mengeluarkan perintah perlindungan bagi mangsa terhadap suspek yang sedang disiasat.

Di bawah Seksyen 98A Akta 593, suspek yang dikenakan arahan dilarang untuk menghampiri mangsa atau individu lain yang berkaitan dengan mangsa. Mahkamah mempunyai kuasa untuk menetapkan had jarak antara mangsa dan suspek. 

Undang-undang ini akan melindungi mangsa daripada penghendap, tidak kira jika suspek merupakan orang asing mahupun yang dikenali mangsa seperti bekas pasangan atau saudara-mara.

Individu yang melanggar arahan tersebut boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, mangsa hendap kini boleh melaporkan perkara tersebut untuk mendapatkan bantuan pihak polis serta meminta perintah perlindungan daripada mahkamah ketika tempoh siasatan.

Jika anda atau seseorang yang dikenali dihendap, sila hubungi pihak polis di talian 999 atau membuat laporan di balai polis berdekatan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd