Suhu Di Asia Tenggara Kekal Tinggi, Ini Tips Untuk Hadapi Cuaca Panas
Perubahan iklim telah menyebabkan fenomena El Nino, seterusnya mengakibatkan keadaan yang lebih kering dan panas di Asia Tenggara.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Asia Tenggara kini sedang mengalami gelombang haba akibat perubahan iklim dan fenomena El Nino. Pada 30 April, suhu meningkat sehingga 43 darjah Celsius di Bangkok, 44 di Kemboja dan 47 di Laos.
Malah, ada tempat di Filipina dengan suhu mencecah sehingga 53 darjah Celsius!
Malaysia tidak terkecuali daripada keadaan ini malah dijangkakan cuaca pada tahun ini akan lebih panas berbanding tahun lalu yang merupakan rekod paling panas bagi negara.
“Tahun lepas di peringkat dunia (bukan di Malaysia) ialah tahun yang paling panas dalam rekod manakala tahun ini dianggarkan mungkin akan jadi tahun paling panas bermakna lebih panas daripada tahun lalu,” kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Cuaca Panas Disebabkan El Nino
El Nino menjadikan cuaca lebih panas dan kering di rantau ini. Fenomena tersebut disebabkan oleh perubahan suhu permukaan laut dan angin di Lautan Pasifik.
Di Malaysia, El Nino biasanya menyebabkan fenomena cuaca seperti hujan yang berkurangan dan jerebu.
Setakat 1 Mei, MetMalaysia mengumumkan purata suhu antara 35 hingga 40 darjah Celsius akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut.
Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) menganggarkan cuaca akan kembali ke keadaan neutral antara April dan Mei memandangkan kemuncak El Nino telah berlalu.
Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Kekal Sihat Dalam Cuaca Panas?
Cuaca panas yang melampau sememangnya berbahaya kerana orang ramai akan terdedah kepada risiko dehidrasi atau strok haba. Di sini kami kongsikan beberapa kaedah yang boleh dilakukan untuk kekal sihat dan selamat dalam musim panas.
#1. Elak berada di luar bangunan
Elak berada di luar, terutamanya di bawah cahaya matahari terik dalam keadaan cuaca panas. Luangkan masa di dalam bangunan yang mempunyai pendingin udara untuk elak daripada terkena strok haba.
Lebih bagus jika bangunan tersebut tidak sesak dan mempunyai pengudaraan yang baik. Namun, jika anda perlu keluar, lindungi diri daripada cahaya matahari menggunakan payung atau topi.
#2. Kekalkan kesejukan di rumah
Selain daripada menggunakan kipas dan pendingin hawa, elakkan rumah daripada menjadi terlalu panas dengan menutup langsir. Pasangkan ‘tint’ pada tingkap-tingkap di rumah, terutamanya yang mengenai cahaya matahari secara langsung.
Selain itu, sistem penyejukan boleh dihasilkan dengan penggunaan air pancut mini atau kolam. Boleh juga letak sahaja sebaldi atau sebesen berisi air penuh di kawasan rumah untuk menyejukkan udara.
#3. Minum air secukupnya
Cuaca panas akan menyebabkan kita berpeluh, seterusnya mengurangkan kandungan air dalam badan. Oleh itu, minum air dengan secukupnya untuk mengganti semula kandungan air tersebut.
Air bukan sahaja dapat menghilangkan dahaga, tetapi juga penting dalam mengawal suhu badan. Kurangkan pengambilan minuman tertentu seperti teh, kopi dan minuman bergas kerana boleh mengakibatkan dehidrasi.
#4. Pakai pakaian yang sejuk dan selesa
Memandangkan kita akan mudah berpeluh dalam cuaca panas, lebih elok jika memakai pakaian yang dapat menyingkirkan peluh dari badan (moisture-wicking).
Kain jenis ini akan menarik peluh dari kulit keluar menerusinya. Contoh kain yang sesuai adalah poliester dan merino.
#5. Mandi dengan air sejuk
Jika anda terasa terlalu panas, segera mandi dengan air sejuk untuk menurunkan haba badan. Boleh juga lap tubuh badan di bahagian tertentu seperti muka, leher dan lengan menggunakan kain basah.
#6. Kurangkan aktiviti senaman di luar
Sementara cuaca panas berterusan, kurangkan aktiviti senaman di luar bangunan, terutamanya di bawah sinaran matahari. Bersenam di dalam bangunan seperti di gim dan jangan lupa untuk minum air secukupnya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.