Now Reading
ZUS Coffee Jadi Topik Hangat Di Media Sosial, Netizen Luah Keinginan Boikot Jenama Itu

ZUS Coffee Jadi Topik Hangat Di Media Sosial, Netizen Luah Keinginan Boikot Jenama Itu

Syarikat kopi tempatan itu telah melakukan giveaway kasut Adidas di laman media sosial miliknya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Genosid ke atas Palestin yang dijalankan oleh rejim Zionis telah menggerakkan masyarakat dunia dalam mengambil tindakan untuk mengecualikan diri daripada menyumbang kepada kerajaan haram itu.

Dari boikot produk yang bersubahat dengan Israel ke gerakan Blockout 2024, masyarakat dunia cuba untuk sama-sama berusaha bagi ‘menjatuhkan’ rejim itu.

Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali daripada usaha ini, malah sehingga mencari inisiatif lain bagi menggantikan produk-produk yang terlibat dengan Israel. Salah satu inisiatif tersebut ialah syarikat kopi tempatan, ZUS Coffee.


ZUS Terlibat Giveaway Jenama Adidas

Walau bagaimanapun, ZUS Coffee baru-baru ini terpalit dengan isu berkenaan apabila melakukan aktiviti pertandingan hadiah (giveaway) kasut Gazelle oleh Adidas di laman media sosial miliknya.

Namun, menurut carian kami hantaran tersebut sudahpun dipadam.

Sehubungan itu, pihak ZUS telah mengeluarkan kenyataan berkenaan isu terbabit.

Mereka menjelaskan bahawa penglibatannya dalam satu acara sukan-fesyen baru-baru ini merupakan aktiviti yang hanya berlaku sekali sahaja di mana pihaknya terlibat untuk menjual kopi pada peserta.

Kenyataan sama menjelaskan bahawa giveaway itu juga merupakan aktiviti sekali sahaja dan bukanlah satu bentuk kolaborasi dengan syarikat pakaian sukan terbabit.


ZUS Dikecam Kerana Dilihat Bersifat Neutral

Namun begitu, ZUS telah menerima kecaman netizen apabila kenyataan tersebut dilihat seolah-olah bersikap neutral terhadap situasi di Gaza.

“ZUS Coffee tidak akan dengan sengaja mengaitkan diri kami dengan peperangan dan secara tegas menolak sebarang tindakan kekerasan terhadap kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Perkara ini dilihat oleh netizen sebagai tidak menyokong sebarang pihak dalam peperangan tersebut, termasuklah Palestin.

“Kami memilih mereka [ZUS] kerana memboikot Starbucks. Kami memilih Gaza, jadi kami memilih ANDA! Anda mendapat banyak manfaat ketika boikot ini dan memilih untuk menjadi neutral?” kata seorang individu di laman X.

Seorang lagi individu menyatakan bahawa McDonalds, KFC dan Starbucks telah diboikot atas dasar bersifat neutral, dan ZUS tidak akan terkecuali.


Netizen Persoal Tiada Nama ‘Palestin’ Dalam Kenyataan ZUS

Di samping itu, beberapa pengguna laman X mempersoalkan tindakan ZUS yang tidak menyebut langsung nama ‘Palestin’ di dalam kenyataan tersebut.

Mereka turut memperbetulkan ZUS dengan berkata situasi di Gaza bukanlah peperangan tetapi satu bentuk pembunuhan beramai-ramai atau genosid.

“Memang pendirian syarikat untuk ‘play safe’ dan ‘stay neutral’ ke?” soal seorang individu.

Beberapa individu juga telah membuat keputusan untuk memboikot syarikat kopi tersebut.

“Kenyataan maaf anda lemah, sama seperti penyedut anda!” seorang wanita meluahkan pendapatnya.

Baca Artikel Berkaitan: ZUS Coffee Bakal Guna Straw Baru Selepas Terima Banyak Aduan Dari Pelanggan


Kenapa Ada Seruan Boikot Adidas?

Untuk makluman, terdapat panggilan agar jenama Adidas diboikot. Ini kerana ia menggunakan pengilang Israel, Delta Galil, bagi rangkaian seluar dalamnya.

Adidas sebelum ini pernah menaja persatuan bola sepak Israel (IFA), tetapi telah membatalkannya setelah berdepan tentangan daripada lebih 130 kelab bola sepak Palestin.

Malah, syarikat itu juga telah menghentikan tajaan bagi “Jerusalem marathon” yang laluannya merangkumi tanah Palestin selepas berhadapan bantahan, boikot dan kritikan dari pihak kerajaan.

Sumber: boycott.thewitness.news
Tangkap layar dari laman adidasunderwear.com
Delta Galil ditubuhkan di Tel Aviv yang terletak di Israel (Sumber: deltagalil.com)

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd