Now Reading
Gaji Penjawat Awam Persekutuan Dinaikkan, Negeri Sembilan Akan Ikut Jejak Langkah

Gaji Penjawat Awam Persekutuan Dinaikkan, Negeri Sembilan Akan Ikut Jejak Langkah

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kajian mengenai keputusan penyelarasan kenaikan gaji akan dibuat dan dibentang Persidangan DUN akan datang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sempena Hari Pekerja semalam (1 Mei), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kenaikan gaji bagi penjawat awam akan naik lebih 13%, iaitu tertinggi dalam sejarah negara.

Berita gembira ini diumumkan ketika Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Anwar berkata penyelarasan kenaikan gaji ini akan bermula pada Disember dengan peruntukan lebih RM10 bilion.

“Oleh itu pada tahun ini, melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kita menggunakan kriteria dan ukuran baharu iaitu pendapatan menyeluruh termasuk gaji dan elaun tetap, mesti lebih RM2,000,” katanya.


“Kerajaan Negeri Kena Selaraskan Kerana Libatkan Kakitangan Awam” – Aminuddin Harun

Hari ini (2 Mei), berita melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata gaji penjawat awam di negeri itu akan turut dinaikkan.

Menurutnya, kajian mengenai keputusan itu dan perkara berkaitan akan dibuat, dan seterusnya dibentang di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan datang.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri perlu menyelaraskan perkara itu kerana ia melibatkan kakitangan awam.

“Kita suka atau tak suka, apabila kerajaan Persekutuan umumkan kerana melibatkan kakitangan awam, kita (negeri) kena selaraskan. Sudah tentu melalui pengumuman itu, kerajaan negeri harus laksanakan bersama iaitu melibatkan gaji dan gred sama di Persekutuan,” katanya dipetik Astro Awani.


Tunggu Keputusan Persekutuan Naikkan Gaji Penjawat Awam

Aminuddin berkata pihaknya akan menunggu keputusan kerajaan Persekutuan. Tambahnya, kenaikan bukan sahaja membabitkan 15% gaji, tetapi juga lain-lain perkara berkaitan seperti caruman KWSP dan elaun lantikan kontrak.

Perhatian juga diberi kepada gaji minimum RM2,000 seperti diumumkan Perdana Menteri, maklumnya.

Dalam masa sama, Aminuddin berharap agar kenaikan tersebut dapat meningkatkan prestasi dan produktiviti penjawat awam di samping mengurangkan kerunsingan mereka, terutamanya yang di peringkat bawahan.

“Memang akan ada implikasi kewangan, tanggungjawab sekarang untuk pastikan kita cukup untuk bayar gaji penjawat awam kita. Pakej kita akan ikut Persekutuan, tidak lebih tidak kurang,” katanya.


Sarawak Juga Akan Tingkatkan Gaji Penjawat Awam

Sarawak turut akan melaksanakan kenaikan gaji kepada penjawat awam yang berkhidmat di negeri itu, maklum Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam.

Tambahnya, Sarawak akan menawarkan pakej kenaikan gaji yang lebih baik berbanding kerajaan Persekutuan dan dijangka diumumkan menjelang bulan depan.

“Insya-Allah kita mampu menanggung kenaikan gaji yang akan kita umumkan nanti,” katanya.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd