“Kasihkan Anak” – Si Ibu Sanggup Menetap Di USM Untuk Bantu Anak Lumpuh Sambung Pengajian
Si ibu telah membuat keputusan untuk tinggal di USM sepanjang pengajian berlangsung bagi membantu anaknya yang lumpuh kedua-dua belah kaki hingga ke paras pinggang akibat Tibi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ibu bapa adalah insan yang paling istimewa dalam kehidupan kerana mereka sanggup mengorbankan masa dan tenaga bagi memastikan anak-anak membesar dengan baik.
Mereka ini jugalah yang menjadi tulang belakang sekiranya si anak ditimpa musibah.
Ibu Sanggup Menginap Di USM Untuk Bantu Anak Lumpuh Sepanjang Pengajian
Baru-baru ini, satu berita menyentuh hati dilaporkan apabila seorang ibu dikenali sebagai Rosmawati Salleh, 55 telah membuat keputusan untuk menemani anak perempuannya yang lumpuh di Universiti Sains Malaysia (USM) sepanjang pengajian itu berlangsung.
Anak perempuan Nursyuhaila Abdullah, 21 difahamkan pernah menghidapi masalah kesihatan ketika berumur 15 tahun iaitu Tuberkulosis atau Tibi yang turut memberi kesan terhadap saraf tunjang sehingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya lumpuh hingga paras pinggang.
Namun cabaran tersebut tidak menjadi penghalang kepada Nursyuhaila untuk mendaftarkan diri sebagai pelajar baharu di USM pada Ahad (8 Oktober).
“Alhamdulillah saya bersyukur ibu sanggup tinggal bersama-sama di USM sepanjang pengajian nanti. Saya memang sangat memerlukan bantuan ibu kerana kesan penyakit itu masih dapat dirasai,” kata Nursyuhaila dipetik Harian Metro.
Selain menghadapi kekangan untuk bergerak, dia turut berdepan kesukaran untuk menguruskan urusan seharian seorang diri kerana mengalami kekejangan otot.
Pelajar baharu ini menjelaskan dia masih perlu mendapatkan rawatan lanjut di Jabatan Perubatan Rehabilitasi Hospital Pulau Pinang (HPP) susulan penyakit yang dihadapi.
Anak Yang Lumpuh Lega Si Ibu Sanggup Teman Di Universiti
Akibat penyakit dialami, Nursyuhaila yang merupakan bekas penuntut Maktab Rendah Sains MARA Transkrian turut berkata, dia tidak berpeluang untuk menghadiri sekolah selama setahun sepanjang berada di tingkatan empat sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Mutiara Kulim.
“Pada masa itu, ibulah insan yang banyak berkorban masa dan tenaga untuk hantar dan ambil dari sekolah. Ibu juga datang setiap kali waktu rehat untuk tolong urus pergerakan saya ke tandas dan sebagainya,” ulas pelajar ini.
Bersyukur dengan pengorbanan si ibu, Nursyuhaila telah menanam impian untuk belajar secara gigih bagi mencapai cita-cita sebagai seorang pensyarah suatu hari nanti.
Untuk info, Nursyuhailah telah memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu sebanyak 6A walaupun mempunyai masalah kesihatan yang kronik.
Kepada para anak di luar sana, hargailah orang tua anda kerana hidup pasti tidak berasa lengkap tanpa mereka di sisi.
Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Penyakit Tibi
Bagi mereka yang kurang tahu tentang penyakit Tibi, di sini kami akan kongsikan beberapa fakta tentang masalah kesihatan tersebut.
Punca penyakit tibi ini berlaku adalah daripada jangkitan bakteria Mycobacterium Tuberculosis yang boleh menyerang bahagian berbeza pada tubuh badan seperti tulang belakang.
Selain itu, Tibi juga dikategorikan sebagai penyakit berjangkit dan disebarkan melalui titisan air daripada batuk atau air liur.
Berikut adalah antara simptom Tibi yang boleh dikenal pasti:
- Peningkatan suhu badan.
- Sakit tulang belakang.
- Penurunan berat badan.
- Tulang rapuh.
- Sakit kepala.
- Batuk berdarah.
Baca Artikel Berkaitan: Kasih Anak Lelaki Jaga Ibu Lumpuh Hidap Penyakit Kronik Sejak 12 Tahun Lalu
Baca Artikel Berkaitan: “Kau Masih Sahabat Kami” – Bapa Hampir Lumpuh, Sajat Sebak Aliff Syukri Bantu Belikan Kerusi Roda Di Malaysia
Baca Artikel Berkaitan: “Kenapa Mama Tak Bagitau Kakak…” – Ibu Sorok Berita Sakit, Risau Anak Hilang Tumpuan
Sumber: Harian Metro | Hello Doktor
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram