Now Reading
Boleh Ke Sengaja Cari Jalan Jauh Untuk Cukupkan Syarat Solat Qasar? Ini Penjelasan Dari Mufti

Boleh Ke Sengaja Cari Jalan Jauh Untuk Cukupkan Syarat Solat Qasar? Ini Penjelasan Dari Mufti

Solat qasar diharuskan kepada mereka yang bermusafir dengan jarak perjalanan melebihi dua marhalah atau 81 kilometer.

solat qasar (1)

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Islam itu agama yang memudahkan.

Disebabkan itu, Allah SWT telah memberi keringanan kepada para musafir untuk memendekkan dan mengumpulkan solat fardhu dalam satu waktu.

Dari segi fiqh, syarat untuk membolehkan seseorang melakukan solat qasar dan jamak adalah perlu merentasi perjalanan melebihi dua marhalah atau tidak kurang daripada 81 kilometer.

Tetapi apa pula hukumnya jika umat Islam sengaja mencari jalan yang jauh untuk membolehkan mereka melakukan solat qasar ketika berada dalam perjalanan ke sesuatu destinasi?


Hukum Sengaja Mencari Jalan Jauh Untuk Membolehkan Solat Qasar

Memetik sumber dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, situasi ini boleh berlaku jika terdapat dua jalan di mana salah satunya mempunyai jarak yang lebih dekat untuk ke sesebuah destinasi.

Mazhab Syafie menjelaskan bahawa jika terdapat dua jalan iaitu salah satunya dekat dan tidak melebihi 82 kilometer manakala satu lagi jauh dan melebihi 82 kilometer, namun jika seseorang itu memilih jalan yang jauh kerana tujuan tertentu seperti dapat menjimatkan kos tol atau untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas maka harus untuk dia mengqasarkan solatnya.

Walau bagaimanapun jika mereka sengaja mengambil jalan jauh supaya boleh mengqasarkan solatnya, maka individu berkenaan tidak boleh mengqasarkan solat seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

ولو كان لمقصده طريقان طويل وقصير فسلك الطويل لغرض كسهولة أو أمن قصر وإلا فلا في الأظهر

Maksudnya: Jika tempat tujuanya memiliki dua jalan, salah satunya jauh manakala yang satu lagi dekat lalu dia mengambil jalan yang jauh kerana tujuan-tujuan tertentu seperti lebih mudah atau lebih selamat maka harus dia mengqasarkan solatnya. Adapun jika dia lakukannya tanpa sebab maka tidak boleh dia mengqasarkan solatnya.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Hal ini bertepatan dengan kaedah yang disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi:

أن تَعاطي سبب الترخص لِقصْد الترخص لا يُبيح

Maksudnya: Sesungguhnya sengaja mengambil sebab-sebab rukhsah untuk membolehkan rukhsah tidak dibolehkan.

Kesimpulan

Berdasarkan situasi tersebut, dapat disimpulkan bahawa mereka yang sengaja menggunakan jalan yang jauh untuk memenuhi jarak syarat solat qasar sehingga melebihi 81 kilometer adalah tidak dibenarkan.

Wallahualam.


Rukhsah Solat Jamak & Qasar

Qasar adalah rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh Allah SWT untuk hambanya dalam keadaan-keadaan tertentu seperti ketika musafir. Perjalanan musafir bukanlah suatu yang mudah kerana itu dalam sebuah riwayat Nabi SAW bersabda:

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ العَذَابِ، يَمْنَعُ أحَدَكُمْ طَعَامَهُ وشَرَابَهُ ونَوْمَهُ، فَإِذَا قَضَى نَهْمَتَهُ، فَلْيُعَجِّلْ إلى أهْلِهِ.

Maksudnya: Musafir itu ialah sebahagian dari azab (kesusahan) yang menghalang kamu daripada makan, minum dan tidur. Apabila kamu telah menyelesaikan keperluannya maka segeralah kembali ke pangkuan keluarganya. [Riwayat al-Bukhari]

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)
Syarat-syarat Yang Mengharuskan Solat Jamak Dan Qasar

Bagi membolehkan seseorang melakukan solat jamak dan qasar, berikut adalah tiga syarat yang ditetapkan iaitu:

  • Jarak perjalanan melebihi dua marhalah atau 81 kilometer.
  • Perjalanan yang mempunyai tujuan tertentu.
  • Perjalanan yang tidak bertujuan maksiat.
Syarat Sah Solat Qasar
  • Perjalanan telah melepasi sempadan qaryah.
  • Tidak berniat untuk menetap selama empat hari atau lebih di lokasi destinasi (tidak termasuk hari tiba dan pulang).
  • Tidak mengikuti imam solat yang bermukim.
  • Dilakukan berturut-turut antara solat pertama dan kedua.
  • Masih bermusafir ketika melakukan solat kedua.

Semoga perkongsian kami ini bermanfaat kepada anda semua.

Baca Artikel Berkaitan: Sukar Cari Masjid? Lelaki Ini Kongsi Cara Mudah Untuk Solat Jika Di Luar Negara

Baca Artikel Berkaitan: Sujud Atas Telekung Ketika Solat Sah Atau Tak? Ini Penjelasan Ustaz

Baca Artikel Berkaitan: Sukar Khusyuk Solat Sebab ADHD? Ikuti 5 Petua Dr Zulkifli Buat Yang Tengah ‘Struggle’


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd