Now Reading
Banjir Johor: Kota Tinggi Catat Mangsa Paling Ramai

Banjir Johor: Kota Tinggi Catat Mangsa Paling Ramai

Daerah yang teruk terjejas akibat banjir di Johor adalah Kota Tinggi dengan jumlah mangsa seramai 2,964 orang diikuti dengan Johor Bahru seramai 1,844 orang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Beberapa daerah di Johor kini berada dalam ambang bahaya kerana dilanda bencana banjir yang telah menenggelamkan banyak rumah penduduk.

Memetik Harian Metro, situasi banjir di Johor dilihat semakin buruk setakat 7:00 pagi hari ini (8 Januari) apabila jumlah mangsa dilaporkan telah meningkat kepada 6,564 orang daripada 1,819 keluarga.

Kesemua mangsa banjir telah ditempatkan di 51 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam buah daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani menjelaskan bahawa daerah yang teruk terjejas akibat banjir di Johor ini adalah Kota Tinggi dengan jumlah mangsa seramai 2,964 orang diikuti dengan Johor Bahru seramai 1,844 orang.

Sumber: Harian Metro

Beberapa Jalan Sekitar Johor Ditutup

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor melaporkan sebanyak 12 jalan raya di Kota Tinggi telah terjejas akibat banjir dan empat laluan telah ditutup untuk semua jenis kenderaan manakala lapan lagi hanya dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

Memetik Kosmo, JKR Segamat dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa laluan Jalan Kuantan-Segamat (FT012) ditutup mulai semalam (7 Januari) sehingga 28 Januari 2024 bagi semua jenis kenderaan berikutan keadaan jalan yang mendap di Seksyen 102 berhampiran kawasan Burung Unta.

Penutupan itu adalah bertujuan untuk membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan oleh pihak Pasukan Projek FT012.

Sumber: Kosmo

“Laluan alternatif yang dicadangkan jika dari arah Kuantan ke Muadzam Shah, semua pengguna dilencongkan ke Laluan Persekutuan FT03 (Kuantan – Endau melalui Bandar Pekan) dan Laluan FT63 (Leban Condong Muadzam Shah).

“Orang ramai boleh melalui laluan alternatif yang dicadangkan jika dari arah Gambang ke Muadzam, semua pengguna dilencongkan ke laluan Pekan Batu Balek (FT82) ke laluan Persekutuan Kuantan Endau (FT 03).

“Sementara itu, laluan alternatif dicadangkan jika dari arah Muadzam ke Kuantan, semua pengguna dilencongkan ke (Leban – Condong Muadzam (FT 63) ke Laluan Persekutuan Kuantan – Endau (F103),” jelas JKR Segamat.

Sumber: Facebook Polis Johor

Keadaan Terkini Banjir Di Johor

Mengikut sumber Public Info Banjir, sebanyak 5 sungai di Johor telah melepasi paras bahaya setakat jam 10:30 pagi hari ini (8 Januari) iaitu:

  • Sungai Kahang di Kluang (15.90 meter)
  • Sungai Siam, Kulai (20.85 meter)
  • Sungai Linggiu, Kota Tinggi (31.07 meter)
  • Sungai Johor, Kota Tinggi (3.31 meter)
  • Sungai Kepala Orang, Kota Tinggi (8.76 meter)

TNB Kongsi Langkah Keselamatan Ketika & Selepas Banjir

Menerusi laman web TNB, terdapat beberapa langkah keselamatan dikongsikan kepada orang ramai ketika musim banjir dan selepas air mula surut.

Antara tips yang dikongsikan adalah:

Ketika Banjir

  • Berhenti menggunakan sebarang peralatan elektrik dan letakkan di kawasan yang lebih tinggi. Pastikan suis utama dimatikan untuk mengelakkan renjatan elektrik.
  • Hubungi TNB Careline di talian 15454 atau maklumkan di laman Facebook TNB Careline untuk memotong bekalan kuasa jika paras air di premis anda meningkat.
  • Elakkan daripada mendekati peralatan elektrik atau kabel yang terendam di dalam air walaupun ia berpenebat.
  • Elakkan daripada mendekati atau menyentuh tiang logam atau mana-mana pemasangan TNB yang ditenggelami air untuk mengelakkan risiko terkena renjatan elektrik.
  • Pastikan semua soket suis ditutup dan tanggalkan semua palam kuasa.
  • Pastikan powerbank anda dicas sepenuhnya lebih awal supaya boleh digunakan untuk mengecas telefon anda sekiranya perlu membuat panggilan kecemasan.
  • Jika premis anda dilengkapi dengan panel solar PV (foto-voltan), matikannya terlebih dahulu sebelum keluar dari rumah.
Gambar sekadar hiasan.

Selepas Banjir

  • Matikan suis utama sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian.
  • Suis dan peralatan elektrik yang terendam dalam air hendaklah diperiksa oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum digunakan semula.
  • Jauhi dahan pokok yang terperangkap dalam wayar elektrik kerana arus elektrik mungkin masih mengalir. Hubungi pihak TNB bagi mendapatkan tindakan segera.
  • Jangan guna tiang panjang atau tangga yang diperbuat daripada logam, aluminium, buluh atau kayu berhampiran talian elektrik.
  • Ibu bapa harus memantau anak-anak untuk memastikan mereka tidak berada berdekatan dengan tiang atau kabel elektrik yang rosak atau terdedah.

Orang ramai juga dinasihati untuk segera menghubungi pihak TNB sekiranya berlaku sebarang isu berkaitan bekalan elektrik akibat banjir.

Baca Artikel Berkaitan: Elak Terkena Renjatan Elektrik, TNB Kongsi Langkah Keselamatan Ketika Banjir

Baca Artikel Berkaitan: Pertama Kali Hadapi Banjir? Ini Tips Yang Anda Perlu Tahu

Baca Artikel Berkaitan: “1 Rumah, 1 Beg Kecemasan” – Ini Senarai Barang Perlu Ada Dalam Beg Bencana Banjir


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd