Now Reading
Banjir Di Johor, Sabah & Pahang Semakin Teruk, Jumlah Mangsa Dipindahkan Bertambah

Banjir Di Johor, Sabah & Pahang Semakin Teruk, Jumlah Mangsa Dipindahkan Bertambah

Lebih 5,400 orang dipindahkan di Johor dan kira-kira 6,300 mangsa dipindahkan di Sabah berikutan banjir kilat.

banjir sabah sarawak pahang johor

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Susulan musim monsun timur laut yang masih berlaku, beberapa kawasan di pantai timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan timur Sabah kini terdedah kepada musim banjir antara bulan November dan Mac.

Selain Sabah dan Johor, beberapa daerah di negeri Pahang dan Sarawak juga terjejas akibat banjir.

Sehingga kini, jumlah mangsa banjir semakin meningkat berikutan hujan lebat yang berterusan.

Lebih 6,300 Mangsa Banjir Dipindahkan Di Sabah

Memetik laporan Bernama, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan telah meningkat secara mendadak daripada 1,421 kepada 6,313 sekitar jam 12:00PM pada hari ini (26 Januari).

Sejumlah 26 pusat pemindahan ditubuhkan di lima daerah sekitar Sabah yang terjejas. Antaranya:

  • Kota Marudut
  • Kudat
  • Pitas
  • Paitan
  • Lahad Datu
Banjir Di Sabah, Johor & Pahang Semakin Membimbangkan
Sumber: Facebook Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan memaklumkan Kota Marudu mempunyai jumlah mangsa paling ramai yang dipindahkan.

Ketika ini seramai 4,784 orang daripada 1,731 keluarga di Kota Marudu ditempatkan di 11 pusat pemindahan.

Kira-kira 5,400 Mangsa Banjir Dipindahkan Di Johor

Menurut laporan Bernama setakat pagi ini, Johor mencatatkan seramai 5,455 mangsa banjir telah dipindahkan ke 55 pusat pemindahan dengan Pontian merupakan daerah terbaharu yang dilanda banjir.

Daerah lain yang terjejas ialah Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat dan Muar. Segamat pula mencatatkan jumlah mangsa pemindahan tertinggi iaitu 1,801 orang.

Dalam kejadian berasingan di Kampung Jemari, Mersing, konvoi motosikal berkuasa tinggi berdepan detik cemas apabila mereka hampir dihanyutkan arus deras petang semalam (25 Januari).

banjir johor

“Enam penunggang warga Singapura yang sedang dalam perjalanan menuju ke Kuantan dari Kluang cuba untuk menggerakkan kenderaan mereka di kawasan yang dinaiki air,” kata Ketua Polis Daerah Mersing Supritenden Abdul Razak Abdullah Sani.

Penunggang itu dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memantau banjir di kawasan Kampung Jemari dan tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.


Banjir Di Pahang Dan Sarawak

Pahang turut dilanda banjir semalam (25 Januari) dan jumlah mangsa dilihat semakin meningkat.

Setakat pagi ini, tiga pusat pemindahan sementara dibuka di Rompin bagi menempatkan 164 mangsa daripada 49 keluarga. Ketiga-tiganya pusat pemindahan tersebut adalah di:

  • Kampung Setajam
  • Balai Raya Bukit Lepas
  • Balai Raya Bandar Perwira Jaya

Sarawak merupakan negeri terbaharu yang terjejas akibat banjir dan kini menempatkan 53 orang mangsa daripada 16 keluarga di dua pusat pemindahan di daerah Lundu dan Sematan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga memberi amaran ribut petir di beberapa kawasan sekitar Sarawak termasuklah Kuching, Sri Aman, Betong, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang sehingga malam ini.

Persediaan Awal Bagi Menghadapi Bencana Banjir

Menurut MetMalaysia, gelombang hujan berterusan ini dijangka bakal berlaku buat kali ketiga bermula 19 Januari susulan luruan Monsun Timur Laut (MTL).

Berikutan itu, orang ramai dinasihati untuk membuat persediaan awal bagi menghadapi bencana banjir.

Antara persiapan yang boleh dilakukan bagi menghadapi bencana banjir adalah:

  • Mendengar hebahan semasa menerusi televisyen, radio, agensi-agensi kerajaan, serta Bilik Gerakan Banjir Negeri.
  • Memastikan di mana lokasi pusat pemindahan dan pusat bantuan bencana di tempat masing-masing.
  • Menyediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan yang secukupnya.
  • Memindahkan segala barangan berharga, perabot dan barangan bahaya seperti racun perosak ke tempat yang lebih tinggi.
  • Memutuskan sambungan peralatan elektrik.
  • Menutup api dan gas.

Berikut pula adalah perkara yang paling penting perlu disediakan sebelum bencana banjir melanda, iaitu beg kecemasan untuk setiap rumah yang penuh dengan barangan seperti:

  • Dokumen penting.
  • Pakaian, kasut dan selimut.
  • Lampu suluh dan bateri.
  • Kit Bantuan Kecemasan & ubat-ubatan.
  • Wisel.
  • Makanan tahan lama.
  • Air.
  • Radio mini mudah alih berbateri.
  • Kit kebersihan.
  • Telefon dan powerbank.
  • Wang ringgit.

BACA JUGA: “1 Rumah, 1 Beg Kecemasan” – Ini Senarai Barang Perlu Ada Dalam Beg Bencana Banjir


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd