Now Reading
Macam Mana Ketumbit Boleh Timbul? Ini Fakta Yang Mungkin Ramai Tak Tahu

Macam Mana Ketumbit Boleh Timbul? Ini Fakta Yang Mungkin Ramai Tak Tahu

Beliau menjelaskan bahawa ketumbit adalah satu tindak balas yang berlaku apabila liang minyak pada kelopak mata tersumbat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tak kiralah kanak-kanak atau sudah dewasa, kita semua pernah mengalami ketumbit di bahagian mata kan? Yang peliknya, ia sering berlaku secara tiba-tiba.

Kalau ikut mitos orang tua dulu-dulu, ketumbit berlaku selepas seseorang dikatakan ‘mengintip’ individu lain yang sedang mandi di dalam tandas.

Tetapi terfikir juga, macam mana ketumbit ini boleh terjadi?


Apa Itu Ketumbit?

Menerusi perkongsian dimuat naik di laman X (@Dr_Lael_Salim), doktor wanita ini memberi pendedahan tentang masalah ketumbit yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat.

Beliau menjelaskan bahawa ketumbit adalah satu tindak balas yang berlaku apabila liang minyak pada kelopak mata tersumbat.

Untuk pengetahuan, mata kita mempunyai dua bahagian liang minyak di mana bahagian dalamnya disebut sebagai ‘Meibomian Glands’ manakala bahagian luar berhampiran bulu mata pula dipanggil ‘Zeis & Moll Glands’.

Sumber: Natural Eye Care Inc

Terdapat dua jenis ketumbit berdasarkan bahagian liang minyak yang tersumbat.

Jika liang minyak pada bahagian dalam yang tersumbat, ketumbit itu disebut sebagai ‘Chalazion’ atau ‘Internal Hordeolum’.

Sekiranya liang minyak yang tersumbat itu di bahagian luar mata, ia dipanggil sebagai ‘Stye’ atau ‘External Hordeolum’.

Sumber: Puget Sound Eye Care

Punca Berlakunya Ketumbit

Macam mana liang minyak tersebut boleh tersumbat?

Ia berkait dengan masalah kulit di bahagian mata iaitu ketumbit akan terjadi jika bahagian kulit di kawasan tersebut tidak bersih atau bermasalah.

Jika penghasilan minyak terlampau banyak di bahagain berkenaan juga akan menyebabkan liang minyak mudah tersumbat dan mengakibatkan kewujudan bakteria Staphylococcus aureus yang menjadi punca mata mula membengkak.

Walau bagaimanapun, ketumbit ini juga boleh terbentuk disebabkan oleh kegatalan akibat alahan dalam tubuh badan seseorang.

Sumber: AMBOSS

Gejala Yang Dialami Jika Mengalami Ketumbit

Antara simptom yang sering dialami oleh individu mempunyai masalah ketumbit ini adalah seperti berikut:

  • Sakit pada kelopak mata
  • Mata berasa seperti mempunyai biji
  • Kelopak mata bengkak atau berwarna merah

Menerusi laman web MyHealth, mereka yang mengalami masalah ini perlu elak daripada memegang mata dengan tangan yang tidak bersih.


Cara Untuk Mengatasi Masalah Ketumbit

Salah satu cara untuk mengatasi masalah ketumbit ini adalah dengan menuam mata menggunakan air suam.

Ini kerana apabila wujudkan haba, liang minyak akan terbuka dan membolehkan minyak di dalamnya mengalir dengan lebih baik.

Untuk mempercepatkan lagi proses untuk sembuh, anda boleh melakukan tuaman suam ini menggunakan kain bersih untuk tempoh lima minit dan sebanyak empat kali sehari. Nak buat lebih pun tak apa.

Sumber: X

Jika tuaman suam ini masih tidak dapat menyurutkan ketumbit pada mata, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor di klinik untuk mendapatkan rawatan.

Antara rawatan yang akan diberikan oleh doktor adalah dengan melakukan sedikit torehan pada bahagian dalam kelopak mata untuk mengurangkan sumbatan pada liang minyak.

Teknik tersebut yang dikenali sebagai ‘Incision and Curettage‘ ini hanya akan dilakukan jika ketumbit berlaku disebabkan oleh liang minyak bahagian dalam mata yang tersumbat.

Sumber: X

Bagi ketumbit yang berpunca daripada liang minyak pada bahagian luar mata, anda juga boleh merawatnya dengan cara mencabut bulu mata di kelenjar terlibat bagi memudahkan pengaliran minyak pada liang.

Namun jika keadaan menjadi semakin teruk sehingga keseluruhan mata menjadi bengkak, lebih baik untuk terus berjumpa dengan doktor kerana bimbang berlakunya jangkitan kuman.

Sekiranya ketumbit kerap tumbuh semula dan mengambil masa agak lama untuk surut, ia juga boleh menjadi petanda awal kepada sejenis kanser kelopak mata iaitu ‘Sebaceous Carcinoma’.

Jadi sebelum keadaan menjadi semakin parah, lebih baik untuk segera bertemu dengan doktor mata.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd