Now Reading
Kadar Kelahiran Bayi & Kematian Berkurangan, Malaysia Bakal Jadi Negara Menua Pada 2030

Kadar Kelahiran Bayi & Kematian Berkurangan, Malaysia Bakal Jadi Negara Menua Pada 2030

Laporan mendapati kelahiran hidup dalam masyarakat Melayu meningkat berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu sebanyak 88.8% daripada jumlah keseluruhan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Malaysia kini mendepani negara menua (aging population) apabila peratus penduduk berumur 65 tahun ke atas meningkat ke 7.4% tahun lepas, berbanding 7.2% pada 2022 dan 7% pada 2021.

Menurut Bank Dunia, terdapat dua sebab berlakunya negara menua iaitu kekurangan kematian dan kadar kelahiran hidup.

Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan laporan Statistik Demografi bagi suku pertama 2024.


Kadar Kelahiran Bayi Hidup Berkurangan

Laporan tersebut menunjukkan kadar kelahiran bayi hidup berkurangan sebanyak 9.4% (dari 117,413 ke 106,386 kelahiran) berbanding suku pertama 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata secara puratanya seramai 49 bayi dilahirkan setiap jam dan 1,182 dalam sehari bagi suku pertama 2024.

Menurutnya, lebih ramai bayi lelaki dilahirkan berbanding perempuan, dengan jumlah 54,747 dan 51,639 masing-masing.

Dalam pada itu, laporan juga menunjukkan jumlah kelahiran hidup tertinggi di Selangor (18.8%) dan terkecil di Labuan (0.3%).

Sumber gambar: Unsplash

Majoriti Kelahiran Hidup Dalam Kalangan Melayu & Wanita Berusia 20-29 Tahun

Majoriti kelahiran hidup adalah dalam kalangan masyarakat Melayu, dengan jumlah bayi 73,136 (88.8%) yang menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lepas.

Kadar kelahiran hidup bagi lain-lain Bumiputra juga meningkat dari 12.6% ke 12.7%.

Sebaliknya, kelahiran bayi bagi masyarakat Cina berkurangan dari 9.7% ke 8.8%. Keadaan sama dapat dilihat dalam masyarakat India dengan pengurangan dari 4.3% ke 3.7%. Namun kaum Cina menunjukkan pengurangan yang lebih banyak.

Dari segi usia ibu, majoriti bayi dilahirkan oleh mereka yang berumur 30 ke 39 tahun iaitu sebanyak 55,864 (52.5%) bayi, lebih separuh dari jumlah keseluruhan kelahiran.

Ini diikuti dengan mereka yang berumur 20 ke 29 tahun sebanyak 40% dan 6% bagi wanita berusia 40 tahun ke atas. Hanya 1.5% kelahiran bayi oleh ibu muda yang berusia kurang 20 tahun.

Sumber gambar: Unsplash

Lebih Ramai Lelaki Berbanding Wanita Di Malaysia

Menurut Mohd Uzir, jumlah populasi keseluruhan tahun ini meningkat sebanyak 2.3%, iaitu dari 33.2 juta ke 34 juta berbanding tempoh sama tahun lepas.

Data juga menunjukkan lebih ramai lelaki berbanding wanita dalam negara apabila populasi mereka meningkat dari 17.4 juta ke 17.8 juta, berbanding wanita yang hanya meningkat dari 15.8 juta ke 16.1 juta.

Nisbah jantina populasi ialah 111 lelaki bagi setiap 100 wanita, manakala nisbah jantina warganegara ialah 103 lelaki bagi setiap 100 wanita.

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Sumber gambar: Unsplash

Dari segi kaum, Melayu merangkumi 57.9% daripada jumlah populasi, diikuti Cina (22.6%), lain-lain Bumiputra (12.2%) dan India (6.6%). Peratus populasi Melayu meningkat dari 17.6 juta ke 17.7 juta, manakala kekal sama bagi lain-lain bangsa.

Tambah Mohd Uzir, jumlah populasi berumur antara dua ke 14 tahun dan 15 ke 64 tahun masing-masing menunjukkan peningkatan ke 7.7 juta (22.6%) dan 23.8 juta (70%) tahun ini. Manakala, populasi berumur 65 tahun ke atas kekal pada jumlah 2.5 juta (7.4%).


Jumlah Kematian Menurun

Di samping itu, jumlah kematian menunjukkan penurunan sebanyak 1.5% dari 48,693 ke 47,964.

Walau bagaimanapun, kematian dalam masyarakat Cina meningkat ke 27% berbanding 26.1% dalam tempoh sama tahun lepas. Melayu merangkumi 24,667 (51.4%) daripada jumlah kematian, lain-lain Bumiputera 10.4% dan India 8.5%.

Sementara itu, jumlah kematian tertinggi dilaporkan oleh negeri Selangor (16.1%), manakala terendah di Putrajaya (0.1%)

Secara purata, satu kematian dilaporkan setiap dua minit, atau 22 kematian setiap jam, bersamaan dengan 533 kematian sehari bagi suku pertama 2024.

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Majoriti kematian adalah dalam golongan berusia 60 tahun ke atas (71%), diikuti kumpulan umur 41 ke 59 tahun (19.8%) dan 15 ke 40 tahun (7%). 2.2% daripada jumlah kematian melibatkan kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah.

Unjuran yang dinyatakan oleh DOSM ini menunjukkan ciri-ciri sebuah negara menua. Malah, laporan sebelum ini menyatakan bahawa Malaysia dijangka menjadi negara menua pada 2030, iaitu kurang enam tahun dari sekarang.

Sumber gambar: Unsplash

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd