Elak Terkena Renjatan Elektrik, TNB Kongsi Langkah Keselamatan Ketika Banjir
Orang ramai juga dinasihati untuk segera menghubungi pihak TNB sekiranya berlaku sebarang isu berkaitan bekalan elektrik akibat banjir.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Sebelum ini, tiga orang mangsa banjir yang merupakan adik-beradik dilaporkan maut selepas terkena renjatan elektrik di kawasan rumah mereka yang ditenggelami air pada paras kaki.
BACA JUGA: 3 Beradik Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Banjir Di Kelantan
Berikutan kes itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai supaya segera menghubungi pihak mereka sekiranya kawasan perumahan dilanda banjir.
Dengan cara ini, TNB dapat menghentikan buat sementara waktu bekalan elektrik di kawasan terjejas bagi menjaga keselamatan penduduk.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir. Baharin Din dalam satu kenyataan berkata pemotongan elektrik itu merupakan langkah sementara dan bekalan kuasa akan dipulihkan sebaik paras air surut.
Sementara itu, TNB juga sedang menaik taraf pencawang yang terjejas dan aset lain termasuklah membuat beberapa ujian bagi memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan dengan selamat kepada rakyat.
TNB Kongsi Langkah Keselamatan Ketika & Selepas Banjir
Menerusi laman web TNB, terdapat beberapa langkah keselamatan dikongsikan kepada orang ramai ketika musim banjir dan selepas air mula surut.
Antara tips yang dikongsikan adalah:
Ketika Banjir
- Berhenti menggunakan sebarang peralatan elektrik dan letakkan di kawasan yang lebih tinggi. Pastikan suis utama dimatikan untuk mengelakkan renjatan elektrik.
- Hubungi TNB Careline di talian 15454 atau maklumkan di laman Facebook TNB Careline untuk memotong bekalan kuasa jika paras air di premis anda meningkat.
- Elakkan daripada mendekati peralatan elektrik atau kabel yang terendam di dalam air walaupun ia berpenebat.
- Elakkan daripada mendekati atau menyentuh tiang logam atau mana-mana pemasangan TNB yang ditenggelami air untuk mengelakkan risiko terkena renjatan elektrik.
- Pastikan semua soket suis ditutup dan tanggalkan semua palam kuasa.
- Pastikan powerbank anda dicas sepenuhnya lebih awal supaya boleh digunakan untuk mengecas telefon anda sekiranya perlu membuat panggilan kecemasan.
- Jika premis anda dilengkapi dengan panel solar PV (foto-voltan), matikannya terlebih dahulu sebelum keluar dari rumah.
Selepas Banjir
- Matikan suis utama sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian.
- Suis dan peralatan elektrik yang terendam dalam air hendaklah diperiksa oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum digunakan semula.
- Jauhi dahan pokok yang terperangkap dalam wayar elektrik kerana arus elektrik mungkin masih mengalir. Hubungi pihak TNB bagi mendapatkan tindakan segera.
- Jangan guna tiang panjang atau tangga yang diperbuat daripada logam, aluminium, buluh atau kayu berhampiran talian elektrik.
- Ibu bapa harus memantau anak-anak untuk memastikan mereka tidak berada berdekatan dengan tiang atau kabel elektrik yang rosak atau terdedah.
Orang ramai juga dinasihati untuk segera menghubungi pihak TNB sekiranya berlaku sebarang isu berkaitan bekalan elektrik akibat banjir.
BACA JUGA: M’sian Electrician Shares Tips To Prevent Electrocution From Shower Heaters
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.