Now Reading
‘Kopi Joss’ Undang Bahaya, Peniaga Boleh Didenda RM10,000 & Penjara 2 Tahun

‘Kopi Joss’ Undang Bahaya, Peniaga Boleh Didenda RM10,000 & Penjara 2 Tahun

Menurut pakar kesihatan, peminum kopi itu berisiko menghidapi kanser dan menyebabkan usus tersumbat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum bahawa rakyat di Malaysia sangat menggemari makanan dan minuman viral.

Kalau dilihat di media sosial, banyak sungguh menu-menu unik dan baru yang tak pernah kita dengar sebelum ini.

Namun, perlu diingatkan bahawa bukan semua hidangan viral yang dijual itu adalah selamat dari segi kesihatan.


Peniaga Jual Kopi Joss Boleh Didenda & Berdepan Hukuman Penjara

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan telah memaklumkan bahawa penjualan air viral yang dikenali sebagai ‘kopi joss’ merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh didakwa.

Menurut KKM, pengusaha mana-mana premis makanan yang menghidangkan kopi bersama bara arang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan.

“Kopi yang sedia diminum dikawal di bawah Peraturan 269A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan peraturan tersebut hanya membenarkan penambahan gula, dekstrosa, glukosa atau madu, susu, krimer, makanan lain serta bahan perisa yang dibenarkan,” kata KKM.

Kementerian itu dalam masa sama menjelaskan bahawa arang tidak dikategorikan sebagai makanan.


Kopi Joss Didakwa Boleh Singkirkan Toksin Dalam Badan

Penjualan kopi Joss yang berasal dari Indonesia itu dilihat semakin berleluasa di kalangan peniaga di Malaysia.

Malah, trend minum air kopi barang api tersebut telah dikongsikan oleh pelanggan di platform media sosial sejak beberapa minggu lalu.

Kopi yang lain daripada kebiasaan itu telah menjadi bualan hangat dan diminati ramai kerana didakwa mempunyai keunikan rasa tersendiri selain dikatakan merupakan cara untuk menyingkirkan toksin dari tubuh badan.

Sumber: Instagram (@coolyeticoffee/@angkringan.lovers)

Kopi Joss Boleh Tingkatkan Risiko Kanser & Usus Tersumbat

Namun begitu, pakar kesihatan telah meluahkan kebimbangan mereka terhadap pengambilan air berkenaan kerana ia mampu memberikan kesan buruk terhadap kesihatan.

Antara kesan buruknya adalah risiko menghidapi penyakit kanser kerana sifatnya yang karsinogenik.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan usus berkemungkinan tersumbat jika diambil secara kerap dalam jangka masa panjang.

KKM menegaskan bahawa arang panas yang dimasukkan secara terus ke dalam minuman kopi adalah berbeza dengan arang diaktifkan.

Untuk makluman semua, bahan arang yang diaktifkan sering digunakan dalam industri makanan kerana ia sudah diproses dan ditulenkan, sekali gus selamat digunakan.

“Arang panas dimasukkan secara terus dalam kopi seperti yang ditularkan itu tidak dapat dipastikan, sama ada telah diproses dengan betul dan selamat untuk dimakan atau diminum begitu sahaja kerana kemungkinan terdapat unsur benda asing serta toksik lain,” tambah kementerian tersebut.


Orang Ramai Boleh Buat Aduan Terhadap Peniaga Yang Jual Kopi Joss

Susulan risiko menghidapi penyakit bahaya, KKM menyeru orang ramai yang ingin membuat laporan ke atas mana-mana premis makanan disyaki tidak mematuhi peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Orang ramai juga boleh menghubungi KKM melalui laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam SISPAA [DI SINI] atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

“Orang ramai dinasihatkan agar memilih kedai makan atau restoran yang bersih, terutamanya telah mendapat pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) daripada kementerian,” ujar KKM.

Baca Artikel Berkaitan: KKM Sahkan Bahan Beracun Dalam Kopi Panggung Al Ambiak Boleh Hentikan Jantung

Baca Artikel Berkaitan: Doktor Ini Gesa Hentikan Trend Makan Menu Pedas Melampau. Bahaya Untuk Kesihatan!

Baca Artikel Berkaitan: “Pagi, Petang, Siang, Malam Teh Tarik” – Lelaki Ini Kongsi Punca Kaki Kena Potong


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd