KKM Sahkan Bahan Beracun Dalam Kopi Panggung Al Ambiak Boleh Hentikan Jantung
Kopi Panggung Al Ambiak ini disyaki mengandungi bahan beracun berjadual iaitu Sildenafil yang boleh memberhentikan jantung.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!
Perasan tak di beberapa kaunter pembayaran kedai makan, mesti akan ada pelbagai jenis paket kopi tergantung untuk dijual.
Boleh dikatakan macam-macam jenama juga yang tergantung di belakang kaunter itu.
Tapi dalam banyak-banyak kopi tersebut, sebenarnya ada yang telah diharamkan penjualan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas faktor kesihatan.
Walaupun sudah dilarang penjualannya oleh KKM, segelintir peniaga masih berdegil dan tidak mengendahkan larangan tersebut.
Kopi ini mengandungi racun berjadual iaitu Sildenafil
Menerusi tweet yang dimuat naik di akaun Twitter @health_malaysia, pihak KKM berasa kesal apabila produk kopi yang diharamkan penjualannya masih berleluasa.
Sebenarnya, produk tersebut telah dilarang oleh KKM sejak tahun 2020 kerana disahkan mengandungi racun berjadual serta memaparkan maklumat palsu pada label.
Kopi Panggung Al Ambiak merupakan salah satu produk yang tidak dibenarkan penjualannya kerana mengandungi Sildenafil sebanyak 1255 mg per kilogram.
Sildenafil ini merupakan salah satu ubat aktif yang terdapat di dalam Viagra sebagai rawatan mati pucuk bagi para lelaki.
Pihak yang ditangkap menjual produk ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Jika ada mana-mana individu yang masih mempunyai stok produk ini, diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.
Kopi ini didakwa boleh memberhentikan jantung
Ada sebab mengapa KKM melarang penjualan Kopi Panggung Al Ambiak ini. Produk berkenaan dipercayai boleh menyebabkan beberapa masalah kesihatan seperti berikut:
- Serangan jantung.
- Strok.
- Hilang pendengaran.
- Mata buta.
Kandungan racun berjadual jenis Sildenafil telah menyebabkan saluran darah mengembang dan mengakibatkan tekanan darah turun secara mendadak.
Ini kali pertama dan terakhir cuba minum
Hasil tinjauan kami mendapati ada beberapa individu yang pernah mencuba minuman ini dan mengakui bahawa kopi tersebut memberi kesan sampingan terhadap kesihatan mereka.
Ada juga yang terkejut bahawa ubat untuk rawatan sakit jantung terkandung di dalam minuman kopi ini.
Untuk sesiapa yang masih minum produk ini, KKM menasihatkan orang ramai untuk berhenti mengambilnya dan segera membuat pemeriksaan kesihatan.
Para peniaga juga diminta untuk menghentikan penjualan kopi ini kepada masyarakat.
Ada banyak lagi kopi yang selamat untuk diminum di luar sana. Selagi boleh elak produk yang membahayakan kesihatan, lebih baik kita elakkan.
Takut nanti merana bila sudah meningkat usia nanti.
Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: Facebook, Twitter, dan Instagram.