Now Reading
Wanita Maut Dilanggar Remaja 14 Tahun Pandu Kereta Tanpa Lesen

Wanita Maut Dilanggar Remaja 14 Tahun Pandu Kereta Tanpa Lesen

Insiden yang berlaku di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar telah meragut nyawa Nur Syafiqah Abdullah manakala kakaknya Nooraliza tercedera di bahagian dada, pinggang dan kaki kiri.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (22 Oktober), satu lagi kes kemalangan maut dilaporkan berlaku melibatkan dua orang penunggang motosikal yang telah dilanggar sebuah kereta.

Namun apa yang lebih mengejutkan adalah apabila kereta itu dipandu oleh seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Insiden yang terjadi berdekatan sebuah kawasan stesen minyak di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar telah meragut nyawa Nur Syafiqah Abdullah, 32, yang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kakaknya, Nooraliza, 43, tercedera pada bahagian dada, pinggang dan kaki kiri.


Remaja Perempuan Hilang Kawalan & Terbabas Pada Arah Bertentangan Jalan

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), kedua-dua mangsa kemalangan merupakan peniaga di Kampung Ulu, Kuala Kedah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, kejadian yang berlaku ketika hujan itu telah dimaklumkan kepada PDRM pada jam 7.05 malam.

“Siasatan mendapati dua beradik yang menaiki motosikal jenis Honda Wave bergerak dari lampu isyarat Taman Bersatu menghala ke Kuala Kedah manakala kereta Proton Satria dipandu remaja terbabit dari arah bertentangan.

“Kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke pembahagi jalan sebelum masuk ke arah bertentangan lalu bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa,” katanya.

Sumber: PDRM Via Buletin TV3/Kosmo

Remaja Tak Mempunyai Lesen Memandu & Tak Bersekolah

Tambah Syed Basri, hasil pemeriksaan pihak polis mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu selain tidak bersekolah.

“Kereta itu pula dipercayai milik rakan ibu remaja itu. Saman dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan remaja bawah umur memandu,” jelasnya.

Siasatan awal di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta tersebut yang gagal mengawal kenderaannya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pemandu Tidak Ditahan Polis Selepas Terlebih ‘Reverse’ Hingga Langgar Budak 5 Tahun

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Konon Dilanggar Pemandu Di Jalan Changkat, Wanita Siap Sempat Tendang Kereta

Baca Artikel Berkaitan: ‘Influencer’ Bawa Audi Ditahan, Tiada Lesen Memandu


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd