Now Reading
[Video] Ustaz Azhar Idrus Jelas Hukum Main Claw Machine

[Video] Ustaz Azhar Idrus Jelas Hukum Main Claw Machine

Menurut Ustaz Azhar Idrus (UAI), bermain claw machine adalah haram kerana ia termasuk dalam kaedah judi kerana wujudnya wang pertaruhan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada masa kini, boleh dikatakan hampir kesemua pusat beli belah menyediakan claw machine atau lebih dikenali sebagai mesin tangkap anak patung.

Malah, ada pusat beli belah yang menyediakan ruangan khusus dengan memuatkan beberapa buah mesin tersebut bagi tujuan menghiburkan pengunjung.

Rata-rata mesin tersebut diisi dengan barang antaranya seperti anak patung dan gajet yang semestinya menarik minat orang ramai untuk mencuba nasib memiliki barang tersebut.

Namun, tahukah anda bahawa sebagai seorang Islam, haram hukumnya bermain mesin tersebut.

Main Mesin Tangkap Anak Patung Ibarat Bertaruh Atau Berjudi

Menurut pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus (UAI), bermain claw machine adalah haram kerana ia termasuk dalam kaedah judi kerana wujudnya wang pertaruhan.

Jelas beliau lagi, ia dianggap judi kerana pemain perlu menggunakan wang pertaruhan terlebih dahulu sebelum menggunakan mesin tersebut.

“Banyak jenis patung yang ada, kita akan masukkan dulu RM1, kita main dan kita berjaya tangkap salah satu patung itu.

“Harga sebenar patung itu adalah RM10 satu, kita dapat dengan hanya RM1. Jadi RM9 lagi adalah duit milik orang lain yang tidak berjaya, hukumnya haram kerana itu termasuk judi,” katanya.

Hukum bermain mesin ini juga pernah dinyatakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada tahun 2019 menerusi laman sesawang rasmi bahawa ia haram dan dilarang.

Ini kerana permainan tersebut dilihat sebagai menafikan hak pemain selaku pembeli untuk memilih barang yang dikehendakinya setimpal dengan harga yang dibayar.

Malah, ia juga dilihat lebih kepada keberuntungan nasib pemain di mana permainan seperti ini tidak dibenarkan dalam Islam.

Pihak Terlibat Perlu Bertanggungjawab

Tambah UAI lagi, pihak berkaitan termasuk kerajaan perlu bertanggungjawab membanteras aktiviti ini jika tidak mahu menanggung dosa di akhirat.

Namun, mesin mainan kapsul telur (capsule toy) adalah dibolehkan.

“Pihak terlibat kena buat sesuatu dan bertanggungawab dalam isu ini, nanti mereka juga akan menjawab kepada tuhan nanti.

“Anak-anak kita jangan main benda ni, kalau yang mesin masuk duit keluar mainan bulat itu tidak mengapa kerana ia semuanya keluar mainan, cuma tidak tahu mainan berwarna apa.

“Yang ini (claw machine) tidak boleh sebab mainan ini ada wang pertaruhan, kalau nasib baik dapat mainan, kalau nasib tidak baik, mainan terjatuh hukumnya judi,” jelasnya.


Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd