Now Reading
“Kami Bina Perisai Manusia” – TMJ & Keluarga Terselamat Insiden Tembakan Di Bangkok

“Kami Bina Perisai Manusia” – TMJ & Keluarga Terselamat Insiden Tembakan Di Bangkok

TMJ bersama keluarga yang berada di lokasi berdekatan kejadian insiden tembakan pusat membeli-belah Siam Paragon, Bangkok dilaporkan selamat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (3 Oktober), kecoh tentang satu insiden tembakan di pusat membeli-belah Siam Paragon, Bangkok, Thailand kira-kira jam 4.50 petang (waktu tempatan).

Setakat ini, tiga individu telah menjadi mangsa korban dalam kejadian tembakan tersebut manakala empat yang lain tercedera.

Pengarah Pusat Perubatan Kecemasan Bangkok (Pusat Erawan), Dr Yutthana Setthanan berkata mangsa yang mengalami kecederaan kini sedang dirawat di hospital tempatan.

Terkini, pihak berkuasa telah menahan suspek berumur 14 tahun bagi membantu siasatan lanjut.

Baca Artikel Berkaitan: 3 Maut & 4 Cedera Akibat Tembakan Rambang Di Bangkok, Suspek Usia 14 Tahun Ditahan Polis


TMJ & Keluarga Berlindung Di Hotel Berdekatan Insiden Tembakan Di Pusat Beli-belah Siam Paragon, Bangkok

Susulan kejadian mengejutkan ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim melalui kenyataan rasmi yang dikongsi di laman X (Twitter @HRHJohorII) telah memaklumkan bahawa dirinya bersama keluarga adalah antara mangsa terlibat di pusat beli-belah terkenal itu.

Untuk makluman semua, TMJ dilaporkan berada di negara tesebut bagi menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara JDT dan BG Pathum United di Stadium Phatum Thani, Bangkok, Thailand.

Menurut ciapan yang dimuat naik, TMJ yang sedang duduk di lobi hotel melihat orang ramai menjerit sambil berlari daripada pusat membeli-belah Siam Paragon ke dalam bangunan tersebut. 

Terkejut dengan situasi itu, TMJ bertindak berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukannya untuk membawa kanak-kanak serta keluarga ke tempat yang selamat.

“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku,” ujar TMJ.


TMJ Bersama Pasukan Keselamatan Bina Perisai Manusia Untuk Lindungi Keluarga

Semasa detik genting itu terjadi, TMJ bersama pasukannya telah membina perisai manusia untuk melindungi keluarga tersayang daripada sebarang kecederaan.

“Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis,” katanya.

Selanjutnya, TMJ dalam masa yang sama telah mengarah pasukan keselamatan untuk membawa mereka sekeluarga ke Kedutaan Malaysia.

Namun disebabkan Kedutaan Singapura berada lebih dekat dengan kawasan tersebut, mereka telah dibawa ke sana dan terus menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor.

Sumber: X (Twitter @HRHJohorII)

TMJ Luah Rasa Syukur Kerana Terselamat Dalam Insiden Mencemaskan

TMJ turut memaklumkan bahawa dirinya bersama keluarga dalam keadaan selamat dan akan ke lapangan terbang untuk pulang ke Johor selepas situasi semakin reda.

Tunku Ismail yang kini berada dengan Duta Besar Malaysia telah menghubungi Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pertahanan negara untuk memaklumkan tentang perkara yang berlaku.

Meskipun sudah terlepas perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT), TMJ meluahkan rasa bersyukur kerana keluarga dan pasukan berada dalam keadaan selamat.

Tambahnya lagi, TMJ menyifatkan kejadian ini adalah antara momen terburuk yang pernah dialami apatah lagi perlu melindungi kedua-dua anaknya daripada pembunuh.

“Alhamdulillah, kami selamat. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua,” jelasnya.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Tembak Mati Pakar Bedah Gara-gara ‘Sakit’ Selepas Pembedahan

Baca Artikel Berkaitan: Kes Tembak Wanita Hamil: Polis Sedang Buru ‘Aimay’ Untuk Bantu Siasatan

Sumber: X (Twitter @HRHJohorII) | Harian Metro


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd