Now Reading
[Video] Pasangan Palestin Nikah Di Lokasi Pemindahan Rafah Meskipun Situasi Perang Belum Berakhir

[Video] Pasangan Palestin Nikah Di Lokasi Pemindahan Rafah Meskipun Situasi Perang Belum Berakhir

Pengantin lelaki berkata dewan yang telah ditempah untuk mengadakan kenduri perkahwinan mereka telah musnah dibom bersama-sama rumah dan apartmen yang disediakan bagi selepas berkahwin.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Peperangan di Gaza masih tidak berhenti sejak tercetusnya pada Oktober tahun lalu. Sejak itu, lebih 34,000 penduduk Palestin telah terbunuh.

Walaupun dalam keadaan peperangan, rakyat Gaza masih meneruskan kehidupan harian mereka serta melakukan perkara-perkara yang diingini, seperti berkahwin.


Pasangan Berkahwin Di Pusat Pemindahan Rafah

Perkahwinan merupakan sesuatu yang amat mengembirakan, terutamanya buat pasangan pengantin yang akan sehidup semati hingga ke akhir hayat.

Semalam (29 April), media Quds News Network memuat naik satu video di X, menunjukkan sepasang pengantin yang berkahwin di sebuah pusat pemindahan di Rafah walaupun dalam keadaan peperangan.

Pasangan tersebut telah bertunang sebelum perang bermula pada tahun lepas.

Berpakaian serba ringkas, mereka disambut oleh rakyat Palestin lain yang turut memainkan peralatan muzik dan menyanyikan lagu kedua mempelai itu.


Pasangan Pengantin Berasal Dari Yarmouk, Gaza

Menerusi video tersebut, ibu pengantin lelaki berkata mereka telah dipindahkan ke Rafah dari Yarmouk yang terletak di Gaza.

Dia memaklumkan bahawa mereka telah merancang agar perkahwinan dijalankan di Gaza, tetapi bersyukur masih diberi peluang untuk mengadakannya di Rafah. Baginya, keadaan itu merupakan sesuatu yang penuh pahit manisnya.

Kami merancang [untuk menjalankan perkahwinan] di Gaza, bukan di sini. Tetapi Alhamdulillah, Tuhan telah membawa kebahagiaan buat kami di sini. Takdir adalah segala-galanya dan inilah kehendak Tuhan.

Ibu pengantin lelaki.

Telah Bertunang Selama 10 Bulan

Menurut pengantin wanita, dia telah bertunang selama 10 bulan dengan suaminya sebelum ini dan merasakan perkahwinannya itu sangat manis.

Walaupun saya tidak memakai pakaian putih, perkahwinan ini masih sangat manis. Alhamdulillah.

Pengantin wanita.

Dia juga bersyukur dengan orang ramai yang turut sama-sama menyambut perkahwinan itu dan menjadi sebahagian daripada kegembiraan mereka.

Pengantin lelaki juga berkata dia merasa sangat manis. Malah, terdapat pemuda-pemuda yang membawa kegirangan kepadanya dengan melakukan perkara yang mengembirakan untuknya.


Dewan Kahwin, Rumah & Apartmen Musnah Dibom

Walau bagaimanapun, pengantin lelaki memaklumkan bahawa dia sebenarnya ingin mengadakan kenduri perkahwinan yang lebih bagus seperti mengadakan jamuan makan tengahari di sebuah dewan.

Katanya, dia telah menempah sebuah dewan bagi bulan November, tetapi ia telah musnah dibom. Malah, rumahnya serta apartmen yang disediakan untuk selepas berkahwin juga mengalami nasib yang sama.

Kami meninggalkan semua itu dan dipaksa meninggalkan tanah kami.

Pengantin lelaki.
Sumber gambar: @QudsNen/ X

Pelajar USIM Warga Palestin Jalani Ujian Kelayakan PhD Di Gaza

Perkahwinan tersebut bukanlah satu-satunya bukti bahawa rakyat Palestin masih cekal mengharungi ujian di tanah suci itu.

Pada 27 April lalu, berita melaporkan tentang seorang rakyat Palestin yang merupakan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pelajar jurusan Pengurusan Sumber Manusia, Abdallah Abuajwa, sedang berada di tanah airnya apabila menduduki Ujian Kelayakan secara dalam talian pada Jumaat (26 April).

Walaupun ujian tersebut dijalani dalam keadaan dikelilingi runtuhan bangunan akibat serangan tentera Israel, Abdallah berjaya lulus.

Sumber gambar: Universiti Sains Islam Malaysia – USIM/ Facebook

Menerusi video dimuat naik USIM di Facebook, dia turut mengucapkan terima kasih buat semua warga universiti itu, terutama sekali penyelianya, Dr Ali Nasser Ali Al-Tahitah

Di sebalik pelbagai kesusahan dan Gaza yang terdedah dengan peperangan, namun saya tetap bertekad, dengan kehendak Allah SWT, untuk menamatkan pengajian PhD saya.

Pelajar USIM, Abdallah Abuajwa

Menurut Dr Ali Nasser, pelajarnya itu kini berada di semester ke-7 pengajian PhD dan telah lulus ujian kelayakan dengan pembetulan.

Selain situasi perang di Gaza, Abdallah turut mengalami masalah lain termasuk dari segi kewangan dan kesihatan anaknya yang menghidapi penyakit Cerebral Atrophy, kata Dr Ali Nasser dipetik Astro Awani.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd