Now Reading
Pertimbangkan Perkara Ini Sebelum Lakukan Pengeluaran Dari Akaun 3 KWSP

Pertimbangkan Perkara Ini Sebelum Lakukan Pengeluaran Dari Akaun 3 KWSP

Pengenalan Akaun 3 KWSP telah mewujudkan kebimbangan bahawa orang ramai akan berbelanja berlebihan sehingga mengurangkan wang simpanan persaraan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada tahun 2022, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata mereka yang bercadang untuk menikmati persaraan yang selesa selepas 20 hingga 30 tahun dari sekarang perlu mempunyai simpanan antara RM900,000 dan sejuta.

Bagi persaraan di Kuala Lumpur, pihak KWSP berkata simpanan sebanyak RM600,000 diperlukan tetapi ia hanya merangkumi perbelanjaan perubatan asas dan tidak bagi rawatan utama.

Justeru, ada anggaran yang mengatakan seseorang yang berada dalam usia 30an perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan untuk bersara pada umur 60 tahun.

Ia merupakan satu masalah bagi mereka yang berpendapatan kurang atau menyamai angka itu.


KWSP Telah Memperkenalkan Akaun Fleksibel

Pada 11 Mei lalu, Akaun 3 yang dikenali sebagai Akaun Fleksibel telah dilancarkan oleh KWSP. Menerusi akaun ini, pencarum boleh mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa bagi kegunaan jangka masa pendek.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Apa Yang Anda Perlu Ambil Tahu Tentang Akaun 3 KWSP Yang Bakal Bermula 11 Mei

Kelonggaran ini juga bermaksud jika pencarum terus mengeluarkan wang daripada Akaun 3, perolehan dividen mereka akan berkurangan bergantung kepada baki dana. Dengan pengenalan struktur baharu ini, 10% akan dimasukkan ke Akaun 3, 15% ke Akaun 2 (Akaun Sejahtera) dan 75% ke Akaun 1 (Akaun Persaraan).


82% Jumlah Dana KWSP Dimiliki Oleh Golongan T20

Berdasarkan laporan KWSP bagi tahun 2023, golongan T20 (20% dari ahli) mempunyai purata simpanan sebanyak RM278,941, iaitu 82% daripada jumlah dana KWSP.

Seterusnya, golongan M40 (40% dari ahli) mempunyai purata simpanan sebanyak RM28,032 (16%), sementara kumpulan B40 group (40% dari ahli) mempunyai purata simpanan RM1,713 (2%) sahaja.

Data ini menunjukkan bahawa golongan kaya lebih mudah untuk mencarum wang ke dalam akaun KWSP berbanding mereka yang berpendapatan rendah.

Penting juga untuk ingat bahawa pencarum boleh secara sukarela menambah caruman tambahan yang akan meningkatkan simpanan KWSP.


Perlu Capai Purata Simpanan Yang Mencukupi Untuk Berada Dalam Zon ‘Selamat’

Di samping itu, purata simpanan menurut kumpulan umur pula adalah seperti berikut:

  • 25 hingga 29: RM16,000
  • 30 hingga 34: RM35,000
  • 35 hingga 39: RM61,000
  • 40 hingga 44: RM89,000

Menerusi laman Facebook ‘No to Yes’, individu yang mempunyai simpanan lebih daripada purata menurut usia seperti di atas berada dalam zon ‘selamat’.

Namun begitu, mereka dengan simpanan kurang dari purata tersebut dinasihati agar tidak mengeluarkan wang daripada Akaun 2 dan Akaun 3.

Laporan tersebut juga mengkategorikan purata simpanan berdasarkan kumpulan etnik yang menunjukkan gambaran sebenar bagi negara Malaysia.

Kaum Melayu (60%) memegang 30% jumlah simpanan KWSP, Cina (27%) memegang 56%, India (8%) memegang 8% dan lain-lain bangsa (5%) memegang 6%.

Harus diingat bahawa bukan semua rakyat Malaysia merupakan ahli KWSP dan terdapat ramai orang Melayu yang menyimpan atau melabur wang mereka di Tabung Haji dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).


Individu Perlu Urus Kewangan Dengan Bijak

Pengenalan Akaun 3 oleh KWSP tidak dinafikan dapat membantu sesetengah rakyat yang benar-benar memerlukan. Akaun Fleksibel itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang mengalami beban kewangan pada masa kini.

Walau bagaimanapun, mengeluarkan wang juga bermakna simpanan KWSP akan berkurangan apabila menghampiri persaraan. Untuk mengelakkan terperangkap dalam masalah kewangan, setiap individu perlu bertanggungjawab dalam membelanjakan dan menyimpan wang mereka.

Pilihan terbaik mungkin adalah untuk memindahkan simpanan dari Akaun 3 kepada dua akaun lain KWSP bagi meningkatkan simpanan. Jika tidak, kekalkan simpanan dalam Akaun 3 dan hanya guna dana terbabit apabila benar-benar memerlukan seperti ketika kecemasan.

Anda juga boleh mencari kaedah lain untuk melabur dan memperbanyakkan simpanan anda.

Baca Artikel Berkaitan: Nak Berbelanja Tapi Takut Terlebih Bajet? Ini Cara Kumpul Sinking Fund

Baca Artikel Berkaitan: Ini Cara-cara Untuk Pindahkan Wang Simpanan KWSP Ke Akaun Fleksibel & Tips Untuk ‘Withdraw’

Baca Artikel Berkaitan: Ini 4 Golongan Yang Tak Sesuai Buka Akaun Fleksibel KWSP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd