Now Reading
Setengah Juta Kanak-Kanak Di Gaza Alami Trauma, Perlu Dibawa Kembali Ke Persekitaran Pendidikan

Setengah Juta Kanak-Kanak Di Gaza Alami Trauma, Perlu Dibawa Kembali Ke Persekitaran Pendidikan

Dalam masa sama, Pesuruhjaya UNRWA Phillipe Lazzarini mendakwa bahawa tentera Israel telah menceroboh premis PBB.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Situasi di tanah suci Palestin semakin buruk apabila rakyatnya telah terkepung di Rafah yang kononnya merupakan sebuah ‘zon selamat’.

Pembunuhan beramai-ramai yang dikatakan bermula sejak 7 Oktober lalu kini menyaksikan korban lebih 35,000.

Semalam (19 Mei), satu perbincangan tentang situasi di Gaza antara Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) Phillipe Lazzarini dan Menteri Luar Jordan Ayman Safadi telah berlangsung.

Mereka telah mengeluarkan sidang akhbar bersama menekankan bahawa UNRWA memainkan peranan yang penting di sana.


500,000 Kanak-Kanak Trauma

Khususnya dari segi pendidikan, mereka berkata kanak-kanak yang trauma perlu diberi persekitaran pendidikan tidak formal dan kemudian pendidikan formal.

“Hari ini terdapat setengah juta kanak-kanak perempuan dan lelaki yang sangat trauma, tinggal dalam runtuhan Gaza, yang mana terdapat keperluan mendesak untuk dibawa kembali ke persekitaran pendidikan tidak formal dan kemudian ke persekitaran pendidikan formal.

“Lebih lama kita menunggu, lebih banyak risiko kepada usaha menyemai benih kebencian pada masa depan dan mungkin lebih ekstrem,” kata kenyataan tersebut dipetik dari Awani.

Keadaan sekolah UNRWA di Khan Younis. (Sumber gambar: @UNRWA/ X)

Dakwa Tentera Israel Ceroboh Premis PBB

Lazzarini sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa ‘zon selamat’ yang dikatakan adalah palsu dan mengelirukan. Katanya lagi tiada sebarang tempat yang selamat di tanah suci itu.

Baca Artikel Berkaitan: “Zon Selamat Palsu & Mengelirukan” – UNRWA Dakwa Tiada Lagi Tempat Selamat Di Gaza

Kini, beliau turut mendakwa bahawa premis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan sahaja diceroboh oleh tentera Israel malah kakitangan UNRWA diganggu.

Merupakan satu agensi antarabangsa terbesar yang aktif di Gaza, UNRWA menyediakan bantuan dan perlindungan bagi pelarian Palestin berdaftar.

Namun begitu, Israel menuduh mereka bekerjasama dengan pejuang kebebasan Hamas serta mengatakan beberapa kakitangannya terlibat dalam serangan pada 7 Oktobe 2023.


“Majoriti Korban Di Gaza Ialah Kanak-Kanak” – Menteri Luar Jordan

Di samping itu, Safadi menggambarkan situasi yang berlaku di Tebing Barat dan serangan ke atas Gaza sebagai sebuah ‘malapetaka kemanusiaan’. Tambahnya lagi, majoriti penduduk Palestin yang terbunuh merupakan kanak-kanak.

Kami semua, menyokong perjanjian pertukaran. Kami percaya adalah penting untuk membawa ke gencatan senjata tetapi bukan itu sahaja yang kami mahu.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi.

Safadi juga bersetuju bahawa berlakunya pencerobohan haram secara berterusan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan di Gaza. Malah, mangsa merupakan orang awam yang tidak bersalah, terutamanya kanak-kanak.


800,000 Penduduk Telah Melarikan Diri Dari Rafah

Menerusi perkongsiannya di X, Lazzarini berkata hampir 800,000 penduduk di Rafah terpaksa melarikan diri setelah tentera Israel memulakan serangan di kawasan itu pada 6 Mei lalu.

Menurutnya, kebanyakannya berpindah ke kawasan tengah dan Khan Younis, termasuk di bangunan-bangunan yang sebelum ini telah musnah dibedil rejim Zionis.

“Apabila orang berpindah, mereka terdedah tanpa laluan yang selamat dan perlindungan. Setiap kali mereka terpaksa meninggalkan sedikit barangan dimiliki mereka: tilam, khemah, perkakas memasak dan bekalan asas yang tidak boleh diangkut bersama.”

Pesuruhjaya UNRWA bagi pelarian Palestin, Phillipe Lazzarini.

Tambahnya lagi, orang ramai melarikan diri ke kawasan tanpa bekalan air selamat atau kemudahan sanitasi. Sebagai contoh, Al-Mawassi adalah tanah pertanian yang berpasir, di mana orang ramai duduk di tempat terbuka.

Baca Artikel Berkaitan: Tentera IDF Dimasukkan Ke Hospital Gara-gara Disengat Tebuan Ketika Lakukan Serangan Ke Atas Gaza


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd