Now Reading
Ini Prosedur Buka Buku Pink Untuk Ibu Hamil

Ini Prosedur Buka Buku Pink Untuk Ibu Hamil

Buku rekod kehamilan boleh dibuka ketika kandungan seawal enam minggu di klinik ibu dan anak kerajaan atau klinik swasta.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Ibu yang melakukan ujian kehamilan UPT dan mendapati tanda positif pasti timbul perasaan gembira dan teruja!

Tapi tunggu dulu, sebelum anda melakukan perancangan lain untuk menyambut kelahiran yang tersayang, terdapat perkara penting yang perlu diutamakan terlebih dahulu.

Info ini penting terutamanya buat ibu yang pertama kali mengandung. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk mengesahkan kehamilan tersebut.

Pengesahan kehamilan boleh dilakukan di mana-mana klinik kesihatan kerajaan ibu dan anak atau klinik swasta. Jika ibu memilih untuk mendapatkan pemeriksaan kandungan di klinik swasta, imbasan ultrasound boleh dilakukan seawal usia kandungan enam minggu.

Sebaliknya, pemeriksaan di klinik kerajaan boleh dilakukan antara usia kandungan enam hingga 12 minggu bergantung kepada keadaan ibu.


Buka Buku Rekod Kehamilan Di Klinik

Penting untuk ibu mengandung buka buku rekod kehamilan atau lebih dikenali sebagai ‘buku pink’ apabila telah hamil. Ia bertujuan untuk merekod pelbagai pemeriksaan yang dilakukan berkenaan kehamilan.

Harus diingat bahawa ibu disarankan membuka buku pink sebelum usia kandungan mencecah tiga bulan.

Berdasarkan pengalaman penulis, jika ibu memilih klinik kerajaan, buku pink harus dibuka di klinik berhampiran tempat tinggal. Ibu akan diminta menunjukkan bil air atau elektrik yang terkini untuk mengesahkan alamat tempat tinggal.

Perkara ini bukan sahaja penting supaya ibu tidak terlalu jauh dengan klinik, tetapi juga memudahkan perjalanan jururawat yang akan datang melawat ibu dan bayi di rumah setelah bersalin.

Diingatkan bahawa proses membuka buku pink akan mengambil masa yang lama dan ibu bekerja disarankan supaya mengambil cuti separuh hati.


Prosedur Buka Buku Pink Di Klinik Ibu & Anak Kerajaan

Pengguna TikTok (@habuksena) berkongsi pengalamannya membuka buku pink di klinik ibu dan anak kerajaan. Ibu yang datang ke klinik akan diberikan buku pink untuk mengisi maklumat sebelum diberikan nombor giliran.

Di klinik, ibu akan diminta untuk melakukan ujian air kencing sekali lagi. Penting untuk ibu ingat tarikh terakhir haid supaya jururawat dapat menganggar usia kandungan serta tarikh jangkaan bersalin.

Seterusnya, ibu akan diambil darah sebanyak dua tiub untuk dilakukan pelbagai ujian seperti HIV, kadar gula dalam darah, dan kiraan haemoglobin (Hb) di dalam darah.

Nota: Sebagai peringatan, ibu tidak perlu puasa untuk ujian darah berkenaan.

Gigi ibu juga akan diperiksa untuk sebarang kerosakan. Perkara ini adalah kerana, bayi akan terdedah kepada risiko jika terdapat sebarang masalah gigi atau gusi.

Gambar sekadar hiasan
(Sumber gambar: Unsplash)

Ibu Ditanya Tentang Sejarah Masalah Kesihatan

Ibu kemudiannya akan bertemu dengan jururawat yang akan memeriksa kadar tekanan darah. Di samping itu, jururawat turut bertanyakan sejarah masalah kesihatan ibu dan memeriksa buah dada untuk sebarang kelainan yang mungkin menandakan kehadiran kanser.

Sebagai info, kanser yang paling biasa ditemui pada wanita hamil adalah kanser payudara dengan kebarangkali satu dalam 3,000 kehamilan.

Jururawat turut menasihati ibu tentang pemakanan yang sesuai dan makanan yang perlu dijauhi ketika sedang mengandung.

Bukan itu sahaja, ibu akan dibawa bertemu doktor yang akan memeriksa sebarang masalah seperti pendarahan. Ibu seterusnya akan dilakukan imbasan ultrasound untuk memeriksa kandungan.

Degupan jantung bayi juga akan diperiksa oleh jururawat ketika pemeriksaan seterusnya.
Gambar sekadar hiasan.
(Sumber gambar: Pexels)

Apa Akan Berlaku Jika Bayi Tidak Kelihatan Ketika Imbasan Ultrasound?

Mengikut perkongsiannya, doktor gagal melihat kantung bayi ketika imbasan dilakukan. Dia kemudiannya dirujuk kepada pakar di hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Selain daripada imbasan ultrasound, doktor juga mungkin akan membuat imbasan melalui saluran faraj (transvaginal) iaitu pemeriksaan dalaman.

Prosedur ini akan mendatangkan sedikit rasa tidak selesa kepada ibu, namun ia akan memberikan imej imbasan yang lebih jelas.


Risiko Gestational Diabetes Mellitus (GDM) Dalam Kalangan Ibu Mengandung

Selain itu, ibu juga akan diberi minum air gula yang bertujuan untuk memeriksa risiko Gestational Diabetes Mellitus (GDM) atau kencing manis ketika hamil.

Menurut Columbia Asia, ibu berusia 25 tahun ke atas perlu membuat ujian minum air gula ketika usia kandungan antara 24 hingga 28 minggu.

Walau bagaimanapun, ibu yang berisiko tinggi dinasihati untuk melakukan ujian minum air gula secepat mungkin.

Ibu yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit kencing manis akan diminta menjalani ujian minum air gula sebanyak dua kali.

Untuk rekod, di Malaysia kes Diabetes Mellitus dalam kalangan ibu mengandung atau GDM telah meningkat sehingga 27.9% pada tahun 2017. Ibu yang mengalami kencing manis ketika mengandung akan membawa risiko kepada dirinya serta bayi.

Tambahan lagi, 17% hingga 63% ibu hamil dengan masalah kencing manis mungkin akan terus menghidap penyakit tersebut setelah bayi dilahirkan.

BACA JUGA: Ingin Bersalin Di Bawah Skim ‘Full Paying Patient’ (FPP) Hospital Kerajaan? Ibu Bapa Sila Take Note Info Ini

BACA JUGA: Hamil Anak Kembar, Alahan Teruk & 5 Lagi Jenis Ibu Mengandung Yang Perlu Elak Puasa

BACA JUGA: Pesakit PCOS Saran Ikhtihar Buat Ujian Kesuburan Jika Masih Belum Dapat Anak & Sedang Jalani TTC


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd