Now Reading
Kerajaan Umum Vaksin Tdap Percuma Buat Ibu Hamil Bermula 2024

Kerajaan Umum Vaksin Tdap Percuma Buat Ibu Hamil Bermula 2024

Vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertussis (Tdap) akan diberikan secara percuma kepada semua ibu mengandung dalam negara, termasuk bukan warganegara, pada trimester kedua atau ketiga kehamilan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini telah mengkaji pemberian vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertussis (Tdap) kepada ibu mengandung bagi memberikan perlindungan awal terhadap bayi.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata vaksin pertussis atau batuk kokol yang diberikan kepada ibu mengandung dapat memberi perlindungan kepada bayi sejak dari dalam kandungan sehingga bayi melengkapkan dos primer vaksin kombinasi enam serangkai mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan.

Pemberian vaksin tersebut dicadang memandangkan kes batuk kokol di Malaysia banyak berlaku dalam kalangan bayi berusia kurang lima bulan kerana belum lengkap tiga dos primer vaksin pertussis.

Terkini, diumumkan bahawa mulai tahun hadapan, semua ibu mengandung yang berada di Malaysia, termasuk individu bukan warganegara, akan mendapat vaksin Tdap secara percuma.

Menurut Dr Zaliha, inisiatif tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM25 juta setahun bagi menyediakan vaksin terhadap 500,000 orang wanita hamil.

Pemberian vaksin akan bermula tahun depan setelah urusan perolehan vaksin Tdap selesai. Vaksin tersebut boleh didapatkan di kemudahan kesihatan KKM di seluruh negara.

Apabila dilaksanakan kelak, semua ibu hamil termasuk bukan warganegara, akan diberikan satu dos vaksin Tdap ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (antara tempoh kehamilan 13 hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, pemberian vaksin Tdap akan memberi perlindungan melalui antibodi ibu yang dikongsi bersama bayi dalam kandungan. Dengan perlaksanaan pemberian vaksin ini, bayi mendapat perlindungan daripada penyakit batuk kokol sehingga lengkap tiga dos primer vaksin pertussis pada usia lima bulan.

Berdasarkan kepada Program Imunisasi Kebangsaan, bayi akan diberikan vaksin batuk kokol melalui vaksin kombinasi difteria, tetanus dan pertussis (DTaP). Pemberian vaksin DTaP dijadualkan pada usia dua, tiga, dan lima bulan serta booster diberikan pada usia 18 bulan.


Hampir 80% Kematian Batuk Kokol Melibatkan Bayi Bawah 5 Bulan

Dr Zaliha berkata batuk kokol boleh menjangkiti sesiapa tanpa mengira usia, namun ia lebih kerap berlaku dalam golongan rentan dan rendah imuniti, seperti bayi yang belum mendapat perlindungan penuh.

Antara gejala penyakit ini adalah batuk berpanjangan selama satu hingga dua minggu yang boleh berlanjutan sehingga dua bulan. Pesakit juga berisiko mengalami komplikasi lain seperti pneumonia, encephalopathy (radang otak), malah kematian.

Bayi berumur bawah lima bulan merupakan kumpulan paling berisiko dijangkiti batuk kokol memandangkan mereka belum mendapat imunisasi penuh.

Sejak awal tahun hingga 23 Ogos yang lalu, 343 kes batuk kokol telah dikesan di Malaysia dengan 24 kematian dilaporkan. 173 kes atau 50.4% jangkitan batuk kokol terjadi pada bayi berusia kurang lima bulan.

Malah, 19 daripada 24, atau hampir 80% kematian, melibatkan bayi bawah lima bulan.

Sumber: Berita Harian


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd