Now Reading
Tips Buat Wanita Yang Bersalin Normal Agar Tiada Koyakan

Tips Buat Wanita Yang Bersalin Normal Agar Tiada Koyakan

Antara perkara yang boleh diamalkan agar proses bersalin dipermudahkan dan tiada koyakan adalah urutan di perineum, bersenam dan meneran dengan cara yang betul.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dalam keterujaan seorang ibu mahu melahirkan cahaya mata, ia turut diselit rasa takut dan risau. Bukan apa, ia disebabkan banyak risiko yang dihadapi ibu ketika bersalin.

Menurut National Institutes of Health (NIH), antara risiko melahirkan anak terhadap seorang ibu adalah pendarahan berlebihan, pelahiran yang tiada perkembangan dan koyakan di bahagian perineum.

Bagi yang tidak tahu, perineum merupakan tisu yang terletak di antara vagina dan anus.

Antara sebab yang boleh menyebabkan koyakan pada perineum adalah melahirkan anak buat kali pertama, saiz bayi besar, kedudukan bayi di dalam rahim dan tisu perineum yang bengkak.

Kebiasannya, episiotomi atau guntingan pada bahagian tersebut akan dilakukan bagi mengelakkan koyakan yang lebih teruk.

Banyakkan berjalan boleh memudahkan proses bersalin. (Sumber: Unsplash)

Tips Elak Koyakan Ketika Bersalin

Seorang ibu, Ezzah Nor di laman X (@ezzahnor) telah berkongsi lima tips untuk mengelakkan koyakan pada bahagian perineum ketika bersalin.

#1. Lakukan urutan pada bahagian perineum

Mungkin sesetengah ibu tidak tahu, tetapi sebenarnya bahagian perineum elok diurut sewaktu kehamilan mencecah trimester ketiga agar ia menjadi lebih elastik dan tidak mudah koyak.

Untuk melakukan urutan tersebut, dia mencadangkan agar menggunakan minyak kelapa dara. Selain itu, boleh juga guna minyak lain seperti zaitun atau vitamin E.

Apabila menghampiri hujung kehamilan, sudah tentu para ibu tidak larat lagi untuk melakukan urutan tersebut. Jadi inilah masanya untuk para suami membantu isteri tersayang.

Kaedah melakukan urutan di perineum. (Sumber: Department of Health and Aged Care Australia)

Menurut Ezzah, pengalamannya mengurut bahagian perineum menyebabkan hanya sedikit koyakan ketika bersalin. Malah, lukanya kering, cepat sembuh dan tidak terasa sakit.

Urutan ini bukan sahaja dilakukan ketika hamil, tetapi mungkin juga akan dibuat oleh bidan ketika tempoh kelahiran.

#2. Bersama dengan suami

Mungkin kedengaran pelik, tetapi kerap bersama dengan suami juga akan membantu memudahkan kelahiran bayi.

Beberapa kajian yang dijalankan mendapati bahawa mengadakan hubungan seksual dapat mempercepatkan proses kelahiran.

Namun begitu, persetubuhan antara suami dan isteri mungkin lebih elok dielak jika anda mengalami masalah seperti:

  • Pendarahan yang tidak tahu puncanya
  • Air ketuban bocor
  • Serviks telah terbuka lebih awal
  • Uri menutupi sebahagian atau sepenuhnya bukaan serviks
  • Mempunyai sejarah masalah kelahiran pramatang
Sumber: Unsplash.

#3. Amalkan pengambilan minyak kelapa dara

Selain itu, Ezzah berkata ramai rakan-rakannya mengamalkan pengambilan minyak kelapa dara untuk memudahkan proses bersalin. Minyak kelapa dara juga boleh diambil dalam bentuk softgel.

Selain daripada minyak kelapa dara, seorang individu turut berkongsi di Facebook (Mira Zainal) beberapa makanan lain yang boleh diambil bagi mempermudahkan kelahiran anak seperti telur ayam kampung, bendi rebus, kurma dan air kelapa.

Sumber: Unsplash

#4. Lakukan senaman

Para ibu pasti tahu bahawa senaman penting dilakukan sewaktu hamil. Ia bukan sahaja demi mengekalkan kesihatan, tetapi juga memudahkan proses melahirkan anak kelak.

Antara senaman yang boleh dilakukan adalah berjalan dengan pantas (brisk walk), jalan itik dan mencangkung (squat).

Menurut theAsianparent, selain senaman squat, kegel juga penting untuk wanita mengandung.

Cara squat yang betul. (Sumber: Unsplash)

#5. Teran pada waktu dan dengan cara yang betul

Walaupun setelah melakukan pelbagai persediaan, cara dan waktu meneran ketika bersalin juga penting untuk mengelakkan koyakan.

Ibu mesti biasa dengar pesanan orang ramai agar jangan mengangkat punggung ketika meneran kan? Selain itu, dagu juga perlu dirapatkan ke dada.

Malah, penting untuk ibu meneran hanya ketika berasa sakit. Jangan teran sewaktu tidak sakit! Ini kerana apabila kontraksi berlaku, ibu akan berasa sakit dan ketika itu barulah boleh meneran.

Teran perlahan-lahan dan secara konsisten serta cuba elak untuk meneran sekuat-kuat hati agar tisu perineum dapat meregang terlebih dahulu.

Ezzah juga memaklumkan bahawa seorang rakannya tidak mengambil sebarang ubat atau cucukan untuk menghilangkan rasa sakit kerana ia dapat membantunya fokus ketika meneran.


Amalkan Bacaan Doa Agar Urusan Bersalin Dipermudahkan

Bagi umat Islam, selain daripada mengamalkan tips yang dikongsi, penting juga untuk mengamalkan bacaan doa agar dipermudahkan segala urusan bersalin.

Salah satu doa yang digalakkan ketika berasa sakit bersalin adalah bacaan doa oleh Siti Mariam:

بسم الله الرحمن الرحيم حَنَّة وَلَدَتْ مَرْيَمْ وَمَرْيَمْ وَلَدَتْ عِيْسَى اُخْرُجْ أَيُّهَا الْمَوْلُوْد بِقَدْرِ الْمِلِكِ الْمَعْبُوْد

Maksudnya: “Hannah melahirkan Mariam, Mariam melahirkan Isa AS. Keluarlah wahai bayi dengan kekuasaan Allah yang disembah”.

Di samping itu, boleh juga amalkan beberapa doa lain yang berkaitan:

  • Surah Yusuf: Untuk kecantikan dan kebaikan akhlak anak
  • Surah Luqman: Untuk kecerdikan anak
  • Surah Yasin: Agar anak tidak terpengaruh dengan maksiat
  • Surah al-Hujurat: Untuk susu ibu yang banyak
  • Surah al-Baqarah ayat 128: Agar anak patuh pada Allah SWT
Sumber: Pexels.

Baca Artikel Berkaitan: “Jangan Jerit, Jangan Tidur.” – Wanita Ini Kongsi Tips Bersalin Untuk Bantu Si Ibu. Penting Ya!

Baca Artikel Berkaitan: 5 Tips Penjagaan Luka Jahitan Bersalin Buat Para Ibu

Baca Artikel Berkaitan: First Time Nak Bersalin? Ini 5 Tips Yang Dikongsikan Oleh Para Ibu


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd