Now Reading
Ingin Bersalin Di Bawah Skim ‘Full Paying Patient’ (FPP) Hospital Kerajaan? Ibu Bapa Sila Take Note Info Ini

Ingin Bersalin Di Bawah Skim ‘Full Paying Patient’ (FPP) Hospital Kerajaan? Ibu Bapa Sila Take Note Info Ini

Di bawah skim ‘Full Paying Patient’, setiap rundingan, rawatan dan prosedur yang dikenakan ke atas pesakit adalah pada kadar lebih rendah berbanding hospital swasta.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Ramai yang percaya bahawa perkhidmatan yang diberikan oleh hospital swasta lebih baik dan istimewa berbanding hospital kerajaan.

Namun begitu, tahukah anda bahawa sesetengah hospital kerajaan menawarkan pakej perlu dibayar untuk pesakit mendapatkan perkhidmatan terbaik dan layanan istimewa?

Pakej tersebut digelar sebagai skim ‘Full Paying Patient’ (FPP) atau Pesakit Bayar Penuh. Skim ini yang diperkenalkan sejak tahun 2007 membolehkan pesakit untuk mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan pilihan sendiri serta beberapa kemudahan lain seperti kemudahan Wad Kelas Pertama atau Eksekutif.

Bayaran yang dikenakan di atas pesakit FPP merangkumi setiap sesi rundingan, rawatan atau prosedur yang diberikan dan pada harga yang kompetitif berbanding hospital swasta. Antara hospital kerajaan yang menawarkan pakej FPP adalah Hospital Putrajaya dan Hospital Sungai Buloh.


Ibu Kongsi Cara Mendaftar Skim FPP Untuk Bersalin

Sudah tentu ibu mengandung mahu memilih hospital yang terbaik bagi menyambut kehadiran cahaya mata mereka. Oleh itu, mereka boleh memilih skim FPP di hospital kerajaan yang menawarkannya.

Seorang pengguna TikTok, habuksena, berkongsi pengalaman dia mendaftar pakej bersalin FPP di Hospital Putrajaya.

Sumber gambar: habuksena/ TikTok

Dia sebelum itu menghubungi kaunter pertanyaan dahulu untuk bertanya tentang pendaftaran pakej bersalin secara FPP. Pendaftaran boleh dilakukan secara ‘walk-in’ di Klinik Obstetrik dan Ginekologi (O&G) pada setiap hari Jumaat pada jam 3.00 hingga 4.30 petang.

Sebuah taklimat akan dijalankan pada jam 3.00 petang untuk menerangkan skim FPP kepada pesakit. Pada masa yang sama, pesakit diberi sehelai kertas berwarna biru yang menyenaraikan penerangan persetujuan penerimaan perkhidmatan bagi skim FPP.

Bagi pendaftaran bersalin di bawah skim FPP, ia hanya dibenarkan setelah kandungan disahkan oleh doktor. Janji temu pertama diberi selepas usia kandungan 28 minggu ke atas, namun bagi kandungan kembar, ibu akan ditemui pada usia kandungan 24 minggu.

Sebelum itu, ibu perlu menjalani ujian saringan darah di Klinik Kesihatan serta disahkan negatif daripada penyakit HIV dan hepatitis.


Bayaran Bagi ‘Check-Up’ Kandungan & Bersalin Skim FPP

Di bawah skim FPP, setiap rawatan dan prosedur dikenakan cas pada kadar yang berlainan dengan kadar hospital kerajaan.

Pemeriksaan boleh dijalankan sama ada pada hari biasa iaitu Isnin hingga Jumaat, atau hari Sabtu. Sesi rundingan pada hari biasa akan menempatkan dua orang pesakit dalam satu bilik kerana bilik konsultasi terhad. Namun begitu, pesakit yang inginkan privasi boleh memilih janji temu pada hari Sabtu.

Bayaran dilakukan setiap kali hari janji temu dengan kadar bayaran berbeza bagi kedua-dua masa tersebut seperti dalam jadual di bawah.

Sumber gambar: habuksena/ TikTok

Apabila ibu sudah dimasukkan ke wad untuk tujuan bersalin, deposit sebanyak 50% daripada anggaran keseluruhan caj rawatan atau minimum RM3,000 akan dikenakan.

Bayaran wad juga berbeza mengikut jenis wad. Wad Eksekutif 5A yang menempatkan sama ada satu atau dua katil mempunyai caj sebanyak RM300 satu malam.

Pesakit yang dimasukkan ke Wad Eksekutif boleh ditemani seorang waris. Walau bagaimanapun, pilihan bagi Wad Eksekutif terhad dan bergantung kepada giliran kemasukan.

Jika tiada kekosongan, pesakit akan ditempatkan di Wad Kelas Pertama mengikut kekosongan dengan caj sebanyak RM160, RM130 atau RM80 sehari bergantung kepada jumlah katil di dalam bilik. Bagi Wad Kelas Pertama, waris tidak dibenarkan menunggu dan hanya boleh masuk ke wad ketika waktu lawatan.


Para Ibu Kongsi Pengalaman Bersalin Di Bawah Skim FPP

Menjengah di ruangan komen hantaran TikTok tersebut, beberapa individu turut berkongsi ringkas pengalaman serta kos bersalin di bawah skim FPP.

Pengguna TikTok NabilaaR. yang bersalin di Hospital Putrajaya tahun lepas berkata jumlah keseluruhan bil adalah sebanyak RM3,700. Katanya juga, suami boleh menemani isteri ketika di dalam wad bersalin.

Menurut seorang pengguna TikTok lain, R&F, jumlah keseluruhan bil adalah RM4,500 bagi kelahirannya yang melibatkan pembedahan caesar serta termasuk ubat-ubatan.

Seorang lagi pengguna TikTok berkata kos bersalinnya adalah RM2,000. Walaupun dia ditempatkan di bilik dengan dua katil, suaminya masih dibenarkan menemaninya. Katanya lagi, makanan yang disediakan di wad tersebut sedap serta para doktor dan jururawat baik.

Skim FPP yang ditawarkan di hospital kerajaan sememangnya memberikan pengalaman yang manis buat para ibu.

Namun begitu, harus diingat walaupun ia merupakan skim berbayar, doktor pakar yang dipilih oleh pesakit mungkin ada masanya tidak dapat berjumpa dengan pesakit.

Jika perkara itu berlaku, pesakit harus bersetuju untuk dilihat oleh Pakar Gantian atau Pegawai Perubatan yang bertugas tidak kira sama ada lelaki atau wanita.

Bagi pesakit yang tidak bersetuju, mereka boleh mendapatkan tarikh janji temu baharu atau memilih untuk keluar daripada skim FPP.

BACA JUGA: Hamil Anak Kembar, Alahan Teruk & 5 Lagi Jenis Ibu Mengandung Yang Perlu Elak Puasa

BACA JUGA: Pesakit PCOS Saran Ikhtihar Buat Ujian Kesuburan Jika Masih Belum Dapat Anak & Sedang Jalani TTC

BACA JUGA: Kualiti Sama, Harga Lebih Murah. Beli Barang Bayi ‘Preloved’ Jauh Lebih Jimat Untuk Ibu Ayah Kali Pertama


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd