Now Reading
[Video] Kenapa Perlu Bedah Siasat Kalau Sudah Tahu Mangsa Meninggal Dunia Akibat Kemalangan? Ini Sebabnya

[Video] Kenapa Perlu Bedah Siasat Kalau Sudah Tahu Mangsa Meninggal Dunia Akibat Kemalangan? Ini Sebabnya

Jelas doktor kesihatan Dr Alpha Zaki, punca sebenar kematian dari sudut perubatan diperlukan untuk sijil si mati.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Beberapa hari lalu, negara digemparkan dengan berita menyayat hati melibatkan 10 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia akibat helikopter terhempas sewaktu sesi raptai Sambutan Hari TLDM ke-90.

Difahamkan, proses bedah siasat ke atas kesemua mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak telah selesai pada jam 2.20 petang semalam (24 April).

Berasa pilu dengan nasib yang menimpa wira negara, orang ramai dilihat menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa menerusi platform media sosial.

Baca Artikel Berkaitan: [Terkini] 2 Helikopter Milik ATM Bertembung Di Perak, TLDM Sahkan 10 Mangsa Terkorban


Mengapa Perlu Bedah Siasat Sedangkan Sudah Tahu Mangsa Meninggal Dunia Di Mana?

Pun begitu, ada juga segelintir individu yang mempertikaikan mengapa bedah siasat perlu dilakukan walhal laporan rasmi sudah mengatakan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagi menjawab persoalan orang ramai, doktor kesihatan dikenali sebagai Dr Alpha Zaki menerusi akaun TikTok miliknya (@alepza11) tampil menjelaskan perkara itu.

Menurut Dr Alpha, bedah siasat perlu dilakukan bagi membuktikan punca sebenar kematian untuk dimasukkan ke dalam sijil mati yang bakal dicetak.

Memetik MyHealth oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kategori kes kematian yang sering dilakukan prosedur bedah siasat adalah seperti:

  • Kemalangan
  • Bunuh diri
  • Pembunuhan
  • Kematian semula jadi (kebiasaannya untuk orang muda)
  • Kematian meragukan
  • Mati secara mengejut

Jelas Dr Alpha, memang sudah diketahui bahawa mangsa insiden helikopter meninggal di tempat kejadian. Namun begitu, sebab kematian pada sijil mati tidak boleh diletakkan dengan sebab-sebab yang tertera di atas sebagai contoh kemalangan.

Menurut doktor berkenaan, bedah siasat dilakukan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mengikut aspek perubatan. Tambahnya, terdapat pelbagai kecederaan yang boleh menimpa seseorang individu sekiranya berdepan dengan kemalangan.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Pexels

Antara contoh punca kematian yang boleh berlaku semasa kemalangan adalah:

  • Kecederaan otak (TBI) akibat hentakan pada kepala.
  • Pendarahan banyak sehingga membawa kepada penyakit jantung.
  • Kegagalan fungsi organ.

Sekiranya dalam kes kebakaran, mangsa berkemungkinan menyedut bahan kekotoran seperti asap dan habuk sehingga menyebabkan paru-paru tersumbat sekaligus membawa kepada lemas (Asphyxia).


Elak Buat Andaian Sendiri Melibatkan Proses Bedah Siasat

Dalam pada itu, doktor berkenaan mengingatkan orang ramai untuk tidak melakukan sebarang teori atau andaian sendiri melibatkan si mati yang menjalani proses bedah siasat.

Ada elemen jenayah ke? Nak buat bedah siasat, ada unsur-unsur khianat ke dalam siasatan ni? Kau tak perlu nak buat teori konspirasi dan pandai-pandai. Itu adalah untuk mencari punca kematian yang sebenar sebab kena letak diagnosis perubatan dalam sijil mati. Itu sahaja.

Dr Alpha.

Banyak Kegunaan Sijil Mati

Mengulas lanjut, punca sebenar kematian adalah penting untuk dikenal pasti kerana sijil mati yang akan dikeluarkan berfungsi untuk pelbagai perkara sebagai contoh, hal sambung belajar, permohonan biasiswa, persekolahan anak, tuntutan insuran dan banyak lagi.

“Jangan buat fitnah kepada kejadian, mangsa, dan juga keluarga mangsa,” ujarnya sekitar penghujung perkongsian.

@alepza11 Takziah kepada keluarga yang terlibat. #dralphazaki ♬ original sound – Alpha Zaki

10 Anggota Yang Terkorban Dalam Nahas Helikopter Terhempas

Senarai perajurit yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas adalah seperti berikut:

Pesawat HOM(M503 3): 4 orang kru dan 3 penumpang

  • Komander Muhammad Firdaus Ramli – Pegawai Memerintah Skuadron 503
  • Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin
  • Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi
  • Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun
  • Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy
  • Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar
  • Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna

Pesawat Fennec: 3 orang kru

  • Komander Muhamad Amir Mohamad – Pegawai Memerintah Skuadron 502
  • Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan
  • Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi

Kami dari team TRP menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa anggota TLDM selain berdoa agar mangsa dicucuri rahmat di sisiNya.

Baca Artikel Berkaitan: Nahas Helikopter Terhempas: TLDM Dedah Identiti 10 Anggota Terkorban

Baca Artikel Berkaitan: “Bila Ibu Dah Tiada, Bacalah Ini” – Hantaran Lama Mangsa Kemalangan Helikopter Di Lumut Buat Ramai Sebak


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd