Now Reading
Selepas Teruk Dikecam Isu Konflik Palestin, Pelakon Stranger Things Dakwa Kenyataannya ‘Disalah Tafsir’

Selepas Teruk Dikecam Isu Konflik Palestin, Pelakon Stranger Things Dakwa Kenyataannya ‘Disalah Tafsir’

Noah Schnapp berkata dia hanya mahukan keamanan dan keselamatan buat manusia tidak bersalah yang terkesan dengan peperangan di Gaza pada ketika ini.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak berlakunya peperangan antara pejuang Palestin dan Zionis Israel pada awal Oktober tahun lalu, rata-rata masyarakat seluruh dunia telah menyuarakan suara mereka untuk menghentikan penindasan terhadap rakyat yang tidak bersalah.

Pelbagai bentuk protes telah dilakukan termasuklah memboikot barangan daripada Amerika Syarikat dan Israel serta menyertai himpunan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Namun begitu, ramai juga di kalangan selebriti yang menunjukkan sokongan terhadap Israel yang melakukan genosid ke atas pejuang di Gaza.


Noah Schnapp Kata Kepercayaannya Tentang Konflik Peperangan Telah ‘Disalah Tafsir’

Antara selebriti yang terpalit dengan isu berkenaan adalah pelakon drama siri Stranger Things Noah Schnapp.

Ini selepas tular video selebriti itu bersama rakan-rakannya yang dilihat menjamu selera di sebuah restoran telah bersorak dan bergembira sambil memaparkan pelekat bertulis ‘Zionism is Sexy’ dan ‘Hamas is ISIS’.

Dalam masa sama, Noah dilihat tersenyum merakam momen rakan-rakannya yang sedang bersorak seakan tidak sensitif dengan situasi pembunuhan beramai-ramai yang terjadi di Gaza.

Penularan video itu telah mendapat kecaman daripada orang ramai di media sosial.

Malah selepas video tersebut tular, Noah kemudian mengeluarkan satu lagi kenyataan yang jelas menunjukkan sokongannya terhadap tentera Israel.

“You either stand with Israel or you stand with terrorism. It should not be a difficult choice. Shame on you”, ujarnya.

Tindakan ini menyebabkan wujudnya gerakan cubaan memboikot Noah dan karya seninya.

Terbaharu, Noah menerusi TikTok (@noahschnapp) tampil memperjelaskan isu tentang kefahaman dan kepercayaannya tentang peperangan yang sedang berlaku di antara pejuang Palestin dan Zionis Israel.

Jelas Noah, video yang pernah tular di media sosial memperlihatkan dia bersama rakannya seolah-olah menyokong pergerakan Zionis sebelum ini telah ‘disalah tafsirkan’.

Menerusi video berdurasi 1 minit 47 saat itu, Noah berkata bahawa dia hanya mahukan keamanan dan keselamatan untuk semua individu tidak bersalah yang terkesan dalam konflik peperangan.

Tambahnya lagi, dia sudah ‘banyak belajar’ tentang perkara yang sedang berlaku daripada rakan-rakan berasal dari Palestin.

“Satu perkara yang saya sedar adalah kita semua mengharapkan perkara sama iaitu semua individu tidak bersalah yang masih menjadi tebusan di Gaza dapat dipulangkan semula kepada keluarga mereka dan mengharapkan penamatan ke atas kehilangan nyawa di Palestin.

“Ramai di antara mereka adalah wanita serta kanak-kanak dan ia kelihatan mengerikan,” ujar Noah.

Ujar aktor itu lagi, sesiapa sahaja yang mempunyai sifat kemanusiaan dalam dirinya pasti berharap untuk menghentikan permusuhan di antara kedua-dua belah pihak (Palestin dan Israel).


Noah Schnapp Tak Sokong Bunuh Individu Tak Bersalah

Noah turut menegaskan pendiriannya bahawa dia menentang pembunuhan terhadap mereka yang tidak bersalah dan mengharapkan masyarakat turut mempunyai pandangan sama.

“Saya hanya berharap satu hari nanti boleh melihat dua kumpulan itu (Palestin dan Israel) hidup bersama secara harmoni di wilayah tersebut,” ulasnya.

Di akhir perkongsian berkenaan, Noah meluahkan hasratnya agar orang ramai akan lebih bertimbang rasa antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama, keturunan dan sebagainya.

“Kita semua adalah manusia. Kita harus mencintai satu sama lain termasuklah menyokong dan berpegang teguh dengan sifat kemanusiaan serta keamanan,” kata Noah.


Netizen Mahu Boikot Stranger Things

Menjengah ke laman X (Twitter), rata-rata orang ramai tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon tersebut kerana penjelasannya dikatakan berunsur ‘neutral’.

“Permohonan maaf tidak diterima. Dia masih menyokong kedua-dua belah pihak iaitu jelas salah. Orang Israel walaupun dalam perang masih boleh minum kopi, pergi gym dan sebagainya, Orang Palestin nak makan sehari sekali pun susah, air dan elektrik semua tiada,” kata seorang netizen.

Sumber: X

Sementara itu, ada juga yang berkata Noah mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan kenyataan selepas dihentam netizen serta menganggap video berkenaan dimuat naik agar siri drama yang dibintangi tidak terjejas disebabkan kelakuannya.

“Minta maaf hanya disebabkan jumlah tontonan siri terbaharu padahal cakap ‘Zionism is Sexy’?” ujar seorang warganet.

Sumber: X

Oleh disebabkan itu, ramai pengguna laman X berpakat untuk meneruskan boikot ke atas drama bersiri Stranger Things di Netflix.

“Saya harap orang ramai tak lupa apa yang dia (Noah) buat. Dia tak pernah anggap kita serius. Jadi teruskan boikot Stanger Things okay!” kata seorang wanita.

Sumber: X

Baca Artikel Berkaitan: Eric Nam Batalkan World Tour Di Malaysia Lepas Dapat Ugutan Akibat Sokong Israel

Baca Artikel Berkaitan: Hanya 32% Rakyat AS Sokong Israel – Tinjauan

Baca Artikel Berkaitan: Netizen Berang Raja Ilya Ucap ‘Stay Safe’ Pada Gal Gadot, Seolah-Olah Sokong Penjajah Bumi Palestin


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd