Now Reading
Ibu Bapa Wakilkan Arwah Anak Ambil Skrol Ijazah Di UMPSA

Ibu Bapa Wakilkan Arwah Anak Ambil Skrol Ijazah Di UMPSA

Arwah anak perempuan mereka telah meninggal dunia akibat digilis lori di Tanjung Laboh, Batu Pahat, Johor pada 3 Oktober lalu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Majlis graduasi sememangnya satu acara yang paling ditunggu-tunggu oleh para ibu bapa di luar sana bagi menyambut kejayaan si anak.

Majlis itu bukan sahaja menandakan sejauh mana anak itu telah berjaya malah ia juga menunjukkan bahawa usaha ibu bapa untuk membesarkan mereka dengan didikan sempurna membuahkan hasil.

Namun bagi sebuah keluarga, majlis graduasi anak perempuan yang sepatutnya menjadi kenangan indah telah bertukar menjadi pengalaman pahit manis.


Ibu Bapa Jadi Wakil Anak Untuk Ambil Skrol Ijazah Semasa Majlis Graduasi

Dalam keadaan sebak, sepasang ibu bapa iaitu Adek@Che Ahmad dan Siti Yuana Janamin telah menjadi wakil bagi menerima skrol ijazah anak perempuan mereka yang sudah meninggal dunia baru-baru ini.

Ibu bapa berkenaan telah mengambil skrol ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) anaknya pada Majlis Konvokesyen Ke-18 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Menerusi perkongsian video dimuat naik di laman TikTok (@umpsamalaysia), kelihatan semua individu yang berada di dalam dewan berdiri sebagai tanda hormat ketika ibu bapa Asniza mengambil skrol di atas pentas.

Menurut si ibu, arwah anak perempuannya sebelum ini dilihat amat bersemangat dan tidak sabar untuk menghadiri majlis tersebut.

Pelajar kejuruteraan itu telah menyediakan pelbagai persiapan untuk hari istimewa tersebut termasuklah pakaian, perancangan masa ketika majlis graduasi berlangsung serta gambar berkumpulan bersama rakan-rakannya.

Sumber: UMPSA Malaysia

Ibu Bapa Terima Takdir Bahawa Anak Sudah Pergi Selamanya

Ibunya dalam masa sama menjelaskan bahawa dia telah menerima segala ketentuan Ilahi terhadap pemergian anak perempuan tercinta.

“Siapa kita untuk menentang takdir? Allah SWT lebih menyayanginya. Saya menerimanya dan bangga mempunyai anak perempuan yang bertanggungjawab, penyayang serta tabah,” tambahnya lagi.

Kegigihan Asniza ketika belajar sebelum ini telah mendorong kekuatan ahli keluarga untuk menghadiri majlis graduasi bagi pihaknya.

“Saya pernah memberitahunya bahawa dia perlu kuat untuk berjaya. Dia selalu merungut kerana sibuk dengan tugas sambil berkongsi masalahnya.

“Jadi hari ini, kekuatan itulah yang mendorong saya untuk menghadiri majlis konvokesyen ini,” jelasnya lagi.

Sumber: UMPSA Malaysia

Asniza Aktif Sertai Aktiviti Kokurikulum Ketika Di Universiti

Semasa bergelar mahasiswi, Asniza merupakan seorang pelajar yang berdedikasi. Walaupun dia sering menumpukan masa untuk pelajaran, tetapi pelajar itu juga aktif dalam aktiviti kokurikulumnya.

Terdahulu, dia telah aktif menyertai Unit Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan ditauliahkan sebagai pegawai rendah.

“Walaupun dia tidak lagi bersama, kami sekeluarga amat berbangga dengan pencapaiannya yang akan kekal sebagai kenangan terindah sepanjang hayat,” kata ibunya.

Sumber: Wellbod PALAPES UUM

Arwah Asniza Terlibat Dalam Satu Kes Kemalangan

Pada 3 Oktober lalu, graduan kejuruteraan tersebut telah dilanggar sebuah lori di Jalan Tanjung Laboh, Banang Jaya, Batu Pahat, Johor.

Menurut laporan NST, Asniza sedang menunggang sebuah motosikal dari rumah ke tempat kerjanya apabila nahas kemalangan itu berlaku.

Malangnya, rempuhan lori berkenaan menyebabkan dia maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Pemergian Asniza sememangnya mendukacitakan. Kami mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan tahniah atas kelulusan anak perempuan yang cemerlang.

Baca Artikel Berkaitan: Dua Pelajar UiTM Meninggal Dunia Selepas Sakit Kepala Teruk

Baca Artikel Berkaitan: Kanak-kanak Maut Digilis Lori Lepas Pulang Sambut Raya Di Sekolah

Baca Artikel Berkaitan: Gara-gara RM4, Pelajar Lelaki Berusia 11 Tahun Maut Dihentak Di Kepala


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd