Now Reading
“Kalau Sistem Kuota Dimansuhkan, Kami Kalah Semua Pilihan Raya” – Anwar Ibrahim Jawab Soalan Pelajar Matrik

“Kalau Sistem Kuota Dimansuhkan, Kami Kalah Semua Pilihan Raya” – Anwar Ibrahim Jawab Soalan Pelajar Matrik

Seorang pelajar matrikulasi bertanya kepada Anwar Ibrahim tentang pendapatnya untuk memansuhkan sistem kuota berkaitan kemasukan ke Universiti Awam (UA) ketika majlis Temu Anwar.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, sistem kemasukan ke Universiti Awam (UA) di Malaysia menyediakan kuota khas untuk golongan Bumiputera melibatkan kaum Melayu, masyarakat kaum di Sabah, Sarawak serta Orang Asli.

Baru-baru ini, isu tentang sistem kuota tersebut telah dibangkitkan oleh seorang pelajar matrikulasi di Perak ketika majlis ‘Temu Anwar’ yang dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sewaktu acara tersebut berlangsung di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang pada Sabtu lalu (5 Ogos), seorang pelajar perempuan telah mengajukan soalan tentang sistem kuota kemasukan ke universiti kepada Anwar.

Menurutnya, segelintir rakannya tidak mendapat tempat di UA walaupun memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ada juga yang hanya berjaya memasuki ketika pengambilan kedua selepas membuat rayuan.

Persoalnya lagi, pelajar-pelajar Bumiputera lebih mudah diterima masuk ke UA walaupun keputusan peperiksaan yang kurang cemerlang.

Sumber: Facebook Anwar Ibrahim

Anwar Tegaskan Sistem Kuota Universiti Awam (UA) Tidak Akan Dimansuhkan

Ketika menjawab persoalan itu, Anwar menegaskan bahawa sistem kuota tidak akan dibatalkan kerana ia boleh menimbulkan kekacauan dalam negara.

Jelasnya lagi, pelajar berkenaan dinasihati untuk mempelajari semula tentang sejarah berkaitan sistem kuota dan kontrak sosial selepas persoalan itu sering ditanya kepada beliau.

Soalan begini, kena ambil tahu tentang sejarah dan social contract. Kalau tanya saya, boleh tak tolong kami satu dua kelayakan, itu lebih baik. Kalau you nak change polisi, you kena fikir.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim

Tambah beliau lagi, pelajar-pelajar bukan Bumiputera boleh membuat permohonan rayuan sekiranya mereka benar-benar layak.

Janganlah nak batalkan sistem kuota kerana ia akan menimbulkan turmoil (kekacauan) dalam negara ini. Kalau ada anak India atau anak Cina yang berasakan mereka tidak dilayan dengan adil kerana sistem kuota bumiputera, boleh buat rayuan dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memberi pertimbangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Anwar juga menjelaskan tentang cadangan yang diberikan untuk menggantikan sistem kuota dengan sistem meritokrasi.

Anda bercakap soal meritokrasi, tetapi anda tidak tahu ada sekolah yang cukup daif kerana tempat orang-orang miskin belajar. Anda tak faham ada orang nak makan pun tak cukup, nak pergi sekolah tetapi anda nak suruh mereka bersaing melalui meritokrasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Netizen Beri Pelbagai Reaksi Selepas Mendengar Persoalan Serta Penjelasan Yang Diberikan

Video yang tular di media sosial itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen kerana ada yang bersetuju dan juga yang sebaliknya.

Sesetengah netizen memihak kepada Anwar kerana beranggapan jawapan yang diberikan adalah tepat kerana sejarah terdahulu perlu dikaji semula jika bangkitnya persoalan seperti ini.

Malah, ada juga yang menganggap soalan yang ditanyakan itu agak sensitif dan cara Anwar menjawabnya dengan nada tegas adalah tidak salah.

Walau bagaimanapun, segelintir netizen berpendapat bahawa Anwar perlu melembutkan sedikit intonasinya ketika menjawab persoalan golongan muda kerana dikatakan agak keras dan tegas.


Takrifan Tentang Bumiputera

Takrifan tentang Bumiputera yang diguna pakai adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan bagi urusan pemprosesan dan pemilihan kemasukan ke UA.

Berikut adalah takrifan Bumiputera berdasarkan kategori di bawah:

  • Takrifan Bumiputera Bagi Semenanjung
    • Jika salah seorang ibu atau bapa calon adalah berbangsa Melayu beragama Islam atau Orang Asli seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.
  • Takrifan Bumiputera Bagi Sabah
    • Jika bapa calon adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam atau Peribumi Sabah seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 161 A (6) (b) Perlembagaan Persekutuan, maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.
  • Takrifan Bumiputera Bagi Sarawak
    • Jika bapa dan ibu calon adalah Peribumi Sarawak seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 161 A (6) (a) Perlembagaan Persekutuan, maka anaknya adalah dianggap seorang Bumiputera.

Sumber: Twitter Free Malaysia Today | Info UPU


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd