Now Reading
Kanak-Kanak Autistik Terjatuh Sungai Skudai, Mayat Ditemui Sekitar 5 Jam Kemudian

Kanak-Kanak Autistik Terjatuh Sungai Skudai, Mayat Ditemui Sekitar 5 Jam Kemudian

Mangsa ditemui kira-kira 130 meter dari lokasi dilaporkan terjatuh dan pada kedalaman empat meter di Sungai Skudai, Johor.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebelum ini, terdapat beberapa berita yang melaporkan kes melibatkan kanak-kanak yang terjatuh ke dalam longkang, sungai, dan pantai.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kes lemas merupakan salah satu punca utama kematian kanak-kanak berusia bawah lima tahun di kebanyakan negara.

Seperti kes baharu yang dilaporkan semalam (1 Mei) apabila seorang kanak-kanak autistik berusia lima tahun telah lemas akibat terjatuh ke dalam Sungai Skudai, Johor Bahru.

Dalam kejadian petang semalam, difahamkan mangsa sedang bermain telefon menangkap gambar di kawasan sekitar rumah kediaman keluarganya di Kampung Sepakat Baru, Skudai yang terletak berhampiran sungai tersebut.


Anggota Bomba Bergegas Ke Lokasi Kejadian

Sehubungan itu, pihak bomba digegaskan ke tempat kejadian setelah menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.59 petang, lapor Kosmo.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah dikejarkan ke lokasi dan tiba pada pukul 6.13 petang.

“Sebaik menerima panggilan berkenaan, satu PKO melibatkan satu jentera ‘fire rescue tender’ (FRT) dan satu jentera unit perkhidmatan penyelamatan perawatan kecemasan (EMRS) dengan tujuh anggota dari BBP Skudai dihantar ke lokasi,” katanya yang dipetik Astro Awani.

Sumber gambar: Info Kemalangan & Bencana Malaysia/ Facebook

Pencarian Sejauh 800 Meter

Saifulbahri berkata anggota PKO telah membuat pencarian di sepanjang tebing dan permukaan sungai kira-kira 800 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam masa yang sama menggunakan teknik ‘swift wiping’ dalam usaha selaman bagi mencari mangsa.

“PKO membuat pencarian di permukaan sungai dengan jarak sejauh 800 meter dari mangsa dilaporkan terjatuh, manakala anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman menggunakan teknik swift wiping,” katanya.

Berdasarkan hantaran di Facebook Info Kemalangan & Bencana Malaysia, pihak polis dan penduduk sekitar turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.

Sumber gambar: Info Kemalangan & Bencana Malaysia/ Facebook

Setelah lima jam, mangsa akhirnya ditemui pada pukul 11.15 malam. Saifulbahri memaklumkan mayat ditemui sekitar 130 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh dan pada kedalaman empat meter.

Tambahnya lagi, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan akan menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd