Now Reading
Persatuan Graduan Bukan Bumiputera Anggap Jawapan Anwar Ibrahim Tentang Isu Sistem Kuota Universiti Bersifat Sementara

Persatuan Graduan Bukan Bumiputera Anggap Jawapan Anwar Ibrahim Tentang Isu Sistem Kuota Universiti Bersifat Sementara

Persatuan Concerned UM Indian Graduates (CUMIG) walau bagaimanapun menghormati keistimewaan yang diberikan kepada masyarakat Bumiputera selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, isu tentang sistem kuota warga Bumiputera yang diaplikasikan dalam pengambilan pelajar Universiti Awam (UA) telah menjadi topik perbualan yang hangat selepas persoalan mengenai hal itu dibangkitkan.

Ketika majlis ‘Temu Anwar’ di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang pada Sabtu lalu (5 Ogos), seorang pelajar perempuan mempersoalkan tentang masalah yang dihadapi oleh pelajar bukan Bumiputera yang dikatakan agak susah untuk mendapat tempat di UA dengan adanya sistem kuota.

Ketika menjawab persoalan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sistem kuota tidak akan dibatalkan kerana ia boleh menimbulkan kekacauan dalam negara.

Jelasnya lagi, pelajar berkenaan dinasihati untuk mempelajari semula tentang sejarah berkaitan sistem kuota dan kontrak sosial selepas persoalan itu sering ditanya kepada beliau.

Artikel Berkaitan: “Kalau Sistem Kuota Dimansuhkan, Kami Kalah Semua Pilihan Raya” – Anwar Ibrahim Jawab Soalan Pelajar Matrik

Sumber: Twitter Free Malaysia Today

Persatuan Graduan Universiti Malaya (UM) Kaum India Tampil Beri Respon Tentang Jawapan Dari Anwar Ibrahim

Sebuah persatuan graduan dari Universiti Malaya (UM) berbangsa India yang dikenali sebagai Concerned UM Indian Graduates (CUMIG) memberikan pendapat mereka selepas mendengar jawapan yang diberikan oleh Anwar berhubung isu sistem kuota bagi pelajar Bumiputera.

Menurut mereka, pendekatan Anwar yang menggalakan pelajar untuk memahami tentang sejarah pembentukan negara serta penggubalan undang-undang adalah amat digalakkan.

Namun, jawapan berhubung sistem kuota yang tidak boleh dihapuskan dianggap tidak menyeluruh dan bersifat sementara kerana ia dikatakan bercanggah dengan pengumuman sebelum ini oleh mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Husaini Omar.

Jawapan Perdana Menteri bahawa sistem kuota dalam pengambilan pelajar ke IPTA tidak boleh dihapuskan telah membuka semula perbincangan berkaitan kaedah pengambilan pelajar ke IPTA kerana berbeza dengan kaedah pengambilan yang diumumkan sebelum ini.

Concerned UM Indian Graduates (CUMIG).
Sumber: Free Malaysia Today (FMT)

Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 18 Ogos 2020, pihak mereka menjelaskan sistem meritokrasi diamalkan dalam pengambilan pelajar ke IPTA tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal.

Dalam kenyataan sama, sistem kuota dikatakan telah digugurkan sejak sesi pengambilan 2002/2003.

Umum juga mengetahui bahawa dasar pengambilan pelajar ke program Matrikulasi KPM adalah berdasarkan kuota iaitu 90% diperuntukan kepada pelajar Bumiputera manakala 10% lagi diperuntukan kepada pelajar Bukan Bumiputera.

Persoalan utama yang bermain dalam minda para pelajar dan ibu bapa adalah apakah sebenarnya dasar yang dilaksanakan dalam proses pengambilan pelajar ke IPTA? Adakah prinsip berdasarkan meritokrasi yang diguna pakai sejak sesi pengambilan 2002/2003 atau kuota berdasarkan kaum masih terpakai?

Concerned UM Indian Graduates (CUMIG).

CUMIG Hormat Keistimewaan Masyarakat Bumiptera

Sementara itu, CUMIG turut menyatakan rasa hormat mereka terhadap keistimewaan yang diberikan kepada masyarakat Bumiputera selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan tidak sama sekali mempersoalkan legitimasi di sebalik peruntukan ini.

Gambar Sekadar Hiasan. (Sumber: Freepik)

Pada masa yang sama, CUMIG merujuk kepada perlindungan terhadap kepentingan sah kaum lain yang juga termaktub dalam Perkara 153 dan mengusulkan kepada kerajaan Malaysia untuk menetapkan dasar lebih jelas dalam pengambilan pelajar Bukan Bumiputera ke IPTA.

Sekiranya sistem kuota yang dilaksanakan dalam pengambilan pelajar ke IPTA, kerajaan seharusnya menetapkan kuota tempat mengikut nisbah kaum dan taraf sosioekonomi.

Concerned UM Indian Graduates (CUMIG).

Maklumat penetapan kuota ini perlu diterbitkan kepada umum sebagai pemakluman awal kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama.

Penerbitan maklumat ini akan mencerminkan keterbukaan kerajaan dalam mengatasi polemik isu perkauman dan ketidakadilan yang sering dibangkitkan dalam proses pengambilan pelajar ke IPTA termasuk ke Program Matrikulasi KPM.

Gambar Sekadar Hiasan. (Sumber: MalayMail)

CUMIG Usul Cadangan Untuk Tambah Baik Proses Pengambilan Pelajar Bagi Menyelesaikan isu Bumiputera-Bukan Bumiputera

Di samping itu, CUMIG turut mengusulkan beberapa cadangan bagi menambah baik proses pengambilan pelajar sedia ada dengan harapan ia dapat menyelesaikan isu Bumiputera-Bukan Bumiputera:

  • Memperkenalkan satu laluan kemasukan (single entry point) untuk pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda yang boleh mengurangkan perbezaan standard antara program Matrikulasi KPM, Asasi UA dan STPM
  • UA perlu menjalankan proses temuduga pelajar ke program Ijazah Sarjana Muda selepas keputusan akhir diterima oleh pelajar ulangan semester 1, semester 2 STPM dan semester 2 Matrikulasi.
  • Memusatkan panggilan untuk kursus temuduga dalam satu laman sesawang untuk mengelakkan pelajar tercicir daripada menerima panggilan untuk menghadiri temuduga yang kini perlu disemak secara berasingan berdasarkan IPTA yang dimohon.
  • Mengumumkan keputusan ujian MEdSI sebagai pemakluman kepada para pelajar yang memohon kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan untuk membantu para pelajar yang gagal dalam ujian tersebut untuk membuat persediaan alternatif.
  • Membuka peluang kedua kepada para pelajar yang gagal dalam cubaan pertama ujian MEdSI untuk menduduki semula ujian tersebut.
  • Membuka peluang kedua kepada para pelajar yang gagal dalam cubaan pertama ujian MEdSI untuk menduduki semula ujian tersebut.

CUMIG menyeru pimpinan negara untuk merangka dasar pendidikan yang jelas dengan mengambil kira bagi memastikan Malaysia tidak kehilangan golongan cerdik pandai dan sumber manusia yang bernilai.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd