Usahawan Kosmetik Tampil Buat Laporan, Dakwa Pentadbir Sekolah Di Kedah Seleweng Dana PIBG
Pengeluaran wang dana PIBG berkenaan bukanlah untuk pembangunan infrastruktur sekolah tetapi untuk program ‘team building’ guru-guru tanpa melibatkan murid.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!
Umum sedia maklum, setiap sekolah akan mempunyai wang peruntukan yang disumbangkan oleh ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Kebiasaannya wang PIBG ini akan digunakan untuk program-program membina kemahiran diri serta pelajaran para murid di sekolah.
Baru-baru ini, salah seorang ibu bapa merangkap bekas Yang Dipertua (YDP) PIBG di sebuah sekolah rendah di Kedah telah membuat satu dakwaan berkaitan penyalahgunaan wang peruntukan tersebut.
Usahawan Kosmetik Mendakwa Pentadbir Sekolah Seleweng Wang PIBG Berjumlah RM16,000
Seorang usahawan wanita iaitu Auni Nazmi Azhar yang juga pengasas kepada Elyss Group Holding Sdn Bhd mendakwa bahawa sebuah sekolah rendah di Kedah telah menyeleweng wang dari akaun PIBG berjumlah RM16,000.
Wanita ini yang turut memegang jawatan sebagai YDP PIBG pada tahun lalu diminta untuk bersetuju dengan pengeluaran wang berkenaan.
Walau bagaimanapun, kebenaran pengeluaran wang tersebut dikatakan hanya dibenarkan selepas pihak pentadbir sekolah meluluskan kertas kerja bagi proses pembangunan infrastruktur sekolah, lapor Harian Metro.

Ketika berbincang menerusi WhatsApp bersama pihak pentadbir sekolah, saya bersetuju untuk memberi kebenaran pengeluaran wang pertama berjumlah RM6,000 pada 26 September 2022 diikuti RM10,000 pada 1 Oktober 2022.
Auni Nazmi Azhar.
Namun, perkara ini mula menjadi tanda tanya ketika Auni hadir ke sekolah untuk menandatangani kertas kerja yang dikatakan sudah siap tetapi dokumen tersebut gagal diserahkan oleh pihak pentadbir.
Oleh disebabkan itu, saya menggesa wang itu untuk dipulangkan semula tetapi pihak pentadbir hanya menyerahkan RM10,000 sahaja.
Auni Nazmi Azhar.
Lebih mengejutkan lagi, kertas kerja yang diterima pada mesyuarat PIBG lalu menyatakan pengeluaran wang berkenaan bukanlah untuk pembangunan infrastruktur seperti yang dimaklumkan.
Sebaliknya, ia digunakan untuk program ‘team building’ guru-guru tanpa melibatkan murid.

Usahawan Kosmetik Ini Enggan Terpalit Dengan Kes Pecah Amanah Wang PIBG Sekolah
Situasi tersebut menyebabkan usahawan kosmetik yang tidak lagi memegang jawatan sebagai YDP PIBG bimbang dirinya mungkin terpalit atas dakwaan melakukan pecah amanah kerana meluluskan pengeluaran dana tersebut.

Dana PIBG hanya untuk manfaat murid-murid sahaja. Saya juga percaya saya didesak dan dimanipulasi oleh pihak pentadbir sekolah berkenaan sehingga membenarkan wang itu dikeluarkan.
Auni Nazmi Azhar.
Berikutan itu, laporan polis dan aduan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah dilakukan dan kini sedang menunggu maklum balas.
Apa Hukum Penggunaan Wang PIBG Bukan Untuk Program Pelajar?
Seperti kita semua sedia maklum, wang PIBG diperuntukkan oleh ibu bapa untuk membantu pihak sekolah melakukan program melibatkan murid-murid.
Tetapi, apa pula hukumnya jika pihak sekolah menggunakan dana PIBG tersebut bertujuan untuk melakukan sebarang aktiviti yang tidak melibatkan murid-murid?
Sebagai contoh, melakukan jamuan akhir tahun guru, memberi duit raya serta pakaian baharu kepada pendidik dan sebagainya.

Persoalan ini diajukan kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan beliau tampil memberi penjelasan menerusi laman web Maktabah Al-Bakri.
Menurutnya, sebarang harta yang diamanahkan kepada pihak sekolah tidak boleh dipindah milik dengan apa jua cara sekali pun dan perlu mendapat persetujuan daripada kesemua anggota PIBG semasa Mesyuarat Agung Tahunan.
Saya mencadangkan agar wang tersebut lebih baik digunakan untuk program yang melibatkan pelajar dan guru kerana bimbang ia boleh membawa kepada kes pecah amanah dan penyalahgunaan duit tabung PIBG mengikut terma yang ditetapkan.
Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
BACA JUGA: Amalan Rasuah Di Malaysia Berada Pada Skala Bahaya – Sultan Nazrin
BACA JUGA: Anwar Ibrahim Sebak, Tekad Akan Terus Perangi Rasuah Selepas Tayangan ‘Anwar, The Untold Story’
BACA JUGA: [Pendapat] Lelaki Ini Bongkar Kesan Rasuah Kepada Pendidikan Khas
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.