Now Reading
Amalan Rasuah Di Malaysia Berada Pada Skala Bahaya – Sultan Nazrin

Amalan Rasuah Di Malaysia Berada Pada Skala Bahaya – Sultan Nazrin

Sultan Nazrin bertitah, pelakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar dan diterima sebagai norma sebelum meresap menjadi budaya. Akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa apabila tiada kesungguhan membanteras jenayah itu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini telah bertitah bahawa amalan rasuah di Malaysia kini disifatkan berada pada skala membahayakan.

Menerusi laporan Berita Harian, ia berdasarkan teguran laporan Ketua Audit Negara secara berulang kali dan pelbagai penemuan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

BACA JUGA: Skor Indeks Persepsi Rasuah Terus Jatuh, Malaysia Kini Di Tangga Ke 62 Dunia

Mengulas lanjut, atas dasar itu baginda bertitah supaya kesemua pihak untuk tidak memandang isu ini dengan ringan, bersifat leka, memilih untuk melakukan penafian dan memikirkan segala justifikasi bagi menidakkan kewujudan rasuah di hadapan mata.

Titah baginda lagi, semua pihak wajib bersifat berani mengakui, berhubung realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala membahayakan ini, berdasarkan teguran dan penemuan berkenaan.

Menurut baginda, pelakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma sebelum meresap menjadi budaya dan akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa apabila tiada kesungguhan membanteras jenayah itu.

Bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pelbagai agensi dan jabatan, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media, dan isu yang diwarwarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku. Malah, jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda menjelaskan bahawa sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau dilakukan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.

Pada masa yang sama, Sultan Nazrin bertitah bahawa rasuah dikenalpasti sebagai salah satu punca pertumbuhan ekonomi membantut, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan lagi kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, dan juga mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

Apa Itu Rasuah?

Untuk pengetahuan umum, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mentakrifkan rasuah sebagai penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.

Suapan juga hadir dari pelbagai bentuk termasuklah:

  • wang
  • hadiah
  • bonus
  • undi
  • perkhidmatan
  • jawatan
  • upah
  • diskaun

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:

  1. Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
  2. Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
  3. Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 Akta SPRM 2009]
  4. Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 Akta SPRM 2009]

BACA JUGA: University Director Under Remand For Accepting RM174k Honda Accord From Klang Contractor As Bribe For RM1.6m Tender


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd