Now Reading
Ini 9 Tips Untuk Bakal Jemaah Haji. #8 Paling Penting

Ini 9 Tips Untuk Bakal Jemaah Haji. #8 Paling Penting

Antara tips yang diberikan untuk bakal jemaah haji adalah membawa beg vakuum untuk menyimpan kain ihram yang tebal dan menyediakan bekalan ubat-ubatan yang mencukupi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bagi mereka yang pertama kali mengerjakan ibadah haji di kota Mekah dan Madinah, semestinya pelbagai perkara akan berada dalam fikiran bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar dan mendapat haji mabrur.

Bukan semua individu berpeluang untuk dipilih sebagai tetamu Allah SWT, jadi pastinya kita semua mahu membuat persediaan yang terbaik.

Memang tidak dapat digambarkan perasaan bila dapat menjejakkan kaki di kota suci tersebut. Masha-Allah begitu tenang dan indah.

Baca Artikel Berkaitan: Jasa Pengasas Lembaga Tabung Haji Banyak Bantu Rakyat Malaysia Tunai Haji

Baca Artikel Berkaitan: “Nabi Muhammad SAW Kirim Salam..” & Pengalaman Lain Jemaah Ketika Di Tanah Suci Mekah


Jemaah Haji Kongsi Tips Ketika Melakukan Ibadah Haji

Menerusi bebenang dimuat naik di laman X (@asy_raaf), seorang lelaki bernama Asyraaf bin Azahari ini telah dijemput ke kenduri doa selamat jirannya yang bakal mengerjakan haji pada tahun ini.

Berita itu membuatkan dirinya tumpang gembira dan sempat berkongsi pengalaman serta tips kepada si jiran yang bakal menunaikan ibadah haji.

Antara tips yang dikongsikan adalah:

#1. Mental Dan Fizikal Perlu Kuat
Sumber: X @asy_raaf

Salah satu syarat sah haji adalah seseorang individu itu perlu waras. Malah, pihak Tabung Haji juga akan melakukan ujian saringan kesihatan terlebih dahulu bagi memastikan kesihatan bakal jemaah tidak terjejas.

Ini kerana ibadah haji ini akan melibatkan pergerakan yang sangat banyak termasuklah semasa tawaf di hadapan Kaabah dan juga melontar di Mina dengan jarak kira-kira 14 kilometer untuk perjalanan pergi balik.

Jadi sementara mengumpul wang dan menunggu giliran, jangan lupa untuk jaga kesihatan masing-masing.

#2. Guna Kad Untuk Beli Barangan
Sumber: Pexels

Untuk membeli barangan ketika berada di sana, lebih digalakkan untuk menggunakan kad kerana tidak perlu untuk beratur panjang di mesin ATM untuk mengeluarkan wang tunai.

Pada masa yang sama, anak-anak juga boleh memantau jumlah baki dalam akaun dan memudahkan mereka untuk menambah nilai meskipun berada di negara berbeza.

Namun semak terlebih dahulu dengan bank sebelum terbang ke Arab Saudi memandangkan ada perbankan yang memerlukan pengguna mengaktifkan pengeluaran antarabangsa.

#3. Beli Kad Sim
Sumber: Pexels

Untuk penggunaan Internet pula, terdapat dua pilihan yang boleh dilakukan iaitu ‘roaming’ atau membeli kad sim di Mekah atau Madinah. Namun, pilihan yang lebih digalakkan adalah membeli kad sim.

Jemaah haji boleh membuat panggilan video menerusi Google Meet, Instagram, atau Facebook. Katanya kalau nak buat panggilan video menggunakan WhatsApp, ia memerlukan akses VPN.

Memetik Harian Metro, terdapat pelbagai pilihan kad SIM prabayar yang dijual oleh syarikat telekomunikasi lain di Arab Saudi seperti Mobily, Saudi Telecommunications Company (STC) dan Zain.

Jadi, korang pilihlah mana-mana kad sim yang sesuai mengikut kegunaan.

#4. Kekal Dalam Kawasan Kaabah Untuk Solat Jumaat Ketika Hari Masyair
Sumber: Pexels

Sebagai info, Hari Masyair adalah adalah kemuncak operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bermula 8 hingga 13 Zulhijjah.

Lelaki ini memberi cadangan untuk para jemaah kekal dalam kawasan sekitar Kaabah selepas waktu selesai Dhuha bagi membolehkan mereka melakukan Solat Jumaat di sana.

“Kalau keluar maktab lepas pukul 10, silap-silap solat dalam pusat membeli-belah atau atas jalan tar yang panas,” katanya.

#5. Sediakan Makanan Pek
Sumber: X @asy_raaf

Kadangkala ketika hari Masyair, hidangan makanan akan tidak mencukupi. Jadi sebagai persiapan, jangan lupa untuk bawa juga beberapa pek makanan yang sedia dimasak dan hanya tinggal untuk dipanaskan sahaja.

Boleh juga untuk bawa apa-apa sambal atau serunding yang boleh dimakan dengan nasi.

#6. Beli Plastik Vakum
Sumber: X @asy_raaf/ Pexels

Sekiranya kain ihram agak tebal, boleh juga dapatkan plastik vakum untuk menjimatkan ruangan dalam bagasi.

#7. Pos Barangan Ke Malaysia Untuk Bawa Balik
Senarai harga perkhidmatan pos ke Malaysia. (Sumber: X @asy_raaf)

Jika anda membeli banyak barangan, tak perlu pun sumbat kesemuanya ke dalam bagasi untuk dibawa balik. Boleh juga untuk menggunakan perkhidmatan untuk pos terus ke rumah di Malaysia.

#8. Banyakkan Bersabar
Sumber: X @asy_raaf

Ketika berada di Mina, persekitaran boleh menjadi agak padat dengan para jemaah yang lain dan ketika inilah anda perlu kekal bersabar.

Keadaan yang sama juga berlaku di Muzdalifah. Berkemungkinan juga tempat tidur anda diambil oleh jemaah lain.

Bagi mereka yang masih muda, seeloknya mengalah dengan mereka yang lebih tua.

#9. Sediakan Ubat Yang Mencukupi
Sumber: Pexels

Persediaan dari segi ubat juga perlu dibawa untuk kadar yang mencukupi kerana difahamkan harga ubat-ubatan di sana agak mahal.


Semoga perkongsian ini dapat membantu bakal jemaah haji untuk melakukan persiapan rapi dan diharapkan segala persediaan anda semua berjalan dengan lancar.

Kami doakan juga buat bakal jemaah tahun ini agar dipermudahkan segala urusan untuk mengerjakan ibadah haji. Amin.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd