Now Reading
Harimau Dijumpai Di Batang Kali – Ini Apa Yang Anda Perlu Buat Jika Terjumpa ‘Pak Belang’

Harimau Dijumpai Di Batang Kali – Ini Apa Yang Anda Perlu Buat Jika Terjumpa ‘Pak Belang’

Terdapat empat laporan melibatkan penampakan harimau di Batang Kali dan kawasan sekitarnya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, pihak polis telah menerima empat laporan berhubung penampakan kelibat harimau yang berkeliaran di sekitar kawasan Batang Kali, Goh Tong Jaya, Kuala Kubu Bharu dan Serendah pada 2 September lalu.

Memetik laporan Bernama, Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus menyatakan bahawa pihak polis telah memaklumkan situasi itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Tindakan ini diambil supaya Perhilitan dapat mengambil langkah sepatutnya demi menjamin keselamatan masyarakat penduduk setempat.

Sumber: WhatsApp

Sebelum ini, TRP melaporkan video kelibat harimau yang dijumpai di Kuala Kubu Bharu telah dikongsikan secara meluas di media sosial.

Pada 28 Ogos lalu, aksi seekor harimau yang memanjat pembahagi jalan berjaya dirakam menerusi kamera dashcam seorang pemandu yang sedang menyusuri Bukit Fraser.

Artikel Berkaitan: Tiger Caught On Dashcam In Kampung Pertak?

Selain itu, orang ramai juga pernah melihat dan terdengar ngauman harimau di kawasan sekitar chalet milik seorang ‘influencer’ terkenal di Batang Kali pada 2 September lalu.

Perhilitan sedang menjalankan siasatan terhadap harimau itu dengan memasang beberapa kamera bagi mengenal pasti lokasi haiwan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, DSP Mohd Asri Mohd Yunus.

Polis turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika menjalankan aktiviti bercucuk tanam, mendaki bukit, memasuki hutan dan aktiviti lain di sekitar hutan.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan harimau terbabit boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641132.


Harimau Dikategorikan Sebagai Spesies Terancam

Menurut ahli alam sekitar Andrew Sebastian, harimau biasanya tidak melihat manusia sebagai mangsa tetap hanya akan menyerang manusia jika berasa terancam atau terlalu lapar.

Sumber: Facebook Perhilitan

Pertubuhan Hidupan Liar Sedunia (WWF) menjelaskan bahawa haiwan juga seperti manusia di mana mereka berusaha untuk mencari ruang untuk berlindung, dan sumber makanan.

Namun apabila keluasan hutan semakin mengecil, haiwan ini terpaksa keluar dari kawasan perlindungan untuk mencari sumber makanan di tempat lain.

Dilaporkan pada tahun 2022, terdapat kurang daripada 150 ekor harimau Malaya di Semenanjung yang menjadikan mereka kini berada dalam kategori spesies yang sangat terancam.

Perkara ini perlu dipandang serius kerana bukan sahaja harimau terancam oleh habitatnya yang semakin berkurangan, malah pemburu haram juga memburu mereka untuk mendapatkan wang.


Apa Yang Anda Perlu Buat Jika Terjumpa Harimau?

Jika anda terjumpa kelibat harimau di kawasan sekitar semasa anda berada di tempat yang dilindungi seperti rumah dan di dalam kereta, segera hubungi pihak berkuasa.

Perhilitan akan datang ke lokasi anda dan menenangkan haiwan itu untuk membawanya bersama mereka untuk dipindahkan ke hutan yang lebih selamat.

Seekor harimau bernama Awang Besul telah diselamatkan oleh Perhilitan di Bukit Besi pada 2019 (kiri) dan seekor lagi bernama Mek diselamatkan daripada perangkap pemburu haram itu di Gua Musang pada Jun lalu (kanan).
(Sumber: Facebook Perhilitan)

Artikel Berkaitan: Cat virus strikes the Terengganu tiger; makes Awang Besul tame

Artikel Berkaitan: Canine Distemper Is The Dog Virus That’s Killing The World’s Tigers

Apa Perlu Anda Buat Jika Terjumpa Harimau Tanpa Sebarang Perlindungan?

Menurut Pusat Kesihatan Harimau Liar, terdapat empat jenis pertemuan harimau seperti berikut yang melibatkan langkah berbeza. Antaranya:

#1. Laluan Bersilang (Crossed Paths)

Ini mungkin berlaku apabila harimau berjalan di jalan atau hanya bergerak melintasinya.

Langkah-langkah yang perlu dilakukan:

  1. Tidak bergerak.
  2. Kekalkan pandangan mata (eye contact).
  3. Biarkan harimau itu berlalu pergi.

#2. Pergerakan Tidak Agresif (Non-Aggressive Advances)

Dalam kes ini, harimau akan memulakan pergerakan terlebih dahulu ke arah manusia (mangsa).

Pemangsa selalunya akan kelihatan jelas, tidak cuba bersembunyi dan akan menghampiri perlahan-lahan dengan pergerakan telinga ke atas dan ke hadapan.

Langkah-langkah yang perlu dilakukan:

  1. Kekalkan ‘eye contact’ dan bergerak ke belakang perlahan-lahan.
  2. Tinggalkan apa-apa benda seperti beg atau jaket untuk mengalihkan perhatian.
  3. Mengeluarkan bunyi yang kuat dengan menjerit.
  4. Cuba tunjukkan diri anda sebesar yang mungkin dengan harapan harimau itu akan ketakutan.
  5. Jika ada, keluarkan apa-apa barangan yang boleh menakutkan harimau seperti api.

#3. Tingkah Laku Defensif (Defensive Behaviour)

Dalam keadaan ini, harimau akan kelihatan tertekan dan anda akan terlihat telinga mereka akan leper ke belakang kepala. Mereka berkemungkinan akan mengaum dan menyerang orang.

Tingkah laku jenis ini biasanya dilakukan apabila ada individu yang cuba mendekati mereka dengan jarak yang terlalu dekat lebih-lebih lagi jika haiwan ini sedang menjaga anak atau baru sahaja membunuh mangsa di kawasan sekitar.

Langkah-langkah yang perlu dilakukan:

  1. Jangan tunjuk sifat agresif.
  2. Bergerak ke belakang perlahan-lahan.
  3. Tundukkan postur badan dengan tangan di sisi untuk mengelakkan dari bertembung mata.
  4. Bergerak ke belakang jika haiwan itu tidak menghampiri anda.
Sumber: Freepik

#4. Percubaan Untuk Menyerang (Predation Attempts)

Perkara ini jarang berlaku tetapi ini adalah beberapa cara yang boleh membantu jika situasi tersebut berlaku.

Dalam keadaan ini, harimau biasanya akan mendekati dari belakang dengan mangsa tidak menyedari kehadiran harimau sehingga mereka diserang.

Langkah-langkah yang perlu dilakukan:

  1. Gunakan apa sahaja cara untuk mempertahankan diri dan menakutkan harimau itu.
  2. Menjerit untuk meminta pertolongan dan menakut-nakutkan harimau itu.
  3. Jadikan diri anda setinggi dan selebar mungkin.
  4. Letakkan sebarang peranti atau senjata di atasnya seperti batu atau kayu.
  5. Elakkan membongkok atau mencangkung dengan cepat kerana boleh menyebabkan anda lebih cepat diserang.
  6. Bergerak secara perlahan-lahan untuk membentuk kumpulan dengan individu lain yang berada di kawasan sama.
Sumber: Fail TRP

Oleh itu, orang ramai dinasihati untuk lebih berhati-hati semasa melakukan aktiviti mereka di dalam hutan dan jangan teragak-agak untuk menghubungi pihak berkuasa jika terjumpa spesies haiwan terancam ini.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd