Terlalu Obses Untuk Jadi Kurus Tanda Alami Gangguan Mental. Ini 6 Punca Anda Perlu Tahu
Penyakit Aneroksia Nervosa adalah sejenis gangguan mental yang menyebabkan seseorang itu tidak mahu makan bagi mengelakkan badan menjadi gemuk.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menjaga penampilan agar diri sentiasa kelihatan cantik adalah salah satu lumrah bagi seorang wanita.
Ada juga yang sanggup berdiet untuk mendapatkan bentuk badan ideal dan slim. Tetapi, ramai juga yang terlalu obses untuk diet sehingga memudaratkan kesihatan tubuh badan.
Apa Itu Aneroksia Nervosa?
Menerusi ciapan yang dimuat naik di laman X (Twitter @DoktorSamhan), doktor kesihatan itu telah menjelaskan tentang satu masalah gangguan mental dikenali sebagai Aneroksia Nervosa.
Menurut beliau, gangguan Aneroksia Nervosa berlaku apabila seseorang itu tidak mahu makan kerana risau badannya menjadi gemuk.
Golongan yang mempunyai masalah sedemikian akan merasakan badannya besar walaupun sebenarnya dia sedang mengalami kekurangan berat.
Untuk makluman semua, 90% daripada pesakit tersebut terdiri daripada golongan wanita bermula dalam lingkungan umur 11 tahun.
Satu kajian oleh Persatuan Psikiatri Malaysia mendapati 1% daripada populasi rakyat Malaysia mengalami penyakit mental berkenaan.
Selain itu, Anoreksia Nervosa juga boleh mengancam nyawa seseorang jika ianya tidak dirawat oleh doktor.
Doktor Perjelas Punca Alami Gangguan Mental Aneroksia Nervosa
Penyakit Aneroksia Nervosa tersebut boleh terjadi disebabkan pelbagai punca.
Buat anda yang tidak tahu, di sini kami kongsikan beberapa faktor yang mendorong kepada gangguan mental tersebut. Antaranya:
#1. Faktor Genetik
Menurut doktor kesihatan itu, risiko untuk mengalami Aneroksia Nervosa meningkat apabila ada di kalangan ahli keluarga yang menghidapi penyakit sama.
Bukan itu sahaja, penyakit seperti Bulimia Nervosa, kemurungan, ketagihan alkohol dan dadah juga boleh mempengaruhi gangguan mental seseorang sehingga menyebabkan badan menjadi susut.

#2. Faktor Umur
Selain itu, Aneroksia Nervosa juga boleh terjadi apabila seorang remaja wanita terlalu menumpukan terhadap aspek kecantikan sehingga tidak mahu badan kelihatan besar.
Oleh itu, golongan tersebut bakal mengurangkan pengambilan makanan sehingga menyebabkan badan kurus secara mendadak.

#3. Keyakinan Diri Rendah
Seseorang yang mempunyai tahap keyakinan yang rendah kerana membenci rupa penampilannya berisiko untuk mengalami Aneroksia Nervosa.
Ia juga boleh terjadi apabila seseorang itu menetapkan sesuatu sasaran yang susah untuk dikecapi bagi memastikan diri sendiri sentiasa kelihatan cantik.

#4. Faktor Tekanan
Aneroksia Nervosa juga boleh dialami sekiranya seseorang individu sedang mengalami stres melampau.
Antara jenis tekanan yang boleh menyebabkan gangguan makan adalah seperti tekanan fizikal, psikologi, penderaan seksual serta peristiwa duka cita pernah dialami.

#5. Pengaruh Media Sosial
Seperti yang sering dilihat di platform media sosial, pelbagai produk kecantikan telah mempromosikan wanita yang berbadan kurus sebagai tips penjagaan penampilan.
Iklan-iklan yang dipaparkan itu boleh mendorong para wanita untuk mengurangkan pengambilan makanan sehingga menyebabkan penyakit Aneroksia Nervosa.

#6. Faktor Penyakit Lain
Kalau nak tahu, gangguan mental ini boleh terbentuk sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan yang lain seperti Hiperplasia Adrenal Kongenital (kelenjar adrenal terlalu aktif) atau penyakit Lupus.

Cara Atasi Penyakit Aneroksia Nervosa
Buat anda yang mempunyai penyakit tersebut, jangan risau. Terdapat pelbagai cara yang anda boleh lakukan bagi mengatasi gangguan mental tersebut. Antaranya:
- Melakukan senaman ringan ketika menghadapi stres.
- Tidak menafikan dan mengakui bahawa diri sendiri sedang menghadapi penyakit Anoreksia Nervosa.
- Makan makanan seperti yang dinasihatkan oleh doktor.
- Melibatkan diri dalam sesi kaunseling.
- Mengambil ubatan antidepresen, antipsikotik, dan penstabil ‘mood’ seperti yang disarankan oleh doktor.
- Kerap bersosial dengan individu lain.
- Mendapatkan bantuan dan sokongan dari ahli keluarga.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Kuah Banjir’ Punca Berat Badan Naik, Malaysia Negara Obesiti Tertinggi Di Asia Tenggara
Baca Artikel Berkaitan: Pakar Kardiologi Perjelas Kenapa Bahaya Makan Lewat Malam, Netizen Tampil Buat ‘Kelakar’ Pula
Baca Artikel Berkaitan: “Kawal Pemakanan Masa Raya!” – Pesakit Diabetes Paling Banyak Terima Rawatan Ketika Aidilfitri
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram