Now Reading
Ini 10 Tips Kurangkan Lemak Di Perut

Ini 10 Tips Kurangkan Lemak Di Perut

Antara tips bagi mengurangkan lemak pada bahagian perut adalah menggunakan sauna, melakukan aktiviti angkat beban dan mengehadkan kalori ketika ‘snacking’.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setiap kali masuk tahun baru, salah satu resolusi tahun baru yang terkenal adalah ingin kurangkan berat badan. Walaupun kini dah masuk bulan Februari, masih belum terlambat untuk anda usahakan resolusi tersebut!

Salah satu cara untuk mengurangkan berat badan adalah dengan membuang lemak yang terkumpul di bahagian perut.

Menurut seorang jurulatih kesihatan, Dilla (@dilla.nur_), selain daripada mengurangkan buncit perut, pengurangan lemak tersebut boleh menurunkan risiko tinggi lemak visceral, serangan jantung dan strok, serta menjadikan seseorang lebih sihat.


10 Tips Untuk Kurangkan Lemak Perut

Dia telah berkongsi 10 tips yang dapat membantu bagi mengurangkan lemak visceral atau lemak perut, sekaligus mengecilkan perut.

#1. Rancang Pemakanan Harian

Pemakanan merupakan salah satu perkara yang paling penting dalam menurunkan berat badan dan mengurangkan lemak.

Hidangan setiap hari perlu dirancang lebih awal. Perkara ini bertujuan untuk membuatkan anda sentiasa bersedia dan mengelakkan daripada memakan makanan yang kurang sihat seperti makanan segera.

Contoh hidangan yang elok untuk menurunkan berat badan adalah nasi bersama ikan bakar atau dada ayam serta sayur-sayuran.

Katanya, penyediaan jadual hidangan setiap hari turut akan menjadikan waktu makan kita lebih teratur, sekaligus mengelakkan daripada makan secara berlebihan.

Penyediaan makanan lebih awal turut menjimatkan masa. (Sumber gambar: Unsplash).

#2. Tidur Jika Badan Letih

Apabila badan terasa letih, adalah lebih baik jika anda tidur untuk merehatkan badan berbanding keluar bersenam.

Berada dalam keadaan tidak cukup tidur akan menyebabkan lebih kerap mengidam, menurunkan keazaman serta mengganggu metabolisme badan.

Malah, jika badan dipaksa bersenam dalam keadaan ia terlalu letih, ia kemungkinan besar akan membuatkan tubuh badan dalam keadaan tertekan. Perkara ini tidak bagus bagi menurunkan lemak perut.

#3. Gunakan Sauna

Di samping itu, sauna juga dilihat sebagai kaedah yang sesuai bagi mengurangkan lemak perut.

Dilla mencadangkan supaya menggunakan sauna selama 30 minit, sebanyak tiga kali seminggu. Sauna dikatakan dapat mengurangkan kortisol, iaitu hormon tekanan dalam badan.

Malah, ia juga akan bantu mengurangkan mengidam, tidur lebih lena dan mengeluarkan penahanan air yang berlebihan dalam badan.

#4. Buat Aktiviti Angkat Beban

Selain daripada melakukan aktiviti kardio seperti berjoging dan berenang, anda juga boleh melakukan aktiviti angkat beban (weight lifting) bagi membakar kalori.

Menurut Dilla, walaupun senaman angkat berat dilakukan pada waktu pagi, kadar metabolisme badan akan meningkat dan kalori badan akan dibakar sepanjang hari. Perkara ini adalah berbeza dengan kardio yang hanya membakar kalori sewaktu senaman tersebut dijalankan.

Dia juga berkata bahawa untuk pembakaran lemak yang laju, tidak cukup dengan hanya melakukan aktiviti kardio, tetapi memerlukan defisit kalori serta protein tinggi.

Defisit kalori berlaku apabila jumlah kalori yang diambil oleh seseorang adalah lebih kurang berbanding jumlah yang dibakar.

Sumber gambar: Unsplash.

#5. Hadkan Kalori ‘Snacking’

Bagi yang ingin mengurangkan lemak dalam badan, pasti timbul tanggapan bahawa perlu mengawal diet dan kurangkan waktu makan antara hidangan utama, iaitu ‘snacking’.

Sebenarnya, snacking masih boleh diambil dengan kalori yang terhad. Makan makanan rendah kalori seperti yogurt, buah-buahan, protein shake dan kekacang.

#6. Ambil 90% Makanan Tidak Diproses

Apa yang lebih penting dalam pemakanan adalah memastikan pemakanan yang sihat dan seimbang.

Dilla menasihati supaya memastikan 90% daripada hidangan adalah makanan tidak diproses seperti sayur-sayuran, sumber protein dan nasi.

Katanya, pengambilan makanan sedemikian akan mengubah bentuk perut dan komposisi badan dengan ketara dalam tempoh 90 hari.

Sumber gambar: Unsplash.

#7. Percaya Pada Usaha

Usaha tidak akan berjaya tanpa kepercayaan terhadapnya. Percayalah yang segala usaha anda akan dapat membuahkan hasil yang dikecapi.

Dilla berkata tiada alasan untuk seseorang itu tidak mendapat bentuk badan yang diingininya. Semuanya bergantung kepada keputusan dan usaha yang dilakukan.

#8. Lakukan Demi Kesihatan

Berat badan berkurangan bukan sahaja akan membantu dalam mendapatkan bentuk badan yang ideal, tetapi juga berkait rapat dengan tahap kesihatan diri.

Di samping itu, dia berpendapat bahawa apabila berat badan ideal dikecapi, ia akan meningkatkan keyakinan dan tenaga seseorang.

Kedua-dua ini dapat membantu dalam meningkatkan prestasi kerja dan menghasilkan mood lebih baik, seterusnya meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan mental.

#9. Jejak Progres Diri

Dalam usaha untuk mengurangkan lemak perut, terdapat dua cara yang boleh dilakukan untuk menjejak perkara tersebut, iaitu menerusi ukuran pada pinggang dan pinggul.

Menurut Info Sihat, sasaran ukur lilit pinggang yang ideal adalah bawah 80cm bagi wanita dan 90cm bagi lelaki.

Walaupun berat badan tidak berkurangan, tetapi pinggang dan pinggul yang semakin mengecil bermakna anda telah mula kehilangan lemak.

Sumber gambar: Unsplash.

#10. Periksa Kadar Metabolik Basal (BMR)

Berbeza dengan indeks jisim badan (BMI), kadar metabolik basal (BMR) lebih sesuai digunakan bagi menjejak pengurangan lemak dalam badan.

BMR adalah kadar pembakaran kalori atau metabolik harian tubuh badan sewaktu tidak berbuat apa-apa. Ia boleh dikira melalui kalkulator BMR yang boleh didapatkan menerusi carian Google.

Dilla menasihati supaya mengambil kalori kurang 200 daripada BMR untuk memastikan lemak dapat dikurangkan. Namun, jika masih berasa lapar, tingkatkan kalori sebanyak 100 terlebih dahulu.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd