Now Reading
Orang Ramai Boleh Tunaikan Solat Jenazah Ghaib Untuk Syuhada Palestin – Dr Zulkifli

Orang Ramai Boleh Tunaikan Solat Jenazah Ghaib Untuk Syuhada Palestin – Dr Zulkifli

Antara adab yang boleh dilakukan buat mangsa yang terkorban di Palestin adalah melafazkan ‘Inna lillahiwa inna ilaihi rajiun’ dan menunaikan solat jenazah ghaib.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tentera Israel di bawah pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, telah menindas rakyat Palestin khususnya di Gaza dengan serangan yang tidak berhenti melalui udara, darat dan laut.

Baca Artikel Berkaitan: “Ini Tidak Akan Berlaku” – Netanyahu Tolak Seruan Gencatan Senjata Di Gaza

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, pejabat media kerajaan Hamas berkata bahawa sejumlah 11,500 ribu nyawa penduduk Palestin telah terkorban.

Susulan angka nyawa terkorban yang semakin meningkat, orang ramai dilihat meluahkan rasa serba salah di media sosial kerana hanya mampu menitipkan doa dari jauh buat mereka yang syahid dalam peperangan.

Persoalannya selain berdoa, menyebarkan informasi di media sosial dan menyertai demonstrasi apakah lagi usaha yang boleh dilakukan oleh kita sebagai tanda menyokong perjuangan mereka di sana.


Dr Zulkifli Perjelas Boleh Atau Tidak Solat Jenazah Ghaib Buat Syuhada Palestin

Sehubungan itu, seorang individu menerusi laman web Maktabah al-Bakri telah mengajukan satu soalan kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sama ada dia boleh menunaikan solat jenazah ghaib atau tidak buat syuhada di Palestin.

Bagi menjawab persoalan itu, Dr Zulkifli telah tampil memberikan jawapan dan pandangan beliau tentang hal berkenaan.

Beliau memulakan penjelasan dengan sebuah firman Allah SWT iaitu:

“وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ”

Maksudnya: “Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!”

[Surah al-Buruj: 8]

Menurut Dr Zulkifli yang juga bekas menteri agama, penindasan penduduk Palestin pada waktu ini adalah disebabkan puak Yahudi dan rejim Zionis yang mahu menakluki bumi Gaza sehingga sanggup melakukan pembunuhan secara besar-besaran iaitu genosid.

Berbalik kepada persoalan oleh hamba Allah SWT itu tadi, Dr Zulkifli berkata antara adab yang perlu diterapkan sekiranya anda menerima sesuatu berita menduka cita adalah dengan melafazkan ayat “إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْن”

Sebagaimana firman Allah SWT:

“الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ”

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’.”

[Surah al-Baqarah: 156]

Selain daripada itu, orang ramai dibenarkan untuk solat jenazah ghaib buat syuhada di Gaza seperti mana hadis yang dipetik oleh Abu Hurairah RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، فخَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.”

 [Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)]


Jaga Aib Mangsa Mati Syahid

Dalam kesempatan itu, orang ramai dinasihatkan agar menjaga aib-aib penduduk yang mati syahid di Gaza iaitu dengan tidak menayangkan tubuh badan hancur, kepala berkecai dan seumpama dengannya.

Namun, penyebaran info di media sosial dalam memberi kesedaran kepada orang ramai bagi memperjuangkan hak warga Palestin amatlah digalakkan.


Panduan Solat Jenazah Ghaib

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat dua syarat solat jenazah ghaib yang anda perlu tahu iaitu:

  • Solat jenazah ghaib dilakukan di negeri yang berlainan dengan keberadaan si mati.
  • Solat jenazah ghaib dilaksanakan setelah jenazah selesai dimandikan.

Buat anda yang berniat untuk menunaikan solat jenazah ghaib buat mangsa terkorban di Palestin, di sini kami kongsikan langkah-langkah solat tersebut.

Untuk info, pelaksanaan solat jenazah ghaib adalah sama seperti solat jenazah yang biasa.

#1.  Takbiratul Ihram Sambil Niat Solat Jenazah.

Contoh lafaz niat adalah seperti berikut:

“Sahaja aku solat ke atas mayat ini fardhu kerana Allah Taala.”

#2. Baca Surah al-Fatihah

Setelah bertakbir, anda perlu meletakkan kedua-dua tangan ke dada sebagaimana solat fadhu biasa, kemudian membacakan surah al-Fatihah.

#3. Takbir Kali Kedua

Setelah selesai membaca al-Fatihah, anda harus bertakbir kali kedua sambil mengangkat kedua-dua tangan hingga ke cuping telinga, kemudian meletakkannya semula ke dada.

Selesai sahaja itu, anda harus melafazkan selawat ke atas Nabi SAW.

#4. Takbir Kali Ketiga

Bertakbir kali ketiga dan diikuti dengan doa buat si mati. Mendoakan mayat adalah maksud utama solat jenazah dilakukan.

“اللَّهُمَّ ارْحَمهُ أوِ اغْفِرلَه”

 Maksudnya: “Ya Allah! Rahmatilah dia. Atau Ya Allah! Ampunilah dia.” 

#5. Takbir Kali Keempat

Bertakbir kali keempat kemudian membacakan doakan iaitu:

“اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ”

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.”

#6. Ucap Salam

Langkah terakhir solat jenazah ghaib adalah dengan mengucapkan salam sebanyak dua kali iaitu ke kanan dan ke kiri sebagaimana salam solat fardhu yang lain.

Sumber: Umrah.com

Baca Artikel Berkaitan: Jenazah Individu Hina Islam Haram Disolatkan – Ustaz Azhar Idrus


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd