Now Reading
KLIA Duduki Tangga Ke-8 Lapangan Terbang Paling Teruk Di Asia, Ini Sebabnya

KLIA Duduki Tangga Ke-8 Lapangan Terbang Paling Teruk Di Asia, Ini Sebabnya

Tiga lapangan terbang terbaik di Asia adalah di Vietnam, Singapura dan Hong Kong.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Menurut laporan Bussiness Financing, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah lapangan terbang ke-8 terburuk di Asia.

Berdasarkan data dari laman web airlinequality penilaian secara purata daripada pengembara perniagaan itu diambil untuk menentukan kedudukan lapangan terbang secara global mengikut benua dan negara.

KLIA berkongsi skor purata yang sama iaitu 3.36 dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Emiriah Arab Bersatu.

Pengembara perlu beratur panjang di lapangan terbang serta kekurangan kemudahan yang baik telah menjadikan pengalaman perjalanan keseluruhan kurang baik. (Sumber: Fail TRP)

Menurut airlinequality, pengembara sering merungut tentang susun atur lapangan terbang KLIA yang lemah dan menyebabkan mereka perlu beratur panjang serta berjalan jauh untuk sampai ke terminal.

Selain itu, mereka juga berkata KLIA kekurangan kemudahan yang baik dan selesa.

Pengembara turut mengkritik sistem pelepasan imigresen yang dikatakan tidak cekap dan pencahayaan yang malap di seluruh lapangan terbang sehingga menjadikan suasana persekitaran kurang menyerlah.

Bagi kategori lapangan terbang terburuk di Asia pula adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait iaitu dengan skor 1.69, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty Kazakhstan (2.62) di tempat kedua dan Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Arab Saudi (2.72) di tempat ketiga.

Pengembara perniagaan menilai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait memberi penilaian yang buruk kerana tidak berpuas hati dengan isu bau kurang menyenangkan, kakitangan tidak profesional dan proses menaiki pesawat yang agak perlahan.

Sumber: Business Financing

Lapangan Terbang Mana Yang Paling Berkualiti Di Dunia?

Pengembara perniagaan menilai Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai Vietnam sebagai lapangan terbang terbaik di Asia dan dunia dengan purata skor 6.80 kerana menyediakan pelbagai kemudahan yang luar biasa seperti ‘Obsevation Deck’.

Selain itu, kakitangan mereka yang ramah, kualiti penjagaan kebersihan serta pelbagai pilihan makanan telah menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai Vietnam sebagai pilihan orang ramai.

Kekuatan lapangan terbang ini yang terletak pada sistem gilirannya secara tidak langsung menjadi satu ciri bagi meningkatkan pengalaman perjalanan secara keseluruhan.

Pada 2016, Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai menerima Anugerah Lapangan Terbang Paling Diperbaiki Di Dunia daripada Skytrax.

Menurut VN Express, pengerusi Skytrax Edward Plaisted berkata lapangan terbang itu semakin baik selepas penambahan terminal antarabangsa T2 yang baharu.

Penambahan terminal membantu mengurangkan kesesakan dengan ketara dan lapangan terbang itu mampu menyediakan perkhidmatan pelanggan yang lebih berkualiti.

Lapangan Terbang Changi Singapura dinilai sebagai lapangan terbang ke-2 terbaik di dunia dengan skor purata 6.63 diikuti oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong China di tempat ke-3 dengan skor 6.48.

Sumber: Business Financing

KLIA Pernah Dinobat Antara Lapangan Terbang Terbaik Dunia Pada 2021

KLIA yang terletak di Sepang, Selangor merupakan salah satu lapangan terbang utama dan terbesar di Malaysia yang mula dibuka pada 27 Jun 1998 ketika negara berada di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lapangan terbang ini yang menelan kos RM8.5 bilion ini juga merupakan salah satu daripada lapangan terbang utama di Asia Tenggara yang boleh mengendalikan 35 juta penumpang serta 1.2 juta tan kargo setahun.

Pada tahun 2021, Airports Council International (ACI) telah menobatkan KLIA sebagai salah satu lapangan terbang terbaik di dunia.

Sumber: Travel Daily/ SkyTrax

Berdasarkan kaji selidik global Airport Service Quality (ASQ), KLIA telah mencapai skor sempurna 5.00 dalam kategori masing-masing iaitu memberi perkhidmatan kepada lebih 40 juta pelanggan dalam setahun.

Ciri-ciri lapangan terbang terbaik ini dinilai dari segi kepuasan penumpang terhadap keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

Baca Artikel Berkaitan: 2 Lapangan Terbang Di Malaysia Dinobatkan Antara Yang Terbaik Di Dunia

Kemudian pada tahun lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan bahawa KLIA dan KLIA2 akan menjalani proses penjenamaan semula termasuklah pertukaran nama.

Kedua-dua lapangan terbang itu akan dikenali sebagai KLIA Terminal 1 dan 2.

Sumber: MalayMail

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyebut bila ia akan dilaksanakan kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan di bawah perjanjian operasi baharu itu.

Menurut Loke, Kabinet meluluskan perkara ini kerana ia dilihat mampu meningkatkan kebolehpasaran serta kecekapan lapangan terbang dan membolehkan mereka bersaing dengan lapangan terbang antarabangsa yang lain.

Baca Artikel Berkaitan: KLIA & KLIA 2 Dijenamakan Semula Sebagai KLIA Terminal 1 & 2


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd