Now Reading
Penyanyi Legend M. Daud Kilau Meninggal Dunia

Penyanyi Legend M. Daud Kilau Meninggal Dunia

Sebelum ini, penyanyi tersebut berdepan dengan penyakit jantung, paru-paru berair serta kebas pada anggota kaki dan tangan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (18 November), rakyat Malaysia dikhabarkan dengan berita duka cita pemergian penyanyi lagenda tanah air Datuk M. Daud Kilau di usia 85 tahun.

Untuk makluman, penyanyi itu telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Teluk Intan, Perak pada jam kira-kira 4.40 petang.

Khabar pemergian itu telah disampaikan oleh cucu allahyarham yang dikenali sebagai Hasnorikram menerusi perkongsian di Instagram Story miliknya.

“Atuk saya Mohd Daud Bin Kilau telah hembuskan nafasnya yang terakhir sebentar saja tadi. Al-Fatihah,” ujarnya.

Sebelum ini, penyanyi yang lebih mesra dikenali dengan gelaran ‘Raja Gelek’ itu telah berdepan dengan pelbagai penyakit kronik seperti masalah jantung, paru-paru berair serta kebas pada bahagian anggota kaki dan juga tangannya.

Malah terdahulu menjelang bulan Mei, dia pernah ditempatkan di Hospital Teluk Intan akibat mengalami masalah pernafasan.


Jenazah M. Daud Kilau Bakal Dikebumikan Hari Ini

Menerusi perkongsian oleh cucu M. Daud Kilau, jenazah telah dimandikan di hospital sama dan terus dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Sungai Balai Baroh Bagan Datuk, Perak.

Manakala pada 9 pagi hari ini (19 November), jenazah akan dibawa ke Masjid Terapung Bagan Datuk dan bakal dikebumikan sejurus selepas waktu solat Zohor di Tanah Perkuburan Sungai Balai Buruh.


Anwar Ibrahim Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham

Pemergian bintang veteran itu sememangnya membuatkan masyarakat setempat berasa terkesan.

“Saya suka Cek Mek Molek (lagu). Semoga Allah SWT ampunkan segala dosa dan husnul khatimah,” ujar seorang wanita.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan perasaan duka cita menerusi hantaran di laman Facebook rasmi milik beliau.

“Saya utus takziah buat keluarga almarhum Datuk M. Daud Kilau yang melaporkan allahyarham telah dijemput Ilahi siang tadi (semalam). Mendoakan allahyarham diampuni rohnya dan diberi tempat terbaik di sisi-Nya,” kata beliau.

Dalam kesempatan itu, PMX turut berterima kasih kepada allayarham kerana sering menghiburkan hati rakyat Malaysia sepanjang keberadaannya dan menjadi pemata tanah air.

Sumber: Facebook Anwar Ibrahim

Profil M. Daud Kilau

Dilahirkan pada 10 Julai 1938, Muhammad Daud telah menceburi dunia hiburan selepas menjuarai Bintang Radio Singapura tahun 1968. Dengan kejayaan yang diraih itu, dia telah meneruskan kerjaya dalam bidang seni dengan mengeluarkan pelbagai album berkonsepkan asli dan dangdut.

Umum sedia maklum, M. Daud Kilau amat dikenali dengan lagu hit berjudul ‘Cek Mek Molek’ yang sering didengari di acara atau majlis kenduri kahwin.

Pada tahun 1985, allahyarham juga pernah menjuarai kategori asli dalam Pesta Dendang Rakyat. Jasanya dalam pentas hiburan sememangnya telah membuahkan hasil apabila dia dinobatkan darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Perak pada 1991.

Kami dari TRP mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham. Semoga roh M. Daud Kilau dicucuri rahmat-Nya.

Sumber: Spotify/Flickr

Baca Artikel Berkaitan: Suhaimi Saad, Bekas Penyanyi Kumpulan Nasyid In-Team Meninggal Dunia

Baca Artikel Berkaitan: Bad Indigo Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung, Bekas Isteri Terkejut Terima Berita


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd