Now Reading
[Video] 6 Tutorial Cara Pakai Sampin Untuk Lebih Bergaya Pada Pagi Raya

[Video] 6 Tutorial Cara Pakai Sampin Untuk Lebih Bergaya Pada Pagi Raya

Antara gaya sampin yang boleh dipakai pada pagi raya adalah Pahlawan, Bunga Tanjung dan Sisip Tepi Bunga.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sampin merupakan salah satu pakaian tradisi Melayu yang sering digayakan pada hari raya dan majlis perkahwinan.

Selain daripada cara biasa, sebenarnya terdapat pelbagai teknik memakai sampin yang boleh digayakan.

Berikut kami kongsikan enam tutorial menggayakan sampin beserta langkah-langkahnya yang anda boleh cuba di hari raya nanti.

#1. Teruna Mencari Jodoh

Bagi gaya ini, kepala kain diletakkan di sebelah kiri badan dan kain ditarik ke kanan. Lipatkan kain dari kanan ke kiri.

Kemudian, cubit hujung sebelah kiri kain (pada paras tangan sahaja) dan tarik ke atas. Lipatkan sampin dalam lipatan kecil.

Akhir sekali, tarik sampin ke sebelah kiri agar belahannya berada di bahagian tengah.

#2. Pahlawan

Gaya sampin ini banyak dipakai seperti dalam filem-filem oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Ia dimulakan dengan meletakkan kepala kain tepat di belah belakang badan. Tarik kain ke sebelah kanan.

Seterusnya, cubit di bahagian tengah kain sebelah kanan dan tarik ke atas sehingga ke bahagian pinggang.

Tarik lebihan kain dari kanan ke kiri dan sematkan di belah belakang. Lipat sampin seperti biasa.

#3. Bunga

Gaya ini merupakan gaya yang sering dipakai oleh pengantin lelaki sewaktu majlis kahwin.

Letakkan kepala kain di sebelah kiri dan tarik kain ke kanan. Boleh juga letakkan kepala kain di belakang.

Cubit bahagian kain berhampiran pinggang kanan, dan lipatkan secara bertindih sehingga kain habis dilipat.

Boleh pinkan kain di bahagian dalam lipatan agar ia tidak terlerai. Tarikkan bahagian kain yang telah dilipat ke atas dan betukkan bunga.

#4. Bunga Tanjung

Terdapat juga gaya sampin bunga yang lebih mudah iaitu Bunga Tanjung. Ia dilakukan dengan menarik kain ke sebelah kiri.

Kemudian, tarik kain di sebelah kiri sedikit demi sedikit sehingga habis. Pegang kain yang ditarik dengan tangan sebelah lagi.

Lilit sampin menggunakan tangan dan masukkan hujung kain ke dalam lubang lilitan. Lebihan kain dilipat agar menjadi bentuk bunga.

#5. Janda Berhias

Bagi gaya ini, kepala kain diletakkan di sebelah kanan dan tarik kain ke kiri. Cubit bahagian tengah kain bahagian hadapan di sebelah kiri dan dibawa ke atas.

Lipat kain yang telah ditarik ke atas ke sebelah kiri. Cubit sejengkal dari atas di belah kanan kain dan lipat ke dalam. Sematkan lipatan ke dalam kain dan kemaskan sampin.

#6. Sisip Tepi Bunga

Ikatan ini boleh disambung daripada ikatan Janda Berhias. Setelah lipatan disematkan ke dalam kain, tarik lebihan kain di sebelah kiri ke kanan.

Tarik kain dari belah dalam agar kelihatan seperti bunga.

https://www.tiktok.com/@disampinku/video/7107173430088322330

Cara Pemakaian Sampin Mempunyai Maksud Tersendiri

Masyarakat Melayu sememangnya golongan yang mempunyai banyak bahasa tersiratnya yang tersendiri. Cara pemakaian sampin juga tidak terkecuali.

Seperti kain batik, kedudukan kepala kain sampin juga menunjukkan status perkahwinan seseorang.

  • Bujang – Kepala kain di sisi belah kanan
  • Berkahwin – Kepala kain di sisi kanan, tetapi berat ke belakang
  • Duda – Kepala kain di sisi kanan, tetapi berat ke depan
  • Belum berkahwin tetapi tidak ‘available’ (seperti bertunang) – Kepala kain tepat di belakang

Labuh kain juga mempunyai maksudnya yang tersendiri.

  • Bujang – Labuh kain di atas lutut, sekitar jarak dua jari
  • Berkahwin – Kain labuh di bawah lutut

Namun jika lelaki yang telah berkahwin memakai sampin di atas lutut, ia membawa makna dia mempunyai niat untuk menambah isteri baharu. Para isteri tengok-tengokkan sikit suami ya!


Pastikan Lipatan Kanan Sampin Di Sebelah Atas

Selain itu, pemakaian sampin juga mempunyai adabnya yang tersendiri. Sampin lebih beradab disarungkan dari atas kepala dan bukannya dari bawah kaki.

Menurut Pengarah Muzium Tekstil Negara, Hadijah Mohd Yunus, pemakaian sampin sesuai dengan falsafah prinsip agama Islam. Ini kerana ia membawa erti menutup aurat sehingga ke paras lutut.

Selain itu, sampin harus dilipat agar lipatan kanan berada di sebelah atas lipatan kiri. Katanya, ini adalah berdasarkan perbuatan qiam ketika solat.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd