Now Reading
Daftar Kahwin Di Perlis Selepas Nikah Di Thailand Tidak Perlu Kebenaran Isteri Pertama

Daftar Kahwin Di Perlis Selepas Nikah Di Thailand Tidak Perlu Kebenaran Isteri Pertama

Terdahulu, Konsulat Malaysia di Songkhla mendedahkan menerima 60 hingga 80 permohonan sehari bagi pengesahan pasangan Malaysia yang bernikah di selatan Thailand.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Poligami secara ringkasnya bermaksud berkahwin lebih dari seorang dalam satu masa. Lazimnya, poligami di Malaysia memerlukan kebenaran dan restu daripada isteri pertama, namun kebanyakan kaum lelaki sukar mendapat keizinan atas pelbagai faktor.

Keadaan ini menyebabkan segelintir individu lebih senang memilih untuk bernikah di luar negara terutamanya selatan Thailand kerana prosesnya yang mudah.

Namun, setiap pasangan perlu mendaftarkan perkahwinan di Malaysia setelah selesai prosedur pernikahan di negara itu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Daftar Nikah Di Perlis Tidak Perlu Persetujuan Isteri Pertama

Sebagai contoh, di Perlis sahaja, seramai 20 hingga 25 pasangan berkahwin di Thailand mendaftar di negeri itu dalam tempoh sebulan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis Muhammad Azmir Azizan, pendaftaran perkahwinan di negeri Perlis selepas melangsungkan pernikahan atas tujuan poligami di Thailand tidak perlu persetujuan isteri pertama.

Pemohon hanya perlu hadir di hadapan pendaftar dan mengemukakan dokumen yang sah sebagai bukti perkahwinan.

Tambah beliau, sekiranya pendaftar berpuas hati dan melihat perkahwinan itu sah mengikut syarak, maka ia boleh didaftarkan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) 2006.

“Kebanyakan pasangan memilih nikah di Thailand ini atas faktor seperti merasa proses perkahwinan di Malaysia menyusahkan, berpoligami dan privasi.

“Pendaftaran pernikahan tersebut (poligami) juga adalah mesti bagi mereka (pasangan) yang bermastautin di negeri ini,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan banyak pasangan di Malaysia memilih untuk berkahwin di Thailand terutama mereka yang mahu menyembunyikan perkahwinan daripada isteri pertama atau poligami.

Pendedahan itu dibuat oleh Konsulat Malaysia di Songkhla yang menerima 60 hingga 80 permohonan sehari bagi pengesahan pasangan Malaysia yang bernikah di selatan Thailand dengan jumlah keseluruhan mencecah lebih 2,400 permohonan dalam tempoh sebulan.

Ramai Pilih Perkhidmatan Nikah Yang Berpangkalan Di Bukit Kayu Hitam, Kedah

Dalam pada itu, kebanyakan rakyat Malaysia yang mahu berpoligami lebih memilih perkhidmatan nikah di Thailand melalui ejen yang berpangkalan di Bukit Kayu Hitam, Kedah berbanding di Pekan Golok, Thailand.

Perkara itu dimaklumkan oleh seorang ejen yang dikenali sebagai Wan yang menyediakan perkhidmatan di Pekan Golok.

“Kawasan itu lebih dekat dengan pejabat konsulat Malaysia selain pejabat agama Wilayah Songkhla.

“Situasi itu menyebabkan kami lebih banyak ‘rehat’ berbanding sebelum ini. Kadang kala sebulan hanya tiga pasangan sahaja yang mengambil pakej ini,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd