[Video] Sah Ke Geng ‘Kaki Ride’ Solat Dalam Keadaan Pakaian Kotor? Ini Penjelasan Ustaz Wadi Annuar
Menurut Ustaz Wadi Annuar, kekotoran seperti lumpur yang terkena pada pakaian bukanlah dianggap sebagai najis.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap umat Islam yang menepati syarat solat fardhu diwajibkan untuk menunaikan ibadah itu pada lima waktu iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.
Antara syarat sah solat pula adalah pakaian, tempat dan badan mestilah bersih daripada sebarang najis, selain masuk waktu, aurat dan arah kiblat.
Pun begitu, masih ada di antara umat Islam yang keliru soal kebersihan ini, termasuklah kami. Sebagai contoh, adakah pakaian yang terkena air lumpur atau basah kerana hujan wajib dibersihkan dahulu sebelum solat.
Lumpur bukan najis, kekotoran yang diragui dibolehkan untuk solat
Susulan itu, pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar menjelaskan bahawa kekotoran seperti lumpur bukanlah dianggap sebagai najis.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @birdblur42, Ustaz Wadi berkata kekotoran yang melekat pada pakaian dan diragui maka dibolehkan untuk solat.
“Kita ‘ride’ jauh, sampai satu tempat kita nak solat, nampak (pakaian) macam kotor, selama mana tidak yakin, hangpa (anda) boleh solat,” katanya.
Contoh, penunggang motosikal ikut belakang lori babi ketika hujan
Menurut Ustaz Wadi, sebagai contoh, sekiranya seseorang itu menunggang motosikal pada waktu hujan di belakang sebuah lori babi dan terkena percikan air yang diragui sama ada air hujan atau najis haiwan terbabit, maka dia dibolehkan solat.
Bagaimanapun, sekiranya waktu tersebut tidak hujan dan percikan air yang terkena diyakini datang daripada najis babi, maka wajib dibersihkan dahulu sebelum solat.
“Selama mana kita tak yakin sepanjang perjalanan tadi, ada air lumpur ada air hujan, maka boleh solat tiada masalah,” katanya lagi.
Air yang tak dapat dipastikan sama ada najis atau tidak, dianggap suci
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memberikan pendapat sama dengan menyatakan sekiranya air tersebut tidak dapat dipastikan sama ada ianya bernajis atau tidak, maka air yang terkena baju itu dianggap sebagai suci.
“Jika saudara meyakini bahawa air lopak tersebut adalah najis disebabkan ada bukti-bukti yang meyakinkan seperti melihat anjing membuang air di situ dan air tersebut terkena pada pakaian saudara, maka wajib untuk diulangi semula solat yang telah dilakukan.
“Ini kerana di antara syarat sah solat adalah wajib memastikan pakaian yang dipakai dan digunakan di dalam solat bersih dan suci daripada najis,” kata pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.