Now Reading
“Jika Saya Meninggal Dunia, Kebumikan Di Kampung” – Mangsa Pesawat Terhempas Di Elmina Pesan Pada Isteri

“Jika Saya Meninggal Dunia, Kebumikan Di Kampung” – Mangsa Pesawat Terhempas Di Elmina Pesan Pada Isteri

Pesanan itu dibuat oleh arwah Khairil Azwan Jamaluddin kepada isterinya setelah membuat sumbangan khairat kematian pada awal bulan ini.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dalam kejadian pesawat terhempas di Elmina semalam (17 Ogos), salah seorang mangsa merupakan Adun Pelangai, Datuk Seri Johari Harun. Bersama-sama di dalam pesawat terbabit adalah Khairil Azwan Jamaluddin yang merupakan juruterbang peribadi Johari.

Artikel Berkaitan: Pesawat Bawa 8 Penumpang Terhempas Di Elmina, Langgar Motosikal & Kereta

Menurut sumber, ketika ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) semalam (17 Ogos), Nizatul Akmar Mohd Nasir, isteri kepada mangsa berkata telah menerima pesanan daripada suami supaya mengebumikan jenazahnya di kampung halaman jika beliau meninggal dunia.

Pesanan itu baru sahaja diberikan oleh mangsa pada awal bulan ini ketika beliau membuat pembayaran sumbangan khairat kematian.

Dia ada pesan supaya dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Mempaga, Bentong, Pahang jika meninggal dunia kerana mahu saya dan anak-anak pulang ke kampung untuk menziarah dan melawat keluarga. Saya akan penuhi hasrat dia dan sudah tentu keluarga pun mahu begitu juga.

Isteri mangsa, Nizatul Akmar Mohd Nasir.

Beliau telah berhubung dengan suaminya buat kali terakhir kira-kira jam 1.40 tengah hari semalam. Allahyarham memaklumkan jadual penerbangannya dan berpesan kepada isterinya supaya menjaga diri.

Menurut Nizatul, suaminya merupakan juruterbang helikopter peribadi kepada Johari, namun kali ini beliau berada di dalam pesawat tersebut sebagai penumpang.

Suami sangat teruja dengan penerbangan kali ini… selalunya jika dia bersama Datuk Seri Johari Harun dia akan mengendalikan helikopter selaku juruterbang peribadinya tapi kali ini dia sebagai penumpang. Tak sangka itu adalah panggilan terakhirnya.

Isteri mangsa, Nizatul Akmar Mohd Nasir.

Isteri Mulanya Tidak Percaya Pesawat Terhempas Dinaiki Suaminya

Nizatul berkata pada mulanya beliau tidak percaya bahawa pesawat terbabit merupakan pesawat yang dinaiki suaminya. Namun begitu, beliau gagal menghubungi individu lain yang menaiki pesawat bersama suaminya.

Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk menghubungi isteri Johari yang memaklumkan bahawa pesawat dalam kejadian itu merupakan pesawat dinaiki suami mereka.

Nizatul yang menetap di Seremban, bergerak ke HTAR selepas Maghrib semalam bagi tujuan pengecaman jenazah.

Walaupun identiti mangsa masih belum disahkan ketika itu, namun Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa tiada penumpang yang selamat dalam tragedi tersebut.

Khairil Azwan meninggalkan tiga orang anak lelaki yang berusia antara 10 hingga 14 tahun.

Allahyarham juga merupakan bekas pegawai di Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Artikel Berkaitan: Kes Pesawat Terhempas Di Elmina: Exco Pahang Antara Mangsa Nahas

Artikel Berkaitan: “Adik Sayang Mama” – Ucapan Terakhir Juruterbang Tragedi Pesawat Terhempas Di Elmina Buat Ibunya

Sumber: Astro Awani


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd