Now Reading
Wanita Jadi Mangsa ‘Love Scam’, Rugi RM1.06 Juta Dalam Tempoh Kurang Setahun

Wanita Jadi Mangsa ‘Love Scam’, Rugi RM1.06 Juta Dalam Tempoh Kurang Setahun

Wanita tersebut telah melakukan 64 transaksi ke pelbagai akaun berbeza mulai Ogos 2022 hingga Julai 2023 sebelum menyedari telah ditipu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pernah tak korang terima mesej cubaan penipuan atau ‘scam’ melalui aplikasi WhatsApp? Kebiasaannya, scam tersebut menawarkan pekerjaan dalam talian.

Apabila dijanjikan pembayaran, mangsa akan diminta melakukan pemindahan wang terlebih dahulu. Ini merupakan satu daripada pelbagai cara scam yang dilakukan secara dalam talian.

ARTIKEL BERKAITAN: MDEC Nafi Tawar Pekerjaan Melalui SMS. Ini Hanyalah Taktik Scammer Sahaja!

ARTIKEL BERKAITAN: Scammer Guna Taktik Video Call Mangsa Waktu Buat Benda Tak Senonoh, Screenshot & Ugut Untuk Sebarkan

Modus operandi scam lain yang dilakukan adalah melalui jalinan hubungan percintaan yang digelar ‘Love Scam’. Seperti dalam The Tinder Swindler, satu dokumentari Netflix, seorang lelaki telah menipu ramai wanita sehingga menyebabkan kerugian keseluruhan sekitar USD10 juta (RM45.09 juta).

Seorang kerani wanita berusia dalam lingkungan 50-an yang berasal dari Sibu, Sarawak telah menjadi mangsa ‘Love Scam’ dan kehabisan wang sekitar RM1.06 juta, lapor Harian Metro.

Sama seperti modus operandi dalam The Tinder Swindler, suspek yang dikenali sebagai Thomas Yeng Leong menyamar sebagai seorang yang kaya dengan mendakwa dia bekerja sebagai seorang jurutera di London, United Kingdom.


Suspek Kenal Mangsa Melalui Facebook

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, mangsa telah mengenali suspek melalui media sosial Facebook pada pertengahan tahun lepas. Mereka kemudiannya mula bercinta dan melakukan hubungan lanjut melalui aplikasi WhatsApp.

Tidak lama selepas itu, suspek mula meminta mangsa meminjamkan wang untuk pembelian bahan kimia bagi urusan kerjanya. Sejak itu, mangsa telah melakukan sejumlah 64 transaksi dalam tempoh kurang satu tahun.

Mangsa melakukan 25 transaksi pemindahan wang berjumlah RM395,000 ke lima akaun bank berlainan pada awal Ogos 2022 sehingga penghujung September 2022.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.

Suspek Ditahan Di Thailand Kerana Bawa Wang Tunai USD Berlebihan

Mancha berkata suspek telah berjanji kepada mangsa untuk datang ke Malaysia pada September 2022. Beberapa hari selepas itu, mangsa dihubungi pihak kastam kerana suspek ditahan di Thailand atas kesalahan membawa wang tunai Dolar Amerika Syarikat melebihi had yang dibenarkan. Suspek dikenakan bayaran denda sebelum dibebaskan.

Pada penghujung September 2022 sehingga awal Oktober 2022, mangsa melakukan tiga transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berlainan dengan jumlah lebih RM255,000.

Selain itu, terdapat 36 transaksi lagi ke 16 akaun bank berlainan berjumlah RM414,000 yang dilakukan pada awal Mei hingga penghujung Julai tahun ini. Antara alasan yang diberikan suspek untuk pemindahan wang ini adalah pembelian barang kerja, urusan datang ke Malaysia dan urusan kecemasan.

Suspek terus meminta wang daripada mangsa, namun mereka berdua masih belum bertemu setelah hampir satu tahun.

Mangsa mula menyedari ditipu setelah suspek masih meminta mangsa membuat pembayaran atas pelbagai alasan tetapi mangsa masih gagal berjumpa dengan suspek.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.

Mangsa telah membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu supaya menyerahkan harta. Jika disabit bersalah, suspek boleh dikenakan penjara antara satu hingga 10 tahun, disebat, dan dikenakan denda.


‘Love Scam’ Jenayah Penipuan Tertinggi Di Malaysia

Modus operandi ‘Love Scam’ bukan sesuatu yang asing di Malaysia. Sejak 2018 sehingga Februari tahun ini, sebanyak 7,286 ‘Love Scam’ dilaporkan di Malaysia yang melibatkan kerugian RM365 juta, menjadikannya jenayah penipuan tertinggi.

Menurut pemangku Timbalan Pengarah Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamad 82.5% mangsa adalah wanita. Antara yang menjadi mangsa ‘Love Scam’ merangkumi doktor, pengarah syarikat, kakitangan institut pengajian tinggi, malah pelajar.

Pihak Majlis Keselamatan Negara mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik ‘scam’. Polis Diraja Malaysia juga menasihati orang ramai supaya berwaspada apabila berkenalan dengan seseorang dalam talian dan tidak memberikan sebarang maklumat peribadi atau kewangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ini 5 Tips Penting Lindungi Diri & Keluarga Daripada Scammer. Penting Ya!

Kalau korang jadi mangsa scammer, segera lakukan laporan polis dan failkan saman terhadap scammer untuk mendapatkan semula wang. Namun begitu, tiada jaminan akan mendapat semula wang kerana sukar untuk mengesan scammer dan juga mungkin wang telah habis dibelanjakan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd