Now Reading
Pegawai Kerajaan Wajib Pakai Batik Setiap Hari Khamis

Pegawai Kerajaan Wajib Pakai Batik Setiap Hari Khamis

Penjawat awam diminta untuk merujuk kepada Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2006 bagi tatacara pemakaian batik.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Satu hantaran Facebook oleh Jabatan Perkhidmatan Awam mengumumkan bahawa semua pegawai yang bertugas dalam perkhidmatan awam diwajibkan untuk memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis.

Arahan ini berkuat kuasa serta-merta yang bermakna penjawat awam wajib memakai pakaian batik bermula Khamis ini (24 Ogos). Pemakaian batik turut digalakkan bagi hari bekerja lain.

Berdasarkan surat edaran arahan tersebut, pakaian batik Malaysia telah dipakai oleh pegawai dalam perkhidmatan awam sejak tahun 1985. Kewajiban memakai pakaian batik yang dibuat adalah bagi meneruskan sokongan kepada industri batik negara, selain daripada memastikan ia kekal sebagai warisan dan lambang identiti masyarakat.

Di samping itu, pengecualian diberikan kepada penjawat awam yang memakai pakaian seragam atau menghadiri majlis rasmi dengan penetapan kod pakaian tertentu.

Pegawai kerajaan sebelum ini digalakkan memakai pakaian batik Malaysia pada hari Khamis di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021. Dengan arahan baharu ini, surat pekeliling tersebut telah dibatalkan.

Surat edaran tersebut terpakai bagi semua individu dalam perkhidmatan awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.


Tatacara Pemakaian Batik Bagi Pegawai Kerajaan

Pegawai kerajaan diminta untuk merujuk tatacara pemakaian batik di Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2006. Berdasarkan tatacara yang disediakan, pegawai lelaki boleh memakai salah satu daripada empat fesyen baju kemeja batik Malaysia berlengan panjang seperti berikut:

  • Berkolar Baju Melayu cekak Musang berbutang tiga
  • Berkolar Baju Melayu cekak Musang berbutang lima
  • Berkolar Nehru butang terselindung
  • Berkolar Mandarin berbutang tiga

Kemeja batik perlu digayakan dengan seluar panjang dan lengan baju tidak boleh dilipat. Jika pegawai memakai kot, baju kemeja batik perlu dimasukkan ke dalam seluar (tuck in).

Sebaliknya, pegawai wanita boleh memakai pakaian kebangsaan baju kurung atau kebaya atau pakaian budaya masing-masing yang sesuai dipakai di tempat kerja dan ketika menghadiri upacara rasmi selaras dengan peraturan sedia ada.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd