Now Reading
Didakwa Tipu Restoran Di Jepun Hingga Terpaksa Buang 25 Set Nasi Lemak, Agensi Pelancongan Malaysia Beri Penjelasan

Didakwa Tipu Restoran Di Jepun Hingga Terpaksa Buang 25 Set Nasi Lemak, Agensi Pelancongan Malaysia Beri Penjelasan

Bagi kes melibatkan Restoran Malay Asian Cuisine di Jepun, pihak agensi pelancongan dari Malaysia berkata mereka akan menelefon semula pihak restoran jika memilih untuk makan di sana.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Nasi Lemak cukup sinonim dengan rakyat Malaysia. Meskipun ia merupakan hidangan tradisional masyarakat Melayu, namun ia turut digemari segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Walaupun berada di luar negara, ‘tekak Malaysia’ ini secara tiba-tiba akan mengidamkan makanan tempatan yang sering dinikmati di negara tercinta.

Apa yang menguntungkan adalah apabila hidangan Malaysia ini juga kini sudah dikenali di luar negara dan terdapat beberapa restoran yang menjual hidangan dari Malaysia seperti Nasi Lemak.

Baca Artikel Berkaitan: Kedai Nasi Kandar Pertama Di Tokyo Laku Keras

Baca Artikel Berkaitan: YouTuber Jepun Agih Nasi Lemak Di Hong Kong Untuk Sambut Bulan Ramadan


Pemilik Restoran Di Jepun Kesal Ejen Pelancongan Dari Malaysia ‘Menghilang’ Lepas Buat Tempahan 25 Set Nasi Lemak

Berbicara tentang hidangan Nasi Lemak, baru-baru ini timbul isu melibatkan hidangan popular tersebut di Jepun.

Dakwa seorang peniaga, seorang ejen pelancongan dari Malaysia telah menempah menu ini di kedainya yang bernama Malay Asian Cuisine di Tokyo, Jepun.

Menerusi hantaran dimuat naik oleh pemilik restoran berkenaan di laman Facebook (Sou Tanaka), ejen tersebut dipercayai telah membuat tempahan Nasi Lemak sebanyak 25 set untuk dinikmati sebagai makan tengah hari.

Jelasnya lagi, kedua-dua pihak dipercayai telah bersetuju dengan harga, menu dan jumlah tempahan untuk sesi pada jam 1:30 tengah hari.

Namun ketika pemilik restoran cuba untuk mendapatkan pengesahan daripada ejen terbabit menerusi panggilan telefon dan juga mesej di WhatsApp semasa jam menunjukkan hampir pada 1:30 tengah hari, tiada sebarang respon diberikan.

Selepas tidak berjaya dihubungi dan tidak menerima sebarang makluman dari pemandu pelancong terbabit, pemilik restoran berkenaan terpaksa membatalkan tempahan dan membuang 25 set Nasi Lemak yang telah siap dihidangkan.

Sou menganggap perkara yang pertama kali berlaku kepada dirinya adalah sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana pelanggan membatalkan tempahan tanpa sebarang makluman dan persetujuan pihak restoran.

Bagi pihak kami, ia telah menyebabkan pembaziran makanan dan juga masa para pekerja kami. Lebih menyedihkan, kami terpaksa menolak pelanggan-pelanggan yang hadir ke restoran kerana ingin memberi ruang kepada pelanggan yang membuat tempahan ini.

Pemilik restoran, Sou Tanaka.

Oleh kerana bengang dengan perkara yang berlaku, Sou mengambil keputusan untuk mendedahkan nama pemandu pelancong yang terlibat serta maklumat syarikat pelancongan tersebut.

Perkara yang terjadi ini memang betul-betul menjengkelkan. Kalau anda nak batalkan tempahan, sepatutnya beritahu kepada kami.

Pemilik restoran, Sou Tanaka.

Netizen Kecewa Dengan Sikap Ejen Pelancongan Dari Malaysia Itu

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa kurang senang dengan sikap pemandu pelancong dari Malaysia itu yang dikatakan membatalkan tempahan tanpa memberi sebarang makluman.

Ada juga netizen yang berpendapat kejadian seperti ini boleh memburukkan nama Malaysia justeru perlu dilaporkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Sumber: Facebook

Ini Pula Respon Ejen Pelancongan Dari Malaysia

Memetik laporan Kosmo, syarikat pelancongan yang dikaitkan dengan isu pembatalan tempahan Nasi Lemak di Jepun kemudiannya tampil membuat penjelasan berhubung kejadian yang tular.

Kampungstay Holiday Sdn Bhd menjelaskan bahawa mereka hanya menghubungi pihak restoran terlibat untuk melakukan survei terlebih dahulu sebelum memilih lokasi untuk makan tengah hari.

Maaf semua di atas kecelaruan. Kronologi pukul 11 pagi, pihak KH (Kampungstay Holiday) menelefon restoran untuk melakukan ‘survey’ restoran bersesuaian dengan trip yang disertai 90% warga emas maksimum usia 72 tahun.

Agensi pelancongan, Kampungstay Holiday Sdn Bhd.

Bagi kes melibatkan Restoran Malay Asian Cuisine, pihak agensi berkata bahawa mereka akan menelefon semula pihak restoran jika memilih untuk makan di sana.

Berkaitan Malay Asian Cuisine, kami menelefon mereka untuk mendapatkan info sama ada di tempat mereka boleh menampung tempat duduk sebanyak 25 orang atau tidak. Mereka menjawab ‘ya’. Pihak kami memaklumkan kepada mereka jika kami jadi untuk ke sana, kami akan telefon dan pihak kami ada meninggalkan nombor telefon kami.

Agensi pelancongan, Kampungstay Holiday Sdn Bhd.

Selepas membuat perbandingan di tiga buah kedai makan, pihak KH membuat keputusan hanya makan tengah hari di sekitar bandar Shibuya kerana pergerakan yang agak terhad melibatkan pelancong warga emas yang rata-ratanya berusia 60 dan 70an.

Sumber: Kosmo

Ketika dihubungi oleh pemilik kedai makan, agensi terlibat berkata dia tidak memegang telefon kerana fokus untuk menjaga pergerakan para pelancong agar tiada sesiapa sesat di Jepun.

Walau bagaimanapun, pihak agensi pelancongan ini mula menyedari bahawa syarikat mereka ditularkan oleh restoran terbabit dan terus menghubungi pemiliknya.

“Saya terus menelefon pihak restoran disebabkan ada kenalan yang menelefon memaklumkan bahawa, syarikat kami telah ditularkan oleh pihak restoran. Inilah serba sedikit kronologinya, terima kasih. Maaf daripada kami sekiranya kesalahan itu daripada pihak kami,” kata agensi pelancongan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd